Monday, 23 April 2012

BAB 12

Suasana pagi pada hujung bulan April ini kelihatan hening. Hari Isnin pastinya hari bermasalan untuk bekerja lebih lagi esok jatuhnya Hari Pekerja yang menandakan cuti umum buat semua rakyat Malaysia. Ainnur sendiri tidak pasti kenapa dia bekerja hari ini sedangkan ramai teman yang lain bercuti dan berehat di rumah kerana hari lompat itu hanya sehari. Tidak salah rasanya menggunakan cuti tahunan yang ada untuk menjadi penyambung kepada hari cuti esoknya.

Tiada siapa lagi yang kelihatan, malah tempat letak kereta pun masih banyak lagi yang kosong tidak berpenghuni. Sudah menjadi kebiasaan, lepas jam 8.30 pagi, parkir kereta pasti penuh. Siapa cepat dia dapat, siapa lambat terkulat-kulatlah mencari parkir yang adakalanya jauh dari tempat kerja.
Ditelek jam CK hitam yang merupakan hadiah sempena hari jadinya semasa dia berkhidmat di bawah Encik Imran. Memang sudah lama diidamkan jam tersebut dan pemberian tersebut seperti rezeki yang jatuh dari langit. Syukurnya dipanjatkan ke hadrat ilahi kerana tidak pernah putus dengan rezeki.
Baru jam 8.00 pagi. Awal pula pagi ni...Getus bibirnya.
Lif berhenti di tingkat 18 yang menempatkan pejabat Naib Presiden Permata Holdings dengan gambar rasmi Tengku Zafran tergantung kukuh di hadapan pintu masuk.

Semasa kakinya melangkah masuk ke pejabat, suasana lengang...Yang ada hanyalah Kak Minah pencuci pejabat sedang membersihkan meja.

"Assalamualaikum Cik Ainnur."

"Waalaikumussalam Kak Minah. Dah berapa saya beritahu, jangan panggil saya cik. Panggil Ainnur dah cukup. Segan, saya bukannya bos pun." Tas tangan diletakkan di atas meja.

"Tak boleh Cik Ainnur. Kalau bos besar dengar saya panggil Ainnur saja, nanti dia marah..." Muka Kak Minah berkerut keresahan.

"Siapa bos besar? Tengku Zafran? Tak apa, lain kali kalau Engku marah, beritahu saya yang minta Kak Minah panggil saya dengan nama. Okey kak?"
Bahu wanita berusia 50 an itu disentuh lembut. Kak Minah tersenyum seraya mengangguk.
Dia tahu, hati Ainnur mulia meskipun dari luaran Ainnur nampak tegas.

"Morning Ainnur."

Suara itu memang sudah lali ditelinganya sejak tiga bulan bertugas dengan lelaki tampan itu, namun sapaan pagi ini lain kedengarannya. 

"Morning Engku."

"This is for you because sudi keluar makan dengan I last week."

Sejambak ros merah yang diikat serumpun dengan riben merah jambu di letakkan di atas mejanya. Tengku Zafran nampak ceria dengan senyumannya melebar hingga ke telinga. Menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi dan putih bersih.

"Thank you Engku."

"No. I should thanks to you." Pantas Tengku Zafran memotong kata-kata Ainnur. Sesungguhnya dia dilanda satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sepanjang malam tidurnya tidak lena bila terkenangkan wanita itu. Kesempatan yang diperolehi untuk bersama-sama wanita itu di gunakan sepuas-puasnya untuk menatap wajah yang telah lama diimpikan dalam hidupnya. Dengan tahi lalat di atas bibir kanan membuatkan senyuman itu bertambah manis. Derai tawanya terjaga dengan sopan walau jenaka yang diutarakan agak melampau batas.

"Ainnur...Your friend yang keluar dengan kita tu, Hani our receptionist isn't it?

Ainnur yang sedang tekun menelaah diari harian tersentak dengan teguran Tengku Zafran yang tiba-tiba terpacul dimuka pintu biliknya setelah hampir 10 minit lelaki itu berlalu tadi.

"Ya Engku. Kenapa?"

"Tak ada apa-apa." Tengku Zafran terus berlalu dengan senyuman masih terukir di bibirnya.

Ainnur mengerut dahi. Pelik dengan sikap Tengku Zafran. Bos dah jatuh cinta dengan Hani ke? Ceria semacam saja sejak mereka keluar bersama semalam.

Namun tidak dinafikan, Tengku Zafran masih bujang dan Hani sendiri masih mencari bakal suami. Mereka memang sesuai jika dipadankan bersama. Hani pandai bergaya dan orangnya kurus, tinggi lampai sesuai dengan dengan Tengku Zafran yang berwajah kacukan Melayu-Jerman, segak dan berbadan sasa. Ainnur segera membayangkan sekiranya digandingkan keduanya di atas pelamin. Sudah semestinya meriah dan silap haribulan menjadi topik di majalah Nona atau Pengantin untuk contoh perkahwinan bergaya.

Kini Ainnur pula tersenyum sendirian. Bertuah kau Hani kalau benar kau yang menjadi pilihan Tengku Zafran...

Berkira-kira mahu menghubungi Hani tetapi dibiarkan begitu sahaja kerana tidak mahu Hani menaruh harapan sedangkan dia sendiri belum mendengar dari mulut Naib Presiden itu tentang luahan hatinya mengenai Hani. Kalau jodoh tidak ke mana seperti dia dan....

Ainnur menelan air liur. Mengenangkan kisah perkahwinannya, memang umpama kisah sedih yang tidak pasti di mana kesudahannya. Ya Allah....tunjukkanlah kebenaran kepada jalan yang aku pilih ini. Sesungguhnya engkau maha berkuasa, seandainya telah Engkau takdirkan dia bukan milikku, bawalah dia jauh daripada pandanganku dan peliharalah aku dari kekecewaan.


No comments:

Post a Comment