Laman rumah Puan Murni meriah dengan hiruk pikuk anak-anak kecil yang berkejaran sesama mereka. Saudara-mara serta jiran yang terdekat ada yang sudah berkampung di rumah teres dua setengah tingkat itu. Majlis kenduri doa selamat hanya akan berlangsung selepas solat Isyak tetapi kelihatan seperti telah ramai yang tiba.
Bagi Ainnur, dia lebih senang menyibukkan diri di dapur. Tugasnya adalah menyediakan hidangan untuk minum petang. Menu utama menjadi pilihannya, mihun goreng singapore serta karipap yang hanya perlu digoreng kerana Puan Murni telah pun membuat tempahan dari jiran berdekatan yang memang mahir membuat karipap. Air telah pun dibancuh oleh Pak Teh Karim yang kasihan melihat dirinya bersendirian di dapur sedangkan orang lain hanya perlu menadah mulut dengan tidak berbuat apa-apa.
Ainnur hanya tersengih mendengar Pak Teh Karim yang terkenal dengan sikapnya membebel mengalahkan perempuan.
"Orang lain tu tahu makan aja...Bukannya nak menolong kamu kat dapor ni..." Ujarnya sambil tangan ligat mengacau teh panas di dalam bekas air.
"Tak apalah Pak Teh. Bukannya susah pun. Karipap dah siap goreng pun. Tinggal mihun ni aja. Tak susah manalah."
"Banyak-banyak anak dara kat luar tu, entah apalah yang dibuatnya. Itulah anak dara sekarang ni, tak macam anak dara dulu-dulu. Dok menayang muka kat depan tu, tergelak mengilai-ngilai. Tak tahu malu gamaknya."
Nak tergelak Ainnur mendengar bebelan Pak Teh, tetapi ditahannya. Walau apa yang dikatakan itu benar tetapi Ainnur tidak menyalahkan mereka sepenuhnya. Kebanyakan anak saudara dan sepupu iparnya masih muda. Masih bersekolah menengah dan duduk di bandar tidak seperti tinggal di kampung. Dia telah dilatih oleh ibu sejak dari kecil lagi untuk berdikari, masak dan menjaga adik-adik. Remaja kini, senang...kedai makan berlambak. Mak ayah hanya tinggalkan duit, pandai-pandailah mereka mencari makan sendiri. Tak perlu masak, malah ditegah masak lagi ada kerana risaukan terjadi perkara-perkara tidak diingi.
"Air ni dah siap Ainnur....Pak Teh bawak keluar dulu ya. Nanti Pak Teh panggilkan budak-budak tu suruh bawak karipap ni keluar. Si Mimi ni pun entah kenapa perginya. Tak tahu nak menolong orang langsung." Peluh yang mengalir di pipi tuanya di lap dengan tuala yang tersangkut di lehernya. Mimi anak bongsunya tidak kelihatan dari tadi. Begitulah rutinnya apabila saudara mara berkumpul. Anak dara akan duduk selonggok menyembang tentang hal mereka tanpa menghiraukan orang lain. Pak Teh Karim pening kepala, nak marah sudah tidak makan saman. Kita pula di jawabnya balik.
"Okey. Pak Teh bawaklah air keluar dulu. Maybe dorang boleh makan dulu. Ainnur sudahkan masak mihun ni ya."
Lelaki 50 an tu mengangguk sambil menggunakan kederat yang ada untuk mengangkut air dalam tong aliminum besar.
Sedang Ainnur leka mengacau mihun goreng di kuali, telinganya menangkap tangisan kanak-kanak di belakang rumah.
"Ibu!!!"
"Ya Allah! Aysha...."
Kanak-kanak berusia 4 tahun itu didukung. Darah mengalir dari lutut belah kanan kakinya yang termasuk ke dalam longkang yang tidaklah sebesar mana pun. Hanya di paras buku lali Ainnur aja, tapi buat kanak-kanak sekecil itu, longkang itu telah membuatkan dirinya cedera.
"Sakit Ty Long..." Airmatanya merembes keluar tanpa henti sambil tersedu-sedu.
Kesian si comel ni. Pipi anak kecil itu diusap perlahan. Aysha merupakan anak kepada sepupu Adam, Mikail.
"Tak apa....aunty letak ubat ya."
"Sakit...." Aysha membuat muka kesian. Leher Ainnur dipautnya erat sambil tersedu-sedu di bahu wanita itu.
"Okey....Aunty faham. Aunty buat pelan-pelan okey."
Api di dapur dimatikan. Kebetulan Alisha, sepupu Adam masuk ke dapur bagi membantunya kerana telah dibebel oleh Pak Teh Karim menurutnya.
"Kak Ainnur pergi bersihkan lutut Aysha ni. Alisha mintak tolong yang lain-lain untuk senduk mihun dalam bekas ye. Then, letak kat meja bufet kat luar untuk bagi orang makan." Tidak bermaksud mengarah, cuma menjelaskan apa yang perlu dibuat.
"Rojer Kak Ainnur." Alisha mengangkat tabik dan tertawa akhirnya.
Selepas kejadian petang itu, Aysha tidak mahu berenggang dengannya.Semasa kenduri pun, dia tidak mahu diambil ibunya. Ainnur tidak kisah melayankan keletah Aysha yang memang petah bercakap dan lincah. Tangisnya hanya sementara semasa lukanya dilihat darah yang mengalir. Apabila sudah dibalut, dia berlari sampaikan naik risau Ainnur melihatnya.
No comments:
Post a Comment