Wednesday, 28 March 2012

BAB 2

Salam Ainnur...akak emergency leave hari ni. Sorry susahkan Ainnur, akak harap Ainnur faham...


SMS itu dihantar pada jam 8.00 pagi, Ainnur mengerling jam di dinding. Dah pukul 11.00 pagi...leka dia membuat kerja yang tertangguh dari semalam hingga tidak sedar sudah hampir ke waktu makan tengah hari. Patut la Kak Murni tak muncul-muncul. Tapi Ainnur sudah dapat mengagak dengan melihatkan situasi Kak Murni semalam.

Mesti Kak Murni kelam kabut. Macamana la agaknya nak mengatasi masalah yang sememangnya besar dan melibatkan banyak pihak ini. Takkan Kak Murni nak buat laporan polis macam kes dalam surat khabar tu? Sejak akhir-akhir ni, banyak sangat kes kahwin yang tak jadi di saat-saat menjelang tarikh perkahwinan. Kalau di kalangan artis, memang tidak dapat disangkal keadaan itu, tapi kalau di kalangan orang biasa. Orang ada-ada macam aku ni ha.
Hehehe....Ainnur tersenyum sendiri dengan ngomelan hatinya. Aku ni, calon pun takda lagi. Harap la tak jadi macam tu. Heboh pula dalam suratkhabar tak jadi kahwin. Lepas tu jadi pula kes saman menyaman. Aduhai...malunya....mintak-mintak la dijauhkan Ya Allah...

***********
"Macamana ni bang? Pening la Murni..." Murni tak senang duduk, kejap dia berdiri...kejap dia bangun. Berjalan mundar mandir di ruang tamu rumah. Amar hanya melihat telatah isterinya yang dari semalam memang serba tidak kena selepas mengetahui tentang pembatalan majlis perkahwinan Adam yang sepatutnya akan berlangsung hanya dalam masa tidak sampai 5 hari pun lagi.

Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah....mengikut kata Murni...dah macam orang bercinta pula. Amar tersengih mengenangkan kata-kata Murni pagi tadi.
"Yang abang ni, tersengih macam kerang busuk ni kenapa? Orang tengah susah hati ni, dia boleh buat tak tahu je!" Murni menghempas punggung di atas sofa tanda protes di atas sikap suaminya yang acuh tak acuh. Dari sejak persiapan kahwin, sampai la dah jadi macam ni...Masih tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Semua dia yang bertungkus lumus berlari ke sana ke mari. Dah jadi macam ni, lagi la bertambah uban di kepala Murni memikirkannya.
"Sayang...." Bahu isterinya dirangkul. Masam mukanya tidak mahu memandang walau seinci ke arah suaminya.
"Sayang....berdosa memalingkan wajah dari suami tau."
Murni termakan dengan kata-katanya suaminya itu. Walaupun perangainya begitu, sering acuh tak acuh dengan semua perkara tapi Amar pandai memujuk. Amar sentiasa mengambil berat dalam diam tentang dia, anak-anak atau apa jua perkara yang berlaku dalam keluarga mereka. Malah Amar yang dapat menghidu terlebih dahulu hubungan Adam dengan Maya. Kepalang gembira dia dengan khabar bahawa anak teruna sulungnya telah mempunyai kekasih hati. Pilihan Adam bukan calang-calang orangnya.
Maya adalah seorang model dan pelakon iklan sambilan. Sudah semestinya Maya seorang gadis yang cantik dan bergaya. Malah Maya orangnya peramah dah sangat ringan tulang. Selalu benar Maya akan ada kalau dia  mahu seorang teman untuk membeli belah atau teman sosialnya. Maya kalau tidak sibuk pasti akan menemaninya.
Murni dapat merasakan Maya bakal menjadi menantunya yang rapat. Tapi kenapa begini akhirnya Maya...
"Murni pening la bang....Macamana kita nak beritahu semua orang?" Murni menggaru kepala yang tidak gatal. Dia harap Maya akan berubah fikiran sepertimana fikirannya berubah untuk membatalkan perkahwinan ini. Adam sejak dari malam tadi tidak nampak batang hidung. Nak berbincang pun susah, kerana telefon langsung tidak dapat dihubungi. Akil masih berada di luar negeri untuk projek barunya. Arina...tak tahu ke mana...

"Sabar la sayang...setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Maya bukan ditakdirkan untuk Adam." Bahu isterinya diusap perlahan. Hampir menitis air mata Murni mendengar kata-kata Amar. Kesian anak teruna sulungnya itu. Sudah acap kali bercinta dan putus. Sudah nak kahwin pun tak jadi juga. Apalah salah dia Ya Allah? Tunjukkanlah kami jalan kebenaran dalam menyelesaikan segala kekusutan ini.

"Ha! Abang...Murni ada idea!" Amar tersentak dengan reaksi spontan Murni yang tadi kelihatan sugul.
"Jom bang!" Tangan suaminya di tarik untuk bangun.
"Kita nak pergi mana?" Amar termangu-mangu kehairanan dengan tingkah laku Murni yang ceria tiba-tiba.
"Ikut je la."
Kunci kereta dan kunci rumah dicampak ke dalam beg dan Amar hanya membontoti Murni dengan penuh tanda tanya.
Perempuan ni...ada saja idea dia.



No comments:

Post a Comment