"Sayang...please pick up the phone. I need to speak with U. Kenapa U buat I macam ni? Apa salah I? I love U...Love U so much!"
Adam tidak pasti itu SMS yang sudah ke berapa kali di hantar kepada Maya. Telefon tidak berjawab, SMS tidak berbalas. Dia sendiri tidak pasti apa sebab Maya membatalkan perkahwinan mereka di saat akhir. Kali terakhir Maya menghubunginya hanya pagi semalam menyatakan dia tidak boleh meneruskan perkahwinan ini kerana dia belum bersedia.
Adam hilang kawalan sehingga Shaq yang merupakan sahabat baiknya menenangkannya. Semua barang-barang distudio bertaburan. Nasib baik tidak ada yang rosak teruk. Kalau tidak, puas juga nak beli barang baru yang harganya bukan puluhan ringgit malahan ribuan ringgit.
Studio itu ditubuhkan hasil dari usahasama dia dan Shaq yang memang amat meminati bidang fotografi sejak dari bangku sekolah lagi.
Kemudian mereka melanjutkan pelajaran di UiTM dalam bidang fotografi. Shaq sudah pun menyambung Master tetapi Adam sejak mengenali Maya, hidupnya tidak lagi untuk fotografi. Hidupnya lebih di habiskan dengan Maya sampaikan album Maya sahaja sudah lebih dari 10 buah berada di studio itu. Sebuah poster Maya turut diabadikan di dalam pejabat peribadi Adam.
Shaq kenal benar dengan Adam yang akan mengabdikan hatinya hanya untuk seorang wanita sekiranya dia benar-benar jatuh cinta dengan wanita itu. Dan Maya sangat bertuah kerana mempunyai Adam sebagai kekasih hatinya. Adam tidak pernah mengatakan tidak untuk semua permintaan Maya walaupun jam sudah menunjukkan ke pukul 3 pagi. Adam masih mampu bersengkang mata menunggu Maya di set penggambaran iklannya. Kemudian menemani Maya untuk makan dan pulang ketika jam sudah menunjukkan jam 5 pagi.
Adam akan tidur di studio kerana pukul 8 pagi mereka sudah bersiap-sedia untuk menuju ke lokasi penggambaran perkahwinan.
Adam sudah lali dengan ceramah percuma Shaq yang sentiasa mengingatkan dia supaya jangan terlalu asyik mabuk cinta. Selalu juga Adam hilang tiba-tiba di set kerana tiada perkataan 'TIDAK' untuk Maya tidak pernah wujud di bibir mahu pun hatinya.
Maya....nama itu terus meniti di bibir Adam. Tidak mungkin dia dapat melupakan Maya. Dia akan cuba pujuk Maya walau dia harus terbang ke Sarawak bagi menemui keluarga Maya.
Adam memejamkan mata....kenangan indah bersama Maya terus bermain di tubir ingatannya. Senyum, ketawa dan lenggok jalannya sentiasa membuatkan Adam tidak lena tidur.
Tinnnn!!!
Bunyi hon kereta mengejutkan Adam dari lamunan. Ya Allah....dia terlupa dia sedang berhenti di lampu isyarat merah. Cepat-cepat dia memasukkan gear D untuk menggerakkan kenderaanya.
Papan tanda di tepi jalan menunjukkan arah ke KLIA. Adam sudah nekad.
Apa nak jadi pun jadilah.
*******
Ainnur tidak lena tidur....sekejap dia beralih ke kanan...kemudian ke kiri. Teringat peristiwa tengah hari tadi.
SMS dari Kak Murni untuk makan tengah hari bersamanya tidaklah menghairankan dia. Tetapi apabila tiba di destinasi yang telah dijanjikan dan melihat Abang Amar ada bersama, Ainnur agak pelik.
Sebab Abang Adam tidak gemar makan bersama mereka, katanya perempuan kalau ada waktu terluang macam ni, tidak lain dan tidak bukan aktivitinya pasti gosip terkini atau cerita tentang pejabat yang membosankan dia untuk turut serta.
Memang betul pun kata Abang Adam tu...memang topik sebegitu membuatkan mulut lagi berselera untuk makan. Semakin rancak bercerita semakin rancak pula mulut mengunyah sampaikan pada mereka tidak cukup sejam tu untuk bercerita, sambung lagi dalam kereta dan akan berterusan di pejabat pula. Pendek kata, setiap hari ada sahaja cerita baharu lebih-lebih lagi kalau si lembut Mona turut serta. Mona atau nama sebenarnya Mohd Najib tapi sebabkan mulut dan tingkahlakunya yang akan keperempuanan itu, dia lebih suka kalau orang memanggilnya Mona.
Tapi Ainnur tidak gemar bercerita, dia lebih suka mendengar dan mendiamkan diri. Atau hanya turut ketawa apabila melihat gerak wajah dan gaya Mona yang bercerita mengalahkan pencerita Adik-adikku di RTM tu.
Ainnur menghadiahkan senyuman kecil dan mengambil tempat duduk di depan Kak Murni dan Abang Adam. Tempat yang dipilih agak tersorok dari orang ramai. Mungkin Kak Murni perlukan privasi atau bercerita dengan lebih jelas memandangkan suasana makan tengah hari memang keadaan di hingar bingar dengan kakitangan pejabat di sekitar yang datang untuk mengisi perut.
"Kak Murni macamana?"
Tangan Kak Murni yang diletakkan di atas meja di raih. Pada Ainnur, keakraban dia dan Kak Murni seolah-olah seperti ibu dan anak. Kadang-kadang sengaja dia bergurau memanggilnya 'Mummy' dan Kak Murni memanggilnya menantu.
Tetapi dia tidak sangka, perkataan yang selama ini menjadi gurauan akhirnya bertukar menjadi kebenaran secara kebetulan. Permintaan Kak Murni dirasakan amat berat sekali untuk ditunaikan. Memang benar dia sangat rapat dengan Kak Murni sehinggakan segala urusan di rumah akan menjadi bualan seharian.
Dari kisah perkenalannya pertama kali dengan Abang Amar sehinggalah kepada kisah anak-anaknya.
Tapi.....
" Akak harap, Ainnur dapat pertimbangkan permintaan akak ni. Akak tahu, Ainnur boleh menjadi isteri yang baik kepada Adam. Kalau Ainnur rasa dalam masa tiga bulan tidak dapat menyesuaikan diri dengan Adam, mungkin kita boleh fikirkan cara lain."
Berkerut dahi Ainnur mendengarnya...cara lain?
"Murni....maksud awak nak suruh mereka bercerai? Subhanallah....Bawak mengucap Murni, perkara nikah kahwin ni bukan boleh dibuat main." Merah padam muka Abang Amar. Mungkin malu dengan kata-kata Kak Murni. Ainnur sendiri tidak dapat menangkap maksud Kak Murni tapi bila diperjelaskan oleh Abang Adam, dia sendiri menggeleng perlahan.
Perkahwinan bukanlah perkara untuk seminit dua. Tapi buat mereka yang saling menyayangi, pasti akan sehidup semati. Sebab itu dia masih tidak mendirikan rumah tangga kerana belum menemui jejaka yang betul-betul dapat memenangi hatinya hingga kini. Bukanlah dia memilih, tapi suami adalah teman sehingga ke akhir hayat. Buruk dan baik harus dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.
Tapi berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah pun dia termimpi untuk mencintai dan menyayangi?
Adakah ini jodohnya?
"Abang Amar minta maaf Ainnur. Abang harap Ainnur dapat fikirkan. Ini bukan paksaan dan abang tak mahu perkara ini membebankan Ainnur.
"Ainnur tahu kan, Kak Murni sayangkan Ainnur macam anak Kak Murni sendiri. Akak harap Ainnur akan bantu akak dalam hal ini. Ainnur fikirlah masak-masak. Esok Kak Murni akan jumpa Ainnur untuk dapatkan keputusan." Kali ini giliran Kak Murni pula meraih tangan Ainnur dan diusap perlahan.
Ainnur hilang kata-kata. Nasi daging merah dan jus oren tidak menaikkan seleranya seperti selalu. Fikirannya terbeban dengan permintaan Kak Murni yang sepatutnya dia boleh menolak dengan mentah-mentah.
Tetapi bibirnya kelu, tidak terkeluar walau sepatah perkataan pun untuk mengatakan ya atau tidak.
Dia sudah biasa mendengar perkahwinan yang diatur tetapi bidan terjun untuk menjadi pengantin bukanlah hal yang boleh dibuat main-main.
Ainnur bangun dan duduk dengan kaki terjuntai di birai katil. Kemudian, dia melangkah perlahan menuju ke bilik air dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat bagi menenangkan fikirannya dan memohon petunjuk kepada perkara yang dianggap sebagai satu ujian untuknya.
Ya Allah Yang Maha Mengasihi...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…
No comments:
Post a Comment