Friday 10 April 2015

AKU PILIH KAU! 39

BAB 39

Rindu membelenggu
Terkenang masa lalu
Hati ini jadi rindu
Tak terkata
Mana pun kau berada
Semoga kau berbahagia
( Rindu – Shae ft Nukilan)

Bacaan Yasin bergema seisi rumah banglo yang tersergam indah di atas bukit itu. Ternyata walau dilimpahi dengan kekayaan, bab agama sama sekali tidak dibelakangkan. Lagak Tan Sri Tengku Zainal seperti orang kebanyakan, hanya berkain pelekat dan berbaju Melayu Cekak Musang warna biru tua bersongkok hitam. Puan Sri Sharifah Noraini juga berbaju kurung cotton bercorak bunga kecil warna biru tua bertanah putih dipadankan dengan tudung bawal berwarna biru muda. Agak pandai bermain warna supaya tidak menampakkan segala-galanya sedondon dari atas ke bawah.

Dan lelaki yang sedang duduk tenang di hujung barisan masih nampak bergaya seperti biasa. Seperti ayahnya, Tengku Zhafran hanya berbaju Melayu teluk belanga warna ungu berbanding abangnya Tengku Zhafril nampak berbaju Melayu lengkap, bersongkok siap bersampin.

Usai bacaan Yasin, pada sesi jamuan makan untuk para tetamu matanya meliar mencari kelibat orang yang dinanti. Di antara ramai tetamu yang hadir, di taman dia tidak kelihatan, begitu juga di sekitar kolam renang. Kecewa sedikit kolam hatinya kerana dia memang mengharapkan kedatangan tetamu istimewa itu seperti sebelum ini. Setiap bulan, banglo itu sentiasa dengan bacaan Yasin. Tetamu yang terdiri dari kalangan kariah masjid, rakan dan jiran-jiran sentiasa dijemput hadir. Mereka seronok memberi makan tetamu. Setiap bulan juga, pelajar-pelajar dari sekolah tahfiz atau anak-anak yatim dijemput sama.

Walau kekayaan yang dicari, tapi Tan Sri Tengku Zainal sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa bukan kekayaan dunia sahaja yang perlu dikejar tetapi juga akhirat. Sebab itu dari kecil mereka dihantar ke sekolah agama supaya segala ilmu yang di perolehi tidak sia-sia. Bak kata pepatah, setandan pisang yang berbuah, tidak semuanya elok. Begitulah juga dengan anak-anak mereka. Tengku Zatul Aizan anak yang ketiga dan Tengku Zairul yang keempat bukanlah tidak dididik dengan betul cumanya apabila meningkat dewasa masing-masing mula memilih jalan sendiri hidup yang agak sosial. Berpelesiran di kelab malam adalah kegemaran keduanya tanpa pengetahuan ibu dan bapa. Malah keduanya tidak kelihatan malam ini. Tetapi yang anak yang bongsu elok bertudung iaitu Tengku Zanariah. Orangnya lemah lembut sedikit sebanyak mengikut perangai Puan Sri Sharifah Noraini.

“Zhafran…uncle balik dulu ya.” Dia disapa Dato’ Jamal, salah seorang dari jiran yang menetap di lorong yang sama. Dia bernasib baik kerana jiran-jiran yang terdiri dari orang kenamaan rata-ratanya merendah diri. Tidak kira bangsa dan agama. Mereka tidak pernah berbalah malah saling tolong-menolong.

“Thank you for coming uncle. Assalamualaikum.” Dia mencium tangan Dato’ Jamal yang sudah di anggap sebagai ayah kerana umurnya yang hampir sebaya dengan Tan Sri Tengku Zainal.

Menginjak ke angka 11 malam, ramai tetamu sudah beransur pulang. Hanya terdapat kenalan rapat yang masih berada di ruang makan bersembang dengan Tan Sri Tengku Zainal dan Tengku Zharif. Bicara orang-orang perniagaan yang membuatkan Tengku Zhafran tidak berminat untuk masuk campur walau kini dia boleh dikategorikan sebagai salah seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur. Namun itu tidak dibanggakan kerana dia mendapat nama hanya kerana perniagaan yang diwarisi dan bukan kerana atas usahanya sendiri.

Songkok diletakkan di atas meja makan, dalam hati terdetik mencari bonda tersayang. Bunyi suara bersembang dan ketawa mempercepatkan langkah ke dapur.

“Ha…anak-anak gadis ada dekat sini rupanya. Puas cari dekat luar tadi.” Hati berbunga lega apabila melihat orang yang dicari berada di situ. Nampak manis berbaju kurung merah jambu muda serta bertudung penuh. Antara mereka di situ, dialah yang paling kecil namun dapat dilihat dengan jelas.

“Dah puas ummi suruh dorang ni makan dekat luar, nak juga menyibuk dekat dapur ni.” Puan Sri Sharifah Noraini membalas. Lepas semua tetamu usai membaca Yasin, dua orang gadis yang katanya pekerja di bawah Tengku Zhafran ringan tangan menolongnya di dapur. Dia pula naik segan bila tetamu yang buat kerja. Tapi keduanya tidak beralah. Malah terasa ringan bebannya di dapur bila mereka turut membantu. Kalau nak harapkan dia, Zana dan kedua pembantu yang di ambil dari Indonesia itu masih belum cukup tangan.

Dia lebih suka masak sendiri dari mengupah mana-mana katerer bagi jamuan seperti itu. Sebab itu di kalangan rakan-rakan suami atau anak-anaknya, dia terkenal dengan jolokan Chef Bonda.

“You all dah makan ke belum?” Matanya terarah pada mereka berdua yang berdiri di sinki. Seorang membasuh pinggan, seorang lagi membilas pinggan. Adiknya Tengku Zanariah mengambil tugas mengelap pinggan dan menyusun untuk mengeringkannya sebelum di simpan ke dalam rak kembali.

“Belum lagi Zhaf. Ajaklah dorang makan. Tinggal sikit lagi aja tu. Tak apa ummi dengan Zana habiskan nanti.” Puan Sri Sharifah Noraini lebih senang membahasakan dirinya dengan perkataan Ummi dengan sesiapa jua kenalan anak-anaknya. Sifat keibuan yang dimilikinya membuatkan sesiapa pun pasti senang. Tiada perbezaan dari segi darjat dan pangkat. Baginya semua sama. Kelak ke dalam tanah yang dipijak jua akan berumah.

“Tak apalah ummi, tak banyak dah ni. Kami habiskan.” Balas Hani. Ainnur masih tekun bermain sabun membersihkan sisa kotoran pada pinggan mangkuk yang digunakan. Nasib baik Puan Sri Sharifah Noraini melarangnya dari membasuhkan segala periuk, kuali yang digunakan kerana itu menjadi tanggungjawab pembantu rumah. Kalau tidak memang sudah licin diselesaikan. Baginya itu tidak menjadi masalah. Tengku Zhafran hanya tersenyum sambil bersandar di dinding yang memisahkan dapur dan ruang makan.

“Okay. Carry on. Tapi mesti makan dulu sebelum balik. Kalau tidak you all kena tidur sini.” Ujar Tengku Zhafran bergurau. Tengku Zanariah tersengih mendengar kata-kata abangnya. Dia memang tidak banyak bersuara. Sebab dikalangan adik-beradik dia memang pendiam. Menyampuk atau bersembang bila perlu. Hanya ummi teman bercerita.

“Dengar tu wahai dayang-dayang. So siapkan kerja cepat ya. Ummi dah larang, tapi you all ni baik hati sangat. Tengok anak raja dah bersuara.” Pandai juga Puan Sri Sharifah Aini bergurau. Masing-masing hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Tengku Zhafran beredar meninggalkan kaum wanita yang sedang sibuk berkemas di dapur. Dia tidak mahu masuk campur. Cukuplah dengan mereka berempat di situ.

Puan Sri Sharifah Aini hanya menghantar pemergian anaknya dengan senyuman. Dari lirikan matanya, dia tahu ada sesuatu yang menarik perhatian Tengku Zhafran di situ. Dua orang gadis yang sedang membantunya di sinki dikerling dengan hujung mata. Keduanya nampak manis berbaju kurung Pahang dengan warna yang sama. Kelihatannya memanglah seperti dayang istana, dengan tangan yang tangkas bekerja tanpa mengambil kisah sekiranya sisa-sisa makanan pada pinggan yang dibasuh akan mengotorkan baju masing-masing. Sesekali mereka tertawa entah apa yang dibualkan dia tidak dapat mendengarnya dengan jelas. Tengku Zanariah yang berdiri sebaris dengan mereka hanya tumpang ketawa tetapi tidak sesekali menyampuk untuk bersuara.

“Ummi…pinggan dah siap ni. Ada apa-apa lagi kami nak tolong?” Suara Ainnur jelas kedengaran sambil mengelap tangan dengan tuala kecil yang diberikannya tadi.

“Terima kasih banyak-banyak. Tak apalah, yang lain-lain tu biar si Bik Yam dengan Sari yang buat. Kamu tolong ummi ni pun ummi dah kira bersyukur.” Puan Sri Sharifah Noraini tersenyum lebar memandang keduanya. Baginya cukup rahmat diberikan kesenangan melalui pertolongan dari mereka berdua.

Dia memandang Hani kemudian beralih pada Ainnur. Setiap seorang memiliki kelebihan masing-masing walau bukan dikategorikan dalam golongan wanita yang cantik seperti mana yang selalu di perkenalkan oleh anak sulungnya, Tengku Zharif kepadanya. Mencari calon menantu kena mintak restu ummi katanya. Tapi  kalau mereka ni nak jadikan menantu, bagus jugak ni. Satu untuk Zharif…satu untuk Zhafran.

“Kalau macam tu, kami beransur dulu ummi.” Ujar Hani mematikan lamunan Puan Sri Sharifah Noraini.

“Eh! Tak makan dulu ke?” Dia sedar keduanya hanya menjamah karipap dan selebihnya banyak bekerja di dapur.

“Dah makan tadi ummi.” Ringkas jawapan Ainnur. Dia menurunkan lengan baju yang disingsing hingga ke siku bagi memudahkan kerja-kerja membasuh tadi.

“Ish! Makan kuih aja. Tak apalah, ummi suruh Bik Yam bungkuskan. Bik!!!”

“Tak apalah ummi. Buat susah aja.” Tidak senang pula menyusahkan Bik Yam yang sedang sibuk berkemas di luar. Lagipun kalau dia membawa pulang makanan, tiada siapa di rumah selain dari Arina yang sudah pun makan di luar tadi bersama kawannya. Membazir. Tapi untuk menolak, segan pula.

“Tak apa…tunggu kejap. Jangan balik dulu. Bikkk!!!” Nyaring pula jeritannya membuatkan Bik Yam terkocoh-kocoh berlari ke dapur.

“Kenapa ibu? Jangan jerit-jerit…telinganya masih dengar lagi.” Ujarnya dalam slang Indonesia. Bibik Yam sama seperti wanita Indonesia yang dilihat dalam drama-drama di televisyen. Seorang wanita berumur, bersanggul rambut tinggi seperti orang lepas bersalin, cuma yang membezakan  adalah dia berbaju kurung seperti orang Malaysia. Mungkin itu atas arahan Puan Sri Sharifah Aini kerana Sari juga mengenakan pakaian yang sama. Sari nampak lebih muda mungkin dalam lingkungan umur 18 tahun. Bertubuh kurus dan kecil, berambut panjang tetapi ditocang satu.  

“Ya…ibu tahu kamu masih boleh mendengar. Tolong bungkus makanan untuk tetamu bawa balik. Cepat!”

“Ya bu!” Dengan segera laci dibuka mencari bekas untuk mengisi makanan.

“Kamu berdua duduklah dulu.” Ujar Puan Sri Sharifah Aini kemudian dia keluar dari dapur menuju ke tingkat atas. Hani dan Ainnur turut keluar meninggalkan Bibik Yam berseorangan dan sebaik melintasi meja makan, dilihatnya makanan sudah tersusun sepertinya untuk menjamu orang makan.

Untuk siapa pula makanan ni? Ada orang nak datang lagi ke? Getus hati.

“Dayang-dayang…beta lapar. Belum makan lagi. Jom makan dengan beta.” Suara garau itu menangkap telinga keduanya.

Mereka berpandangan. Segan la pula.

“Duduk aja. I tau, you all tak makan lagi. Makan dulu, kalau tidak tak boleh balik.” Ujar Tengku Zhafran sambil tersengih. Hani dan Ainnur tiada pilihan tetapi belum sempat melabuhkan punggung, Tengku Zhafran sudah pun menarik kerusi Ainnur untuk membolehkan wanita itu duduk.

Ainnur terpinga-pinga. Gentleman sangat bos ni.

Kemudian dia beralih pula pada Hani yang masih berdiri menunggu giliran seterusnya untuk mendapat layanan istimewa.

“Thank you bos.” Tersipu-sipu malu keduanya.

“Ain…” Kenapa pula dia sebut nama aku ni? WHAT? Ain mengangkat kepala memandang Tengku Zhafran dan seperti dia membaca apa yang terdapat dalam kepala setiausahanya itu.

“I cakap apa, kalau luar dari office.”

Ainnur membuat muka bingung. Dia tidak mahu Hani yang memendam rasa terhadap Tengku Zhafran tersalah anggap nanti. Tak akan nak panggil Zhaf dekat sini. Ish! Bos ni ada-ada ajalah!

“Okay…let’s eat.” Tengku Zhafran beralih tajuk dan terus mencedok lauk ke dalam pinggan Ainnur membuatkan hati Hani terus berkata-kata. Okay…Ain dapat layanan best sebab itu bos dia. Untunglah…

Sebaik dia menyuap nasi masuk ke mulut, tekak terus berasa loya. Cepat-cepat dia mencapai tisu dan meluahkan. Daging…sejak disahkan mengandung, daging adalah salah satu makanan yang terpaksa dielak.

“Excuse me.” Dia terus menolak kerusi dan berlari ke arah tandas yang terletak di sebelah dapur. Segala isi perut terus keluar.

Ya Allah! Peritnya tekak. Dia mengurut dada sendiri. Perut yang tiba-tiba mengeras diusap lembut bagi meredakan ketegangan.

Ya Allah…hebatnya dugaan ini. Sorry…anak ibu tak suka daging ya. Perut terus diusap perlahan-lahan.

“Ain…are you okay?” Dilihatnya Tengku Zhafran sudah sedia menunggu apabila pintu di buka. Maknanya dia dengarlah aku muntah-muntah tadi?

“Pening kepala sikit.” Dia memegang kepala. Memang sejak dari mula kepalanya agak pening namun dia cuba bertahan. Tapi bila saja daging tadi memasuki mulut memang dia tidak tertahan lagi. Sebaik muntah, pening semakin teruk sehinggakan dia sukar untuk berdiri tegak.

“Itulah, sibuk sangat dekat dapur sampaikan perut masuk anginlah tu.” Berkerut dahi lelaki itu memandangnya.

Ainnur tersengih. Tidak berniat untuk membalas kata-kata Tengku Zhafran. Cubaan berjalan seperti biasa tidak berjaya, kerana kepalanya terasa berpusing sehinggakan terpaksa dipapah oleh Tengku Zhafran. Dia cuba menolak tapi Tengku Zhafran berkeras untuk membantunya.
Dia risau sekiranya Ainnur jatuh pengsan. Tidak sangka sama sekali disebabkan Ainnur membantu ummi di dapur membuatkan wanita itu jatuh sakit. Dia terasa bersalah.

“Next time kalau datang sini lagi jangan sibuk dekat dapur. I risau tau you sakit macam ni.” Ainnur diam sambil memandang sahaja Tengku Zhafran yang sedang memegang erat pinggangnya. Sebelah lagi tangannya menggenggam tangan Ainnur. Bau haruman minyak wangi yang dipakainya membuatkan Ainnur agak rasa lega seperti aromaterapi. Dia senang dengan wangian itu kerana sejak akhir-akhir ini hidungnya agak sensitif menangkap bau-bauan yang semuanya dirasakan berbau busuk. Begini rupanya perasaan orang yang mengandung. Tidak sabar rasanya menunggu untuk masuk ke trimester kedua kerana mengikut ulangkaji yang dibuat, segala-galanya akan berkurang apabila kandungan mencecah ke lima atau enam bulan.

“You smell good.” Alamak! Kenapa aku cakap benda tu! Dia menekup mulut sendiri. Pipi mula merona kemerahan.

“Do I? You like it?” Dia dengarlah pulak. Ainnur termalu sendiri.

“Ainnur…” Mata bertentang mata, masing-masing terdiam. Tenggelam mereka seketika dalam dunia sendiri. Kesempatan itu diambil oleh Tengku Zhafran untuk menatap sepuas-puasnya wanita yang telah mencairkan hatinya dengan senyuman dan tingkahlaku yang membuatkan dia terpikat. Melihatkan tahi lalat di tepi bibir itu menambah kemanisan senyuman yang memang ingin dilihat setiap hari. Setiap pagi, hidupnya terasa indah apabila gadis tersenyum sambil menyapanya. Air tangan wanita itu yang membancuhkan kopi untuknya ingin dirasakan setiap hari. Dia mahu memeluk tubuh itu, mengucup puas setiap inci wajahnya.

“Ain!” Suara Hani membuatkan keduanya seperti tersedar dari mimpi.

“Saya balik dulu Tengku.” Dia bergegas berjalan ke arah Hani yang sedang menunggunya di pintu masuk. Mujur Hani tak perasan kalau tidak mungkin kawan baiknya itu akan membuat pelbagai spekulasi.

“Take care!” Laungnya dari jauh, hanya mampu menghantar dengan pandangan mata. Terlalu cepat tanpa sempat dia mengejar. Dia merenung tangan yang menggenggam erat pinggang Ainnur tadi.

“So, which one?” Suara Puan Sri Sharifah Noraini memecah lamunannya.

“What ummi?” Pura-pura buat tidak faham.

“You know what I’m talking about.” Puan Sri Sharifah Noraini sudah tersenyum lebar. Sebagai ibu, dia tahu apa yang bermain di dalam perasaan Tengku Zhafran pada ketika ini.


“Good night ummi…” Senyuman di balas senyuman dan dia terus berlalu pergi. Biarlah apa yang dirasainya di simpan sahaja di dalam hati. Selamat malam cinta hati….nanti kita berjumpa lagi.

1 comment:

  1. harap cite ni habis sini.. x sabr nk baca lagi dan lagi

    ReplyDelete