Wednesday, 25 April 2012

BAB 13

Nafasnya turun naik dan dadanya jelas berombak kepenatan. Aktiviti yang dilakukakan dua kali seminggu itu sudah semestinya membuatkan dia terduduk kepenatan akhirnya.
Tiada suami atau rakan yang menemani. Cukup berseorangan dan apabila selesai aktiviti, dia akan segera pulang ke rumah kerana itu janjinya pada suami yang jarang bercakap dengannya. Niatnya keluar rumah hanya untuk mengeluarkan peluh dengan berjoging di taman berdekatan rumah mereka.

Usai berjoging dia meneruskan berjalan kaki mengelilingi taman sebanyak dua kali bagi menyejukkan badan dan meredakan jantung yang telah dipam laju. Hatinya puas dengan peluh yang mengalir di seluruh tubuhnya. Berehat seketika di kerusi panjang yang terletak di bawah pokok di tengah taman sambil matanya leka memerhatikan orang ramai yang semakin memenuhi taman tersebut. Ternyata kini rakyat Malaysia semakin mementingkan kesihatan. Walau jam baru menunjukkan jam 8.30 pagi, sudah ramai yang memenuhi taman untuk berjoging atau melakukan senaman ringan. Kanak-kanak seronok kerana mereka bebas berlari, bermain basikal atau bermain dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan. Tak kurang juga sekumpulan wanita Cina yang sudah agak berumur mengadakan senaman tai chi. Setiap minggu mereka tidak pernah ketinggalan berada di situ.

Bila jam mencecah ke angka 9 pagi, Ainnur mengambil keputusan untuk pulang. Sarapan untuk si suami yang mungkin masih lena diulit mimpi belum disediakan lagi. Setakat ini, semua masakannya menjadi menu harian Adam. 
Alhamdulillah... Air tangannya menjadi pilihan Adam. Adakala, firasatnya berkata mungkin Adam sudah makan di luar, tetapi dia masih menghidangkan makanan Adam. Dan setakat ini, Adam tidak pernah merungut atau jarang sekali masakannya tidak habis di makan.

Dulu masa di kampung, dia ingat lagi ketika itu dia masih berumur 17 tahun, ayah sering menghambat mereka untuk mengikuti kuliah agama yang akan diadakan setiap hari Khamis malam Jumaat. Suka atau tidak, terpaksalah mereka berempat pergi kerana tidak mahu dibebel oleh ayah. Dan ada satu ketika, topik mengenai bab nikah kahwin tidak langsung menjadi topik yang menarik minatnya. Tetapi kata-kata ustaz jemputan malam tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya. Dalam nada serius ustaz menjelaskan, sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun dan makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah.

Kini ibu pula yang sentiasa mengingatkannya. Walau makanan atau minuman tersebut tidak disentuh, sudah menjadi kewajipan seorang isteri untuk menyediakannya untuk suami. Ainnur patuh kepada nasihat tersebut dan dia bersyukur kerana Adam sudi untuk menjamah masakkannya.

Terima kasih suamiku...Ainnur tersenyum sendirian. Kasut joging di tanggalkan dan dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Namun senyuman itu tidak kekal lama kerana Adam tiba-tiba terpacul keluar dari bilik air yang terletak di antara pintu masuk biliknya dan bilik suaminya itu.
Langkahnya untuk menuju ke bilik terhenti dan dia tergamam melihat Adam yang hanya bertuala menutup bahagian badannya dari bawah pusat hingga ke paras lutut. Menampakkan dadanya yang bidang dan tubuhnya yang masih basah kerana baru sahaja selesai mandi.
Ainnur terkaku namun pandangannya di alih ke sisi.
Kenapa la dia keluar masa ni? Sajalah nak tayang body yang tak sasa tu. Ainnur merungut.
Merah padam wajahnya namun Adam selamba melangkah masuk ke biliknya dan sejurus terdengar pintu di tutup Ainnur berlari terus masuk ke bilik.
Perasaannya berbaur. Malu, meluat atau suka? Yaks!
Malas melayan perasaannya, Ainnur terus menuju ke bilik air, membersihkan diri dan bersiap ala kadar. Menu makan pagi, nasi lemak sambal sotong yang dimasaknya sendiri serta kuih keria di beli dari gerai di tepi jalan semasa pulang dari joging tadi. Seharusnya coklat panas kegemaran Adam sudah disediakan dan Ainnur memilih untuk minum kopi kerana kisah ustaz tadi mengingatkannya suasana di kampung yang mana sarapan pagi mereka pasti akan disajikan dengan kopi panas yang menjadi minuman kegemaran ayah.

"Dah siap?"
Ainnur tersentak. Nasib baik tak terlepas pinggan di tangannya.
"Sudah." Sahutnya pendek.
Main sergah aja budak kecik ni. Bukannya nak bagi salam ke...Ainnur mengomel dalam hati.
Dilihatnya Adam sudah siap berkemeja lengan panjang warna merah bercorak kotak-kotak dipadankan dengan seluar khakis berwarna hitam jenis straight cut menyerlahkan susuk tubuh Adam yang kurus dan tinggi. Bau haruman CK semerbak merajai ruang makan menangkis bau masakan Ainnur. Adam mengambil tempat di meja makan dan beg sandang diletakkan di sebelah kanannya.
Pinggan berisi nasi lemak diletakkan di hadapan Adam. Ainnur berkira-kira untuk berlalu namun Adam menahannya untuk makan bersama.
"Duduklah. Kita tak pernah makan sama-sama. Kalau aku ada, kau pula tak ada. Kalau kau ada kat rumah, aku pula yang tak ada."
Buang tabiat ke budak kecik? Tiba-tiba aja ajak aku makan sama...Dahinya berkerut namun segera dibuang jauh-jauh perasaan pelik itu.
Ainnur buat selamba mencedok nasi lemak ke dalam pinggannya. Namun tekak terasa sukar untuk menelan apabila makan di hadapan suaminya itu. Tak pasti apakah yang dirasakan saat ini.
"Kau tak pergi mana-mana hari ni? Kau cutikan?"
Adam memecah kesunyian.
"Hurm..." Tak terkeluar kata-kata. Hajatnya mahu minta keizinan Adam untuk keluar membeli belah bersama Hani. Memang sudah di janjikan dengan Hani semalam, cuma menunggu keizinan dari Adam.
"Kau nak keluar...pergi aja lah. Aku tak halang."
"Ainnur ingat nak keluar dengan Hani, cari baju untuk annual dinner company." Teragak-agak dia menuturkannya.
"Hurm..."Adam mengangguk perlahan, kemudian dia bangun sambil membawa pinggan ke sinki.
"Tak apalah...tinggal kat situ. Nanti Ainnur basuhkan." Rasa bersalah pula melihatkan Adam mahu membasuh pinggannya sendiri.
"Tak apa. Aku dah biasa." Serius suara Adam.
Emo pulak...Tadi okey aja...Cetus hati Ainnur.
Beg sandang di capai dan Adam terus berlalu keluar tanpa berkata apa-apa pada Ainnur yang hanya melihat pemergian suaminya itu. Namun sepantas itu juga Ainnur mengejar Adam dari belakang.
"Adam!" Langkahnya terhenti bila namanya dipanggil.
Ainnur menghampirinya dan tangan Adam dicapai lantas disalam serta dikucup lembut.
Adam terpana namun keegoan seorang lelaki memaksanya terus berlalu begitu saja meninggalkan Ainnur. Tetapi, tidak dinafikan...hati lelakinya sedikit terusik dengan perbuatan Ainnur itu.
Sampai bila harus aku melayannya begini? Haruskah aku melepaskannya? Bagaimanapun, persoalan itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang jawapan yang pasti.

Monday, 23 April 2012

BAB 12

Suasana pagi pada hujung bulan April ini kelihatan hening. Hari Isnin pastinya hari bermasalan untuk bekerja lebih lagi esok jatuhnya Hari Pekerja yang menandakan cuti umum buat semua rakyat Malaysia. Ainnur sendiri tidak pasti kenapa dia bekerja hari ini sedangkan ramai teman yang lain bercuti dan berehat di rumah kerana hari lompat itu hanya sehari. Tidak salah rasanya menggunakan cuti tahunan yang ada untuk menjadi penyambung kepada hari cuti esoknya.

Tiada siapa lagi yang kelihatan, malah tempat letak kereta pun masih banyak lagi yang kosong tidak berpenghuni. Sudah menjadi kebiasaan, lepas jam 8.30 pagi, parkir kereta pasti penuh. Siapa cepat dia dapat, siapa lambat terkulat-kulatlah mencari parkir yang adakalanya jauh dari tempat kerja.
Ditelek jam CK hitam yang merupakan hadiah sempena hari jadinya semasa dia berkhidmat di bawah Encik Imran. Memang sudah lama diidamkan jam tersebut dan pemberian tersebut seperti rezeki yang jatuh dari langit. Syukurnya dipanjatkan ke hadrat ilahi kerana tidak pernah putus dengan rezeki.
Baru jam 8.00 pagi. Awal pula pagi ni...Getus bibirnya.
Lif berhenti di tingkat 18 yang menempatkan pejabat Naib Presiden Permata Holdings dengan gambar rasmi Tengku Zafran tergantung kukuh di hadapan pintu masuk.

Semasa kakinya melangkah masuk ke pejabat, suasana lengang...Yang ada hanyalah Kak Minah pencuci pejabat sedang membersihkan meja.

"Assalamualaikum Cik Ainnur."

"Waalaikumussalam Kak Minah. Dah berapa saya beritahu, jangan panggil saya cik. Panggil Ainnur dah cukup. Segan, saya bukannya bos pun." Tas tangan diletakkan di atas meja.

"Tak boleh Cik Ainnur. Kalau bos besar dengar saya panggil Ainnur saja, nanti dia marah..." Muka Kak Minah berkerut keresahan.

"Siapa bos besar? Tengku Zafran? Tak apa, lain kali kalau Engku marah, beritahu saya yang minta Kak Minah panggil saya dengan nama. Okey kak?"
Bahu wanita berusia 50 an itu disentuh lembut. Kak Minah tersenyum seraya mengangguk.
Dia tahu, hati Ainnur mulia meskipun dari luaran Ainnur nampak tegas.

"Morning Ainnur."

Suara itu memang sudah lali ditelinganya sejak tiga bulan bertugas dengan lelaki tampan itu, namun sapaan pagi ini lain kedengarannya. 

"Morning Engku."

"This is for you because sudi keluar makan dengan I last week."

Sejambak ros merah yang diikat serumpun dengan riben merah jambu di letakkan di atas mejanya. Tengku Zafran nampak ceria dengan senyumannya melebar hingga ke telinga. Menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi dan putih bersih.

"Thank you Engku."

"No. I should thanks to you." Pantas Tengku Zafran memotong kata-kata Ainnur. Sesungguhnya dia dilanda satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sepanjang malam tidurnya tidak lena bila terkenangkan wanita itu. Kesempatan yang diperolehi untuk bersama-sama wanita itu di gunakan sepuas-puasnya untuk menatap wajah yang telah lama diimpikan dalam hidupnya. Dengan tahi lalat di atas bibir kanan membuatkan senyuman itu bertambah manis. Derai tawanya terjaga dengan sopan walau jenaka yang diutarakan agak melampau batas.

"Ainnur...Your friend yang keluar dengan kita tu, Hani our receptionist isn't it?

Ainnur yang sedang tekun menelaah diari harian tersentak dengan teguran Tengku Zafran yang tiba-tiba terpacul dimuka pintu biliknya setelah hampir 10 minit lelaki itu berlalu tadi.

"Ya Engku. Kenapa?"

"Tak ada apa-apa." Tengku Zafran terus berlalu dengan senyuman masih terukir di bibirnya.

Ainnur mengerut dahi. Pelik dengan sikap Tengku Zafran. Bos dah jatuh cinta dengan Hani ke? Ceria semacam saja sejak mereka keluar bersama semalam.

Namun tidak dinafikan, Tengku Zafran masih bujang dan Hani sendiri masih mencari bakal suami. Mereka memang sesuai jika dipadankan bersama. Hani pandai bergaya dan orangnya kurus, tinggi lampai sesuai dengan dengan Tengku Zafran yang berwajah kacukan Melayu-Jerman, segak dan berbadan sasa. Ainnur segera membayangkan sekiranya digandingkan keduanya di atas pelamin. Sudah semestinya meriah dan silap haribulan menjadi topik di majalah Nona atau Pengantin untuk contoh perkahwinan bergaya.

Kini Ainnur pula tersenyum sendirian. Bertuah kau Hani kalau benar kau yang menjadi pilihan Tengku Zafran...

Berkira-kira mahu menghubungi Hani tetapi dibiarkan begitu sahaja kerana tidak mahu Hani menaruh harapan sedangkan dia sendiri belum mendengar dari mulut Naib Presiden itu tentang luahan hatinya mengenai Hani. Kalau jodoh tidak ke mana seperti dia dan....

Ainnur menelan air liur. Mengenangkan kisah perkahwinannya, memang umpama kisah sedih yang tidak pasti di mana kesudahannya. Ya Allah....tunjukkanlah kebenaran kepada jalan yang aku pilih ini. Sesungguhnya engkau maha berkuasa, seandainya telah Engkau takdirkan dia bukan milikku, bawalah dia jauh daripada pandanganku dan peliharalah aku dari kekecewaan.


Thursday, 19 April 2012

BAB 11

Ainnur baru berkira-kira untuk keluar makan tengah hari bila dikejutkan dengan kemunculan Tengku Zafran di hadapannya.
Selama tiga bulan berkhidmat dengan Tengku Zafran Tengku Zafar yang merupakan adik kepada Tengku Zharif iaitu Presiden Permata Holdings tiada masalah baginya. Malah kerjanya lebih teratur namun adakalanya menuntut dia berkorban untuk berada lebih masa di pejabat.
"U nak keluar makan ke?"
Ainnur mengangguk perlahan.
"Keluar dengan I lah. I belanja."
"Tapi Engku...."
"This time no excuse okey. Bersiaplah. I'll wait."
Ainnur serba salah. Sudah beberapa kali pelawaan dari Tengku Zafran untuk makan bersama ditolaknya. Segan dan sudah pastinya statusnya sebagai isteri seseorang menghalang dia untuk lebih merapatkan jurang di antara seorang bos dan pembantu peribadi. 
Tapi...bukannya ada orang tahu aku ni isteri orang? Ngomelnya sendiri.
Namun kata-kata ibu sentiasa diingatan supaya dia dapat mengawal dirinya dari melakukan perkara-perkara di luar batasan.
Pesan ibu, segala amal ma'ruf dan nahi mungkar, setiap apa yang dilakukan oleh suami apalagi isterinya, akan dipikul oleh suami di hari Qiamat kelak. Kerana itulah seorang isteri diwajibkan untuk mentaati suaminya selagi segala perintahnya itu tidak melanggar syariat. Kerana itu juga seorang wanita yang bergelar isteri, wajib mengetahui dan mempelajari segala hukum yang bersangkutan dengan kehidupan berumahtangga dan hal yang berkaitan dengan ketaatan terhadap suami agar terpelihara amal ibadahnya dan memperolehi kebajikan dan menfaat di dunia dan akhirat.
Apatah lagi, saat dirinya dihurungi kebosanan kerana hidup rumahtangga yang tidak pasti akan kesudahannya.
"Ainnur..."
Ainnur tersentak apabila Tengku Zafran menyentuh lembut belakang tangannya yang diletakkan di atas meja. Lantas tangannya di tarik.
"Sorry...I tengok u ni asyik sangat mengelamun."
"Sorry Engku." Kali ini dirinya pula menuturkan maaf apabila menyedari dia terleka seketika dengan perasaannya.
Tengku Zafran tersenyum dengan wajah serba salah Ainnur. Selama tiga bulan berkhidmat dengannya, Ainnur boleh dikategorikan sebagai seorang wanita yang aktif dan lincah. Segala kerjanya teratur dan jarang ada kesilapan yang berlaku. Namun sikap pemalu Ainnur masih dapat dilihat disebaliknya dirinya yang peramah itu. Dirinya sedar, Ainnur jarang bercakap dengan memandang terus ke wajahnya atau bertentang mata dengannya. Dia senang dengan sikap Ainnur yang nampak tegas dengan apa yang dilakukannya dan ini memudahkan urusan sehariannya yang sentiasa perlu bertemu dengan berbagai ragam manusia.
"I'll wait here." Tengku Zafran melabuhkan punggung di ruang menunggu pelawat dan sofa tersebut kedudukannya betul mengadap Ainnur membuatkan dia bertambah kurang selesa.

Saya keluar lunch dengan Hani and my bos

SMS itu dihantar terus kepada Adam sekadar memberitahu dan dalam masa yang sama meminta keizinan. Namun dia tahu, Adam tidak pernah menghalang ke mana jua dia ingin pergi atau dia ingin buat selama mereka bersama ini. Terkadang dia bosan kerana langkah kakinya sudah tidak sepanjang dulu, hidupnya hanyalah rumah dan pejabat. Selebihnya kalau rajin dia akan menemankan untuk membeli belah atau membeli bahan bacaan. Serasanya, rak perpustakaan mini Adam sudah penuh dengan buku-buku yang baru dibelinya dan sesudah dibaca dijadikan koleksi di situ.
"Engku...I naik kereta sendiri bolehkan?"
Lelaki kacukan Jerman-Melayu itu tersenyum lantas berlalu dan sempat membalas pertanyaan Ainnur.
"Make it fast okey, but not to fast...careful driving. I'll call u to confirm the place."
Dia sedar Ainnur tidak selesa untuk berada dekat dengan dirinya namun dia senang kerana Ainnur tidak menolak pelawaannya kali ini.

Ok

Balasan SMS dari Adam ternyata membuat Ainnur lega.

*******

"Adam..." Satu kucupan mesra dihadiahkan di pipinya.

"U kiss i tak ada orang marah ke?" 


Ternyata dia kurang senang tindakan Maya namun dia sendiri kurang pasti kenapa dia berada di sini pada ketika ini. Marahnya pada Maya masih belum hilang tetapi dia tidak dapat menghalang dirinya yang sebenarnya merindui gadis manja di depannya itu.

"Baby...I tahu you rindukan kiss I kan?" 


Melintuk liuk Maya di depan Adam. Dia hanya tunduk merenung pinggan kosong di hadapannya. Tidak pasti apa yang dirasakannya kini. Jika tadi hatinya membuak-buak mahu menemui gadis di depannya itu apabila menerima SMS Maya yang mahu menemuinya. Tapi kini, perasaannya kosong.


"Baby...I miss Adam I yang dulu. The handsome boy that make me laugh and kept girl jealous because i have you beside me."

Sekali lagi lelaki itu diam.

"Baby..." 


Sentuhan lembut di pipinya membuatkan Adam terleka. Sudah lama dia tidak mendapat belaian itu walau dari isterinya sendiri. 

"Kenapa you tinggalkan I sayang? Hidup I jadi huru hara sebab I sayangkan you sangat." Wajah lembut itu dielus perlahan. Jari jemari Maya digenggam kemas. 


"I confuse. Time tu fikiran I bercelaru dan hati I sakit sangat bila tahu you kahwin dengan perempuan lain. Siapa perempuan tu baby?" Maya cuba mengalih topik untuk tidak berbicara mengenai mengapa dia menarik diri di saat akhir perkahwinan mereka.


Beberapa mata yang baru mengambil tempat di dalam restoran makanan segera itu terus mencuri pandang kepada gadis cantik yang sedang bercengkarama dengan jejaka bermata kuyu itu. Pasangan itu tidak mengendahkan mata yang memandang dan mulut yang berbisik. Sudah semestinya wajah gadis itu sentiasa terpampang dalam iklan di suratkhabar atau pun iklan di kaca televisyen. Berpacaran di khalayak ramai, sudah pastinya akan menarik minat sesiapa sahaja untuk menjadikan itu topik panas untuk bergosip.


"I don't know her. Itu pilihan mummy...I'm sorry sebab sakitkan hati you. I terpaksa." 


Sesalan menerpa dirinya tiba-tiba kerana mudah benar menerima cadangan mummy untuk menikahi Ainnur sedangkan cinta dan kasihnya masih untuk Maya dan Maya juga nampaknya begitu. Tapi sanggupkah dia melukai hati mummy untuk membatalkan perkahwinan itu? Sama sekali menconteng arang ke muka mummy dan papa, tidak akan sekali-kali akan dilakukannya. Kerana itu, majlis tersebut terpaksa diteruskan dengan pengantin yang lain.


Kesannya, hingga kini Ainnur tidak pernah disentuh. Hidup mereka bagaikan orang asing.


"Sayang...please come back to me. I need you in my life. I want you. Hanya you yang boleh membahagiakan I." Adam membawa jemari runcing Maya yang kukunya disaluti pewarna merah jambu  ke bibir dan dikucup lembut. Mudah sungguh hatinya rapuh dengan rayuan Maya. Sentuhan dan belaian Maya telah membuatkan dia lupa status dirinya. Marah dan rajuk terus berlalu pergi seolah-olah tidak terkesan di hati.


"I juga perlukan you dalam hidup I. Baby...let's go somewhere. Dekat sini, ramai sangat orang." Bisik Maya.


Tanpa sedar...ada mata yang terus memerhatikan pasangan itu beredar sambil berpegangan tangan seperti pasangan kekasih yang intim.
Adam...masih tidak berubah. Keluhan kecil meluncur dari wajah bermisai itu.

Friday, 13 April 2012

BAB 9

"Annur...Boleh masuk jumpa saya sekejap."
Kedengaran suara Encik Imran di interkom. Ini hari pertama dia masuk kerja selepas seminggu mengambil cuti kahwin. Rasa agak janggal pula bila dia kini bergelar isteri orang.

Melihatkan meja Encik Imran yang penuh dengan fail projek, Annur faham dengan ketiadaan dia, pasti huru hara kehidupan Encik Imran di pejabat. Siapa lagi yang ditugaskan untuk mengemas meja bosnya itu kalau bukan dia. Pantang Encik Imran kalau fail di atas meja dia di sentuh melainkan hanya Annur yang dibenarkan.
"Duduk Annur." Encik Imran mempersilakannya duduk sambil menghadiahkan senyuman nipis.
"U sudah baca surat yang I letak atas meja U?"
Annur mengerut dahi...Tak perasan pula, sebabnya banyak sangat dokumen dan fail yang berterabur di atas mejanya sampaikan surat yang sekeping itu pun dia tak perasan. Baru saja kerja-kerja hendak mengemas dimulakan, Encik Imran sudah memanggilnya.
"Okey...First of all, I nak ucapkan tahniah for your wedding. Sorry...I tak dapat datang. Actually I tak tahu pun U berpacaran dengan anak Murni." Encik Imran tertawa sendirian. Annur hanya tersenyum simpul.
Memang tak pernah pun berpacaran dengan dia tu.
"Bila U and Murni cuti, then I huru hara sekejap. Sorry about your table,a bit messy."
"It's okey Encik Imran." Wajah bosnya di tatap dalam diam. Masih menunggu jawapan berkaitan surat di atas mejanya. Surat apa? Untuk siapa? Penting ke?
"Annur...I pun tak nak panjangkan cerita, biarlah I berterus terang. Sebab I rasa lepas ni lebih banyak U kena berkemas lagi."
Annur membetulkan duduknya mengadap Encik Imran.
"Actually, U will be transferred to our Vice President start from today. Tapi bila I tengok meja U, I already talk to him that U will be there tomorrow."
"Tapi Encik Imran..." Belum sempat Annur menghabiskan ayatnya, cakapnya sudah dipotong oleh Encik Imran.
"I rasa U sudah baca polisi syarikat sebelum tandatangan surat akuan bekerja di syarikat ini yang menyatakan dengan terang dan jelas bahawa jikalau ada di antara kamu mempunyai hubungan keluarga tidak boleh ditempatkan di bahagian yang sama. U fahamkan?"
Annur terdiam seketika sambil tunduk merenung jari-jarinya yang meruncing. Cincin kahwin tiada yang ada hanyalah cincin belah rotan di jari manis tangan kanannya sebagai tanda peringatan bahawa dia adalah milik seseorang.
"I have to do this, if not kalau human resource tahu I akan di ambil tindakan. I akui U adalah PA I yang terbaik berbanding dengan mereka sebelum ni. Sudah 4 tahun U dengan I dan I kagum dengan cara U bekerja dan komitmen U pada setiap kerja atau tugasan yang I berikan. Tapi I rasa U perlu angin baru. Selain dari itu, ini cara yang terbaik untuk U mendapatkan pengalaman baru dengan bos baru."
Terang Encik Imran panjang lebar.
"Tapi kenapa Vice President?" Annur menimbulkan persoalan kerana memang itu yang berlegar-legar di ruang mindanya. Terlalu jauh melangkau, tak sedap pula. Ada pula mulut-mulut yang bercakap nanti.
"At this moment, his PA baru sahaja resign...Sementara nak dapat PA baru, i suggest to HR untuk tempatkan U di sana dan mereka sudah pun bersetuju. Lagipun, tiada tempat yang kosong sekarang ni melainkan VP office. So, kalau VP suka dengan U, mungkin PA baru nanti I yang punya." Encik Imran tertawa besar. Annur hanya tersenyum simpul.
"Encik Imran...saya ada satu permintaan." Kali ini Annur pula membuka mulut dan Encik Imran mengangguk tanda setuju dengan permintaan Annur.
"Hurm...saya nak mintak status perkahwinan saya ini dirahsiakan. Kalau boleh, HR pun tak tahu. Ini atas permintaan suami saya."
Encik Imran mengerut dahi sambil menggaru pipinya. Kemudian dia tersenyum.
"I takkan tanya apa sebabnya kerana ini hal rumah tangga U. Kalau itu yang U minta, baiklah...Tapi U masih kena tukar bahagian okey?"
Annur mengangguk tanda setuju.

Thursday, 12 April 2012

BAB 8

"Assalamualaikum ibu."
"Waalaikumussalam Anur...Anak ibu sihat?"
Suara ibu yang lembut menyapa corong telinganya. Ainnur rasa tenang.
"Anur sihat....ibu macamana?"
"Ibu sihat...ayah pun sihat. Adam sihat?"
Ainnur menelan air liur. Adam? Entah dah bangun tidur ke belum pun dia tak tahu. Selepas Subuh tadi, dia sudah pun menyiapkan sarapan pagi. Nasi goreng kampung bersama ikan masin goreng. Nasib baiklah rumah ni ada bekalan makanan basah. Kalau tidak, mahu meraung juga dia. Sudahlah kelaparan selepas terperuk dalam bilik semalaman. Adam sedikit pun tidak mempelawa dia untuk keluar makan.

"Adam sihat bu."
"Alhamdulillah...Ibu tak boleh lama ni. Ayah dah tunggu ibu kat bawah. Nak pergi pasar beli lauk untuk masak hari ni. Anak ibu jaga kesihatan, jaga makan dan jaga diri. Tapi bila sudah bersuami ni, jangan jaga diri sendiri saja, suami pun nak kena jaga. Solat jangan sekali-kali tinggal. Ibu doakan Anur dan Adam bahagia."
"Terima kasih ibu. Insyaallah...Anur akan buat semua tu. Ibu.....Anur rindukan ibu."
Sesungguhnya dia memang rindukan Puan Qasrina bt Wahid pada ketika itu. Sekiranya boleh, dia mahu menghabiskan setiap minit dan saat bersama ibu...supaya hilang semua masalahnya pada ketika ini. Dia tidak mahu berada bersama orang lain melainkan hanya ibu di sisinya.
"Ibu pun rindukan Anur, bila senang...ajak Adam balik kampung sama. Ibu dah nak keluar ni. Kirim salam dengan Adam. Assalamualaikum."
Talian terputus. Nampak sangat ibu tergesa-gesa kerana sudah menjadi tabiat ayah yang tidak suka menunggu. Mereka adik-beradik pun sudah masak sangat dengan perangai ayah yang garang, tidak banyak bercakap dan seorang yang berpegang teguh pada janjinya.
Waalaikumussalam....Ainnur memandang sepi Blackberry nya.

Bosannya memerap di bilik. Hajat di hati nak keluar tengok TV atau membaca yang menjadi salah satu hobinya. Semalam dia perasan akan mini library di sudut ruang makan. Kalau ikutkan hati, pasti dia akan membaca dari pagi sampai ke malam. Tak sangka, suami aku yang gila ni rajin juga membaca.
Bum!!!
Terperanjat Ainnur mendengar pintu dihempas kuat dan segera dia melangkah keluar dari bilik.

Sunyi sahaja rumah itu tetapi bila di buka tudung saji, dilihatnya pinggan yang penuh dengan nasi goreng tadi sudah kosong.
Habis! Nasib baik aku dah makan dulu. Ingatkan si Adam ni diet, tak makan nasi...Ainnur tersengih sendiri.
Pinggan serta mug yang telah kosong di bawa ke sinki untuk di basuh. Sesudah itu, Annur dihimpit kebosanan kerana tiada aktiviti yang menarik dapat dilakukan di rumah selain dari menonton TV.

Teringatkan rak buku yang belum dijelajah, Annur bergegas ke sudut perpustakaan mini milik Adam.
Syoknya.....banyak buku yang belum pernah di baca. Minatnya yang mendalam terhadap apa jua bacaan telah lama tidak di asah berikutan kesibukan di tempat kerja. Bila sudah di atas katil, tidak sampai dua muka surat, matanya sudah kuyu. Kadang-kadang dia mengambil masa sampai sebulan untuk menghabiskan buku yang dibaca atau tidak akan dihabiskan langsung.

Tiba-tiba Annur teringatkan buku dan novel yang melambak di rumah sewanya. Pakaian pun masih banyak lagi yang belum di ambil. Bilalah agaknya dia dapat ke rumah sewanya untuk mengambil semua barang peribadinya itu. Teringatkan Mimi teman serumahnya, Annur pantas mencapai telefon bimbitnya, tapi Mimi mesti tengah kerja, malas pula nak mengganggu.

Akhirnya Annur mengambil buku karya Dr HM Tuah Iskandar bertajuk Membina Cinta Sayang.
Eh! Kenapa buku ni yang aku baca? Gerutu Annur sendiri. Malas nak berfikir, baca saja lah.

*******

"Beb...apa barang datang kerja? Pergilah honeymoon..." Ujar Shaq yang baru sahaja selesai mengadakan fotoshoot untuk model barunya Isha.
Adam menarik muka masam. 
"Hai Adam...I heard you're married. Congratulation. Sorry I tak dapat datang semalam." Isha menegur Adam yang sedang duduk berteleku mengadap Shaq. 
Ucapan tahniah dari Isha tidak membawa apa-apa makna pada Adam malah mukanya bertambah kelat membuatkan Shaq memberi isyarat supaya Isha berlalu dari situ.
"Come on Adam...Cheer up! Yang sudah tu sudahlah." Shaq cuba memujuk sambil tangannya ligat menelek kamera yang dipegangnya.
"Kau bukan di tempat aku, kau tak tahu apa yang aku rasa Shaq. Hati aku ni, untuk orang lain."
"Yes Adam...I'm not in your shoes. But dia dah jadi isteri kau yang sah. Kau tak boleh pretend and ignored that she does not exist in your life. Sampai bila kau nak buat macam tu?"
"Kalau bukan sebab mummy, aku takkan kahwin dengan perempuan tu." Adam memandang foto yang bersangkutan di dinding studio. Kebanyakannya hasil kerja dia dan Shaq. Mereka mempunyai tiga orang kakitangan lagi yang merupakan teman semasa di UiTM dahulu. Mereka bebas untuk melakukan kerja-kerja yang dikehendaki asalkan ianya memuaskan hati pelanggan.
"Naluri seorang ibu tak sama dengan naluri kita ni. You should trust your mum. Lagipun, Annur tu cantik apa, boleh tahan juga. Comel ja aku tengok. Masa budak-budak kita shoot gambar kahwin kau, everything looks great. Nak touch up pun tak banyak. Kalau aku, tak menyesal la dengah pilihan mak aku if she's the one." Tersenyum simpul Shaq atau nama sebenarnya Shaqier Nuqman.
"Bro...Kau kawan aku kan, boleh tak aku mintak tolong kau?"
Shaq berkerut dahi memandang Adam. 
"Tolong apa sayang...for you, anything i can." Dagu Adam dicuit.
"Eh! Kau ni makan penumbuk aku nanti. Beb...aku nak mintak tolong kau, please tutup mulut. Malas aku nak dengar pasal kahwin, pasal perempuan tu. Can we talk about other thing or going somewhere else to cheer me up? Can u?"
"Ha....Aku tahu, kalau aku bawak kau pergi tempat ni for sure kau akan happy till the end. Jom."
Adam tersengih. 
This is what friend for...teman waktu suka dan waktu duka.

   


Tuesday, 10 April 2012

BAB 7

Pertama kali menjejakkan kaki ke rumah bujang Adam membuatkan Ainnur terpegun. Rumah itu cukup lengkap seperti rumah orang kelamin. Dari dapur membawa ke ruang tamu hinggalah ke dapur. Apartment itu serba moden dengan tiga bilik tidur tetapi Adam menjadikan salah satunya sebagai studio kerjanya di rumah. Awal-awal lagi Adam telah memberikan amaran kepada Ainnur supaya jangan menyentuh atau masuk ke dalam studio peribadinya itu.

Sepertimana kata mummy, warna kuning susu yang menjadi warna kegemaran Adam dijadikan latar belakang warna dinding rumah dan dipadankan dengan warna merah hati untuk feature wall di ruang tamu.

"Ainnur ikut sajalah cakap suami tu, nanti kalau tidak derhaka pula kita ni." Teringat peristiwa tadi apabila dia terkekeh-kekeh ketawa bila mummy mengajuk balik kata-kata Adam.

"Mummy doakan Ainnur bahagia dengan Adam. Kalau ada berlaku persilisihan faham antara Ainnur dan Adam, cubalah bertolak ansur...selesaikan dengan cara baik. Tak pun, mummy ada kalau Ainnur perlukan nasihat. Mummy yakin Adam akan berubah cuma masa sahaja yang menentukannya. Ainnur banyakkan berdoa ya sayang. Naluri mummy sebagai seorang ibu kuat mengatakan bahawa Ainnur memang telah ditakdirkan sejak azali lagi untuk Adam." Seraya itu mummy terus memeluk erat Ainnur.

Airmata wanitanya mengalir perlahan tanpa sedar. Syahdu menyelubungi hatinya secara tiba-tiba mendengar kata-kata mummy. Sememangnya airmata tidak dapat dipisahkan dengan wanita kerana ia tidak kenal erti gembira atau sedih. Ia pasti mengalir tidak kira masa dan di mana jua.

"Yang kau tercegat kat situ kenapa?!"
Dalam tidak sedar rupanya sudah lama dia berdiri di muka pintu tetapi tidak masuk.
"Duduk sini, aku ada benda nak cakap dengan kau."
Ainnur yang sejak tadi diam membisu terus mengekori Adam ke ruang tamu. Seperti lembut dicucuk hidung, Ainnur diam dan menurut segala tindak-tanduk Adam bila disuruh duduk di sofa di ruang tamu yang menempatkan set sofa putih panjang dan sebuah TV LED 42 inci. 

Si gila ni mesti gila tengok TV...getus hati Ainnur.

Mereka sama-sama melabuhkan punggung di sofa kulit dan tiba-tiba Adam bangun. Dia berjalan mundar-mandir di hadapan Ainnur kemudian menuju ke dapur dan mengambil segelas air seraya meneguknya di hadapan Ainnur yang agak resah kerana sudah 5 minit berlalu namun tiada kata yang keluar dari bibirnya.
Kemudian Adam melangkah perlahan dan duduk di atas coffee table, betul-betul mengadap Ainnur. Dia tergamam seketika dengan tindakan Adam.
"Kau dengar sini baik-baik...aku sengaja bawa kau tinggal di rumah aku sebab ini rumah aku dan aku boleh buat apa saja aku suka. Rumah aku, peraturan aku. Kalau kau tak mahu ikut sila keluar...tapi ingat, sekali kau keluar dari rumah ini tanpa izin aku...tanpa pengetahuan aku...aku anggap kau derhaka pada suami dan tak akan maafkan kau sampai bila-bila."
Apa punya balalah yang aku dapat ni? Dapat suami mengongkong. Stresslah pula.
"Peraturan pertama...aku tak suka kau keluar ke mana-mana tanpa pengetahuan aku walaupun keluar pergi pasar dengan mummy."
Ainnur membuat muka bosan. Perli aku la tu...
"Yang kedua...aku tak suka orang buat muka toya dengan aku."
Perli aku lagi la tu...getus hati Ainnur. Meluat! Kenapalah aku kahwin dengan dia ni? Menyesal!

"Yang ketiga....aku tak suka kau canang satu dunia yang kau dah kahwin. Kalau kau mengaku yang kau belum kahwin lagi bagus supaya apa-apa yang akan jadi akan datang, kau takkan menyesal atau malu dengan status kau."

Apa-apa yang jadi akan datang? Jadi apa? Janda? Ainnur mengetap bibir...apa punya peraturan ni? Mengarut! Tak boleh diterima akal. Dah tentu kat pejabat dan kecoh pasal dia yang kahwin dengan anak Kak Murni tiba-tiba. Silap haribulan, berita dia di tangkap khalwat pula yang tersebar. Kalau tak, mana mungkin angin takde, ribut takde, tiba-tiba nak nikah. Kad kahwin tulis nama orang lain tapi yang naik pelaminnya Ainnur Amnani bt Syuib.
Namun kata-kata itu cuma lahir di hatinya. Ainnur bukanlah seorang wanita yang gemar berterus terang. Marah, benci, sayang semua hanya dapat di lihat melalui batinnya sahaja. Hanya terzahir di wajah adakalanya.

Tapi...Adakah maksud kata-kata Adam bahawa dia akan jadi janda? Jadi...Adam memang ada niat untuk menceraikannya. Ainnur tunduk merenung lantai, tidak sanggup lagi menentang Adam yang duduk di hadapannya. Hatinya mula disayat pilu. Airmata...janganlah kau mengalir pada ketika ini. Aku perlu tabah kerana jalan ini aku yang pilih.

"Peraturan yang keempat..."

Wajahnya di angkat memandang tepat Adam. Terleka seketika dia dengan kurniaan Tuhan yang sedang tercongok di depannya itu. Tiada cacat celanya pada wajah suaminya itu, sekali imbas seperti pelakon Korea kerana matanya yang agak kecil tetapi tidak terlalu sepet, hidung sedikit mancung dan kulit sawo matang. Tetapi ada kelembutan di sebalik wajahnya yang seperti sengaja di buat-buat masam. Pandangan mata Adam menyorot tajam menikam mata Ainnur.

"Kenapa kau pandang aku macam tu?" Tidak senang dengan renungan Ainnur yang menjelajah ke seluruh inci wajahnya.

Ainnur tergamam. 
"Sorry..." Hanya itu yang mampu terucap. Bodohnya kau ni Ainnur... Termalu dengan tindakannya yang secara tidak sengaja telah tertelek wajah Adam.
Boleh tahan juga la...Sebab itu, model pun boleh tersangkut dengan dia, tapi tak jadi juga kahwin. Akhirnya aku yang model tempe ni yang jadi isteri kau orang gila. Ainnur tersenyum sampai ke telinga, nak ketawa nanti kena tempik lagi. 
"Peraturan yang keempat dan terakhir, when i said no...It's no! And when i said yes...It's yes! Jangan membantah apa yang aku cakap dan apa yang aku buat. Kalau tidak, kau derhaka. Faham?!"
Terkebil-kebil Ainnur memandang Adam yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di balkoni.
Asyik-asyik isteri derhaka jadi modal...Boring...! Semua nak ikut cakap dia, habis tu...cakap aku, siapa nak dengar?

"Opss! Satu lagi aku nak beritahu, master bedroom tu bilik kau. Dalam tu ada personal washroom. Aku tak ada hati nak tengok kau berkemban keluar masuk bilik air kat luar ni. So, bilik aku di luar ni dan jangan sekali-kali kau nak masuk bilik aku." Tersentak Ainnur mendengar kata-kata Adam. Tolonglah...aku pun tak ingin nak masuk bilik kau dan tergedik-gedik nak tayang body depan kau walau kau suami aku yang sah. Bertambah meluat Ainnur dengan perangai Adam. Baru hari kedua dia bergelar isteri, macam-macam syarat sudah Adam suarakan.

Tapi bila mengenangkan dia dan Adam tidak tidur sekatil...dia boleh menghembus nafas lega kerana sekurang-kurangnya dia boleh cuba menyesuaikan diri untuk hidup bersama Adam walau tidak pasti sampai bila mereka akan meneruskan drama kehidupan berumah tangga.

"Hurm....Encik Adam dah habis bercakap ke? Bolehkah saya beredar ke bilik saya?" Bosan berlama-lama dengan Adam membuatkan Ainnur mengambil keputusan untuk beredar. 
"Suka hati kau lah!"
"Bukannya apa, nanti derhaka pula kalau tak mintak izin." Dia tersenyum sendiri dengan kata-katanya itu.
Kurang asam punya isteri...kau perli aku. Adam bercekak pinggang sambil melihat Ainnur dengan selamba berlalu masuk ke biliknya.

Melihatkan bilik besar itu yang menempatkan sebuah katil kelamin serba putih. Almari baju berwarna kelabu dipadankan dengan langsir putih serta karpet ambal berwarna hitam menjadi pilihan. Cantik....tapi bersepah!
Ainnur mengeluh...nasib badan...

Monday, 9 April 2012

BAB 6

"Ainnur...Mari minum sama."

Murni menggamit Ainnur yang baru sahaja turun untuk bersarapan. Baru 8.30 pagi sarapan pagi telah lengkap terhidang. Ainnur terasa segan memikirkan seolah-olah dia lewat bangun pagi. Apa pula kata Murni bila melihat dia baru hari pertama menjadi menantu di rumah itu, sudah mula menunjukkan perangai tidak baik.

Di meja makan, telah tersedia nasi lemak bungkus daun pisang, kuih seri muka beserta bau Nescafe O panas menarik selera Ainnur sehinggakan dia tidak sedar akan kehadiran Adam yang meliriknya dengan pandangan tajam.

"Maaf...Ainnur tak tolong mummy." Bisiknya ke telinga mummy. Segan dengan mata-mata yang memandang seolah-olah dia bersalah besar. Ainnur mengambil tempat di sebelah mummy dan duduk menghadap Adam yang tidak langsung mengangkat muka memandangnya.

"Takpelah Ainnur, bukan masak pun...mummy beli dekat kedai makcik depan simpang tu. Nak masak memang tak larat la." Ainnur hanya tersenyum pendek dengan penjelasan mummy.

"Kak Nur duduk sebelah Along la....Kenapa duduk sebelah mummy?"

Arina yang telah mengambil tempat di sebelah papa tiba-tiba bersuara. Ainnur terdiam. Papa diam tetapi kerlingannya nampak tidak senang hati dengan cara Arina.

"Alah! Tak apa la menantu duduk sebelah mummy...apa salahnya. Ke ada orang cemburu?"Murni yang perasan akan riak wajah menantunya yang agak berubah dengan kata-kata Arina cuba menenangkan keadaan.

"Ha....Ni mesti nak manja lebih macam Kak Maya...."

Berubah muka Adam mendengar kata-kata Arina dan terus dia meninggalkan meja makan dengan tanpa berkata apa-apa. Nasi lemak yang telah dibuka bungkusannya terbiar begitu sahaja.

"Adik...Kenapa dengan awak ni? Kan Mummy dah pesan jangan sebut nama Maya lagi dalam rumah ni."

Mummy mendengus marah. Arina seolah-olah tidak mengambil endah dengan kata-kata mummy dan terus berlalu keluar.

Ainnur termangu-mangu sendirian. Selera untuk makan terus hilang. Papa berlagak seolah-olah tiada apa yang terjadi, matanya terus tertacap pada surat khabar Utusan Malaysia yang di tangan. Mummy menyentuh perlahan tangan Ainnur.

"Mummy minta maaf pasal Arina. Dia memang sebenarnya tak berapa suka dengan Maya. Lebih-lebih lagi bila Maya buat macam ni, bertambah marah dia dengan Maya."

Ainnur mengangguk perlahan tanda mengerti tetapi dalam hatinya sungguh tidak mengerti kenapa aku yang jadi mangsa sedangkan Maya yang dibenci?

"Ainnur temankan mummy pergi pasar ye. Bahan nak masak makan tengah hari habis langsung." Murni cuba meredakan suasana yang tegang. Ainnur mengangguk tanda setuju.

"Pergilah bersiap. Mummy tunggu dalam kereta ya."

Tiada kata-kata yang lahir dari bibir Ainnur yang hanya mengangguk sambil itu tangannya ligat membantu mummy mengemas meja. Papa sudah beransur menuju ke bilik. Selesai mengemas, mummy melarang Ainnur untuk turut serta di dapur dan menyuruh Ainnur bersiap untuk ke pasar.

Hampir separuh tangga di panjat, langkahnya terhenti bila mengenangkan Adam pasti berada di dalam bilik tidur mereka. Perasaan serba salah mula menjebak hati Ainnur tetapi demi tidak mahu untuk berada berdua-duaan dengan Adam di rumah sekiranya mummy ke pasar dengan papa, digagahkan jua kaki untuk melangkah.

Pintu di tolak perlahan tetapi kelibat Adam tidak kelihatan. Ainnur menarik nafas lega dan menuju ke meja solek untuk mengambil beg sandang.

"Kau nak pergi mana?"

Ainnur tersentak. Dari cermin meja solek dia dapat melihat Adam sedang duduk berpeluk tubuh di birai katil dengan wajah yang masam mencuka. Entah dari mana Adam muncul, dia sendiri tidak pasti.

"Ainnur nak temankan mummy pergi pasar." Teragak-agak Ainnur bersuara.

"Aku tak suka kau pergi mana-mana tanpa beritahu aku dulu, kau faham?"

Dia tunduk merenung kaki, tidak sanggup melihat pandangan tajam Adam yang seolah-olah ingin menelannya.

"Aku nak kau kemas semua pakaian kau lepas kau balik pasar nanti."

Pantas dia beralih pandangan kepada Adam dan pandangan mereka bertaut. Dada Ainnur berdegup kencang.

Aku nak kena cerai ke?

Adam bangun dan mendekati Ainnur. Sengaja dia berdiri rapat sungguh dengan Ainnur sampaikan terpaksa isterinya itu berundur perlahan-lahan ke belakang. Ainnur tersepit dengan Adam terpacak tegak di hadapan dan meja solek menghalangnya untuk bergerak lebih ke belakang, tetapi lekas dia beralih ke kiri berdiri dekat dengan pintu masuk.

"Ad...Adam nak ceraikan Ainnur ke?" 

Ketukan dipintu membuatkan Ainnur lantas membuka pintu kerana dia tidak sanggup mendengar jawapan yang datang dari mulut Adam. Terasa dirinya diperbodohkan atau adakah dia yang telah memperbodohkan dirinya sendiri? Menerima lamaran dan bernikah dengan lelaki yang tidak pernah mencintai dan dicintai dirinya dalam masa tidak sampai seminggu pun. 

Aku bukan terdesak sangat pun nak berlaki...Gerutunya dalam hati.

Tapi bila mengenangkan umurnya sudah mencecah 30 tahun, Ainnur beranggapan serunya untuk berumah tangga telah tiba dengan lamaran dari mummy untuk menjadi pengganti pengantin perempuan yang telah menarik diri untuk menjadi isteri kepada anak sulungnya. Dan Adam telah menerima dirinya tanpa banyak soal, itulah yang diberitahu oleh mummy. Tapi dia sendiri tidak pasti adakah itu jawapan yang benar atau jawapan untuk menyedapkan hatinya.

"Ainnur dah siap?" Mummy terjengul di muka pintu, rambutnya separas bahu telah disikat rapi. Mummy hanya berseluar slack warna coklat muda dipadankan dengan blaus berwarna kuning air. Sekilas mummy kelihatan lebih muda dari usianya yang sudah mencecah 50 tahun.

"Mummy...Along dah fikir masak-masak untuk bawa Ainnur pindah rumah Along."

"Tapi Along..." Belum sempat mummy menghabiskan ayat, Adam sudah mematahkan kata-kata mummy.

"Dia isteri Along, syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Kalau dia tak ikut, dia jadi isteri derhaka. Kalau dia nak masuk neraka, dia boleh duduk sini dengan mummy."

Ainnnur terpinga-pinga dengan penjelasan Adam manakala mummy menggeleng kepala dengan keputusan anaknya yang terburu-buru itu.

Ingatkan nak kena cerai tadi....Ainnur menghembus nafas lega.



Sunday, 1 April 2012

BAB 5

"Saya terima nikahnya Ainnur Amnani bt Shuib dengan mas kahwinnya 300 ringgit tunai..."
Dengan lafaz itu, Ainnur sah menjadi isteri kepada Adam Niyaz, anak lelaki sulung di dalam keluarga Amar dan Siti Murni yang berusia 2 tahun lebih muda dari Ainnur tetapi takdir telah menemukan mereka di dalam situasi yang tidak dirancang.
Tidak seperti pengantin lain yang akan menitiskan air matanya kegembiraan dengan lafaz tersebut, Ainnur hanya termangu sendirian. Bagaimanakah malam pertamanya? Akan berbulan madukah dia? Bagaimana kehidupan seterusnya sebagai seorang isteri? Adakah dia akan tinggal dengan Kak Murni atau Adam akan membawanya tinggal di tempat lain? Dan yang lebih menakutkan dia adalah, adakah dia akan bahagia dengan Adam? Atau adakah dia akan menjadi mangsa nikah kahwin 24 jam?
Oh! Tidak....
Jantung Ainnur berdegup kencang apabila Adam menyarung cincin di jari manisnya dan mencium dahinya. Mereka tersenyum manis semasa disandingkan tetapi itu semua palsu. Malah Adam tidak pernah memandangnya walau sesaat pun. Adam menolak bergambar berdua-duaan dengan alasan agak pemalu dan tidak pandai beraksi. 

Dan kini dia berseorangan di dalam kamar pengantin yang dihias indah bertemakan inggeris. Warna putih susu menjadi adalah warna kegemaran Adam menurut kata Kak Murni.

Jam berdetik menunjukkan 9 malam. Ainnur telah pun membersihkan wajahnya dari solekan yang merimaskanya sepanjang hari. Baju  pengantin yang tergantung di tepi almari baju ditatap tanpa perasaan. Dari celah jendela, Ainnur dapat melihat dengan jelas Adam sedang berbual dengan beberapa orang lelaki yang mungkin sebaya dirinya. Derai tawa mereka dapat didengar hingga ke dalam biliknya yang terletak di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu. Ainnur terus memerhatikan gerak geri Adam yang nampak bersahaja sehingga Adam bergerak masuk ke dalam rumah meninggalkan rakan-rakannya yang sedang berbual di depan rumah.

Hampir 10 minit, kelibat Adam masih tidak kelihatan di muka pintu yang sengaja dibiarkan renggang  sedikit kerana dia tidak mahu Adam mengetuk pintu untuk masuk.

Dengan sikap Adam yang dingin padanya, malah Adam tidak langsung menjenguk muka ke dalam kamar pengantin itu. Dari siang tadi, tengkolok dan sampin terdampar di atas sofa ruang tamu dan Ainnur pantas mengambil dan meletakkannya di dalam bilik kerana tidak mahu sesiapa menyesaki apa-apa.

Kebanyakan saudara dan rakan yang hadir tidak tahu Ainnur adalah bukan bakal pengantin yang sebenarnya. Hanya rakan-rakan pejabat yang agak keliru, tetapi apabila mereka mengetahui hal yang sebenarnya, mereka lebih suka mendiamkan diri. Tetapi kehadiran mereka tidaklah seramai yang dijangka Kak Murni.
Tidak sampai 10 orang pun yang hadir kerana unit mereka tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan unit lain.
Encik Imran sendiri tidak mahu kakitangan yang ramai kerana dia tidak mahu banyak kaki dan tangan tetapi mulut yang nampak terlebih buat kerja. Dan alasan yang lebih kukuh adalah, senang hendak memantau. Keluar dari pejabat, semua orang di depan matanya.
Ketika alasan itu diperdebatkan di dalam mesyuarat pengurusan syarikat, berderai tawa pihak pengurusan tetapi alasan tersebut tetapi dapat diterima dengan mudah kerana unit mereka tidak pernah bermasalah dalam menyelesaikan semua kerja. Kebanyakan kerja dapat diselesaikan mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

Ainnur mengambil keputusan untuk turun ke bawah setelah siap membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak bagi membantu apa yang patut. Tiada acara membuka hadiah sepertimana pengantin baru yang lain kerana cadangan tersebut sudah ditolak lebih awal oleh Adam kerana katanya dia mahu membuka hadiah tersebut dengan Ainnur sahaja. Ramai saudara mengusik mereka bila jawapan itu diutarakan oleh Adam tetapi Adam kelihatan selamba seolah-olah mereka memang pasangan bahagia yang mahukan privasi mereka sendiri di dalam upacara itu.

Bila Ainnur turun ke bawah, kelibat saudara mara ramai yang sudah pulang. Yang ada hanya Pak Uda yang sedang bersembang dengan Kak Murni dan Abang Amar di luar rumah.

Dah kahwin...mana boleh panggil Kak Murni dengan Abang Adam lagi....panggil la Mummy dengan Papa...
Teringat dia dengan usikan ibu kerana ketika sedang disolek oleh mak andam tadi, dia masih memanggil Kak Murni dengan panggilan akak. Agak tersangkut perkataan itu ditekak ketika cuba dikeluarkan.

Mummy dengan Papa...Ainnur tersenyum sendiri.

Dia melihat-lihat sekitar dalam rumah mertuanya itu. Dari ruang tamu hingga ke dapur, tiada apa perlu dikemaskan kerana majlis persandingan mereka di adakan di dewan yang tidak jauh dari kawasan rumah mertuanya.
"Ainnur....Buat apa seorang kat dapur ni?" Pertanyaan Murni menyekat lamunan Ainnur.
"Tak buat apa kak sebab tak tahu nak buat apa." Murni tertawa mendengar jawapan Ainnur.
Diraihnya bahu Ainnur dan dipeluk dengan penuh kasih sayang.
"Mummy la...kan ibu dah tegur siang tadi." Ainnur tersenyum mendengar teguran Murni.
"Sudah pukul 11 ni, Ainnur pergi la tidur dulu. Adam dari tadi pergi hantar kawan dia, sampai sekarang masih tak balik lagi. Kejap lagi, tibalah tu. Ainnur mesti letih sebab seharian sibuk ke sana ke mari."

Ainnur tersenyum pendek.

Baru selangkah Ainnur menaiki tangga, tangannya diraih dari belakang.
"Mummy doakan Ainnur dan Adam bahagia hingga ke akhir hayat. Mummy tahu, ini bukan kehendak Adam mahupun Ainnur, tetapi jika takdir telah mempertemukan kamu berdua dalam keadaan begini...mummy harap Ainnur dapat menjadi petunjuk ke jalan kebahagian kepada Adam. Adam muda dari Ainnur dan mummy harap Ainnur dapat bersabar dengan perangai Adam yang agak kebudak-budakan tu."

Kata-kata mummy terus bermain-main di fikirannya. Jam menunjukkan 12 tengah malam namun tiada tanda-tanda Adam akan pulang dan Ainnur sudah keletihan menunggu. Kelopak matanya semakin berat dan dia tertidur tanpa sedar pengantin lelaki tiada di sisinya untuk malam pertama mereka.