Monday 9 April 2012

BAB 6

"Ainnur...Mari minum sama."

Murni menggamit Ainnur yang baru sahaja turun untuk bersarapan. Baru 8.30 pagi sarapan pagi telah lengkap terhidang. Ainnur terasa segan memikirkan seolah-olah dia lewat bangun pagi. Apa pula kata Murni bila melihat dia baru hari pertama menjadi menantu di rumah itu, sudah mula menunjukkan perangai tidak baik.

Di meja makan, telah tersedia nasi lemak bungkus daun pisang, kuih seri muka beserta bau Nescafe O panas menarik selera Ainnur sehinggakan dia tidak sedar akan kehadiran Adam yang meliriknya dengan pandangan tajam.

"Maaf...Ainnur tak tolong mummy." Bisiknya ke telinga mummy. Segan dengan mata-mata yang memandang seolah-olah dia bersalah besar. Ainnur mengambil tempat di sebelah mummy dan duduk menghadap Adam yang tidak langsung mengangkat muka memandangnya.

"Takpelah Ainnur, bukan masak pun...mummy beli dekat kedai makcik depan simpang tu. Nak masak memang tak larat la." Ainnur hanya tersenyum pendek dengan penjelasan mummy.

"Kak Nur duduk sebelah Along la....Kenapa duduk sebelah mummy?"

Arina yang telah mengambil tempat di sebelah papa tiba-tiba bersuara. Ainnur terdiam. Papa diam tetapi kerlingannya nampak tidak senang hati dengan cara Arina.

"Alah! Tak apa la menantu duduk sebelah mummy...apa salahnya. Ke ada orang cemburu?"Murni yang perasan akan riak wajah menantunya yang agak berubah dengan kata-kata Arina cuba menenangkan keadaan.

"Ha....Ni mesti nak manja lebih macam Kak Maya...."

Berubah muka Adam mendengar kata-kata Arina dan terus dia meninggalkan meja makan dengan tanpa berkata apa-apa. Nasi lemak yang telah dibuka bungkusannya terbiar begitu sahaja.

"Adik...Kenapa dengan awak ni? Kan Mummy dah pesan jangan sebut nama Maya lagi dalam rumah ni."

Mummy mendengus marah. Arina seolah-olah tidak mengambil endah dengan kata-kata mummy dan terus berlalu keluar.

Ainnur termangu-mangu sendirian. Selera untuk makan terus hilang. Papa berlagak seolah-olah tiada apa yang terjadi, matanya terus tertacap pada surat khabar Utusan Malaysia yang di tangan. Mummy menyentuh perlahan tangan Ainnur.

"Mummy minta maaf pasal Arina. Dia memang sebenarnya tak berapa suka dengan Maya. Lebih-lebih lagi bila Maya buat macam ni, bertambah marah dia dengan Maya."

Ainnur mengangguk perlahan tanda mengerti tetapi dalam hatinya sungguh tidak mengerti kenapa aku yang jadi mangsa sedangkan Maya yang dibenci?

"Ainnur temankan mummy pergi pasar ye. Bahan nak masak makan tengah hari habis langsung." Murni cuba meredakan suasana yang tegang. Ainnur mengangguk tanda setuju.

"Pergilah bersiap. Mummy tunggu dalam kereta ya."

Tiada kata-kata yang lahir dari bibir Ainnur yang hanya mengangguk sambil itu tangannya ligat membantu mummy mengemas meja. Papa sudah beransur menuju ke bilik. Selesai mengemas, mummy melarang Ainnur untuk turut serta di dapur dan menyuruh Ainnur bersiap untuk ke pasar.

Hampir separuh tangga di panjat, langkahnya terhenti bila mengenangkan Adam pasti berada di dalam bilik tidur mereka. Perasaan serba salah mula menjebak hati Ainnur tetapi demi tidak mahu untuk berada berdua-duaan dengan Adam di rumah sekiranya mummy ke pasar dengan papa, digagahkan jua kaki untuk melangkah.

Pintu di tolak perlahan tetapi kelibat Adam tidak kelihatan. Ainnur menarik nafas lega dan menuju ke meja solek untuk mengambil beg sandang.

"Kau nak pergi mana?"

Ainnur tersentak. Dari cermin meja solek dia dapat melihat Adam sedang duduk berpeluk tubuh di birai katil dengan wajah yang masam mencuka. Entah dari mana Adam muncul, dia sendiri tidak pasti.

"Ainnur nak temankan mummy pergi pasar." Teragak-agak Ainnur bersuara.

"Aku tak suka kau pergi mana-mana tanpa beritahu aku dulu, kau faham?"

Dia tunduk merenung kaki, tidak sanggup melihat pandangan tajam Adam yang seolah-olah ingin menelannya.

"Aku nak kau kemas semua pakaian kau lepas kau balik pasar nanti."

Pantas dia beralih pandangan kepada Adam dan pandangan mereka bertaut. Dada Ainnur berdegup kencang.

Aku nak kena cerai ke?

Adam bangun dan mendekati Ainnur. Sengaja dia berdiri rapat sungguh dengan Ainnur sampaikan terpaksa isterinya itu berundur perlahan-lahan ke belakang. Ainnur tersepit dengan Adam terpacak tegak di hadapan dan meja solek menghalangnya untuk bergerak lebih ke belakang, tetapi lekas dia beralih ke kiri berdiri dekat dengan pintu masuk.

"Ad...Adam nak ceraikan Ainnur ke?" 

Ketukan dipintu membuatkan Ainnur lantas membuka pintu kerana dia tidak sanggup mendengar jawapan yang datang dari mulut Adam. Terasa dirinya diperbodohkan atau adakah dia yang telah memperbodohkan dirinya sendiri? Menerima lamaran dan bernikah dengan lelaki yang tidak pernah mencintai dan dicintai dirinya dalam masa tidak sampai seminggu pun. 

Aku bukan terdesak sangat pun nak berlaki...Gerutunya dalam hati.

Tapi bila mengenangkan umurnya sudah mencecah 30 tahun, Ainnur beranggapan serunya untuk berumah tangga telah tiba dengan lamaran dari mummy untuk menjadi pengganti pengantin perempuan yang telah menarik diri untuk menjadi isteri kepada anak sulungnya. Dan Adam telah menerima dirinya tanpa banyak soal, itulah yang diberitahu oleh mummy. Tapi dia sendiri tidak pasti adakah itu jawapan yang benar atau jawapan untuk menyedapkan hatinya.

"Ainnur dah siap?" Mummy terjengul di muka pintu, rambutnya separas bahu telah disikat rapi. Mummy hanya berseluar slack warna coklat muda dipadankan dengan blaus berwarna kuning air. Sekilas mummy kelihatan lebih muda dari usianya yang sudah mencecah 50 tahun.

"Mummy...Along dah fikir masak-masak untuk bawa Ainnur pindah rumah Along."

"Tapi Along..." Belum sempat mummy menghabiskan ayat, Adam sudah mematahkan kata-kata mummy.

"Dia isteri Along, syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Kalau dia tak ikut, dia jadi isteri derhaka. Kalau dia nak masuk neraka, dia boleh duduk sini dengan mummy."

Ainnnur terpinga-pinga dengan penjelasan Adam manakala mummy menggeleng kepala dengan keputusan anaknya yang terburu-buru itu.

Ingatkan nak kena cerai tadi....Ainnur menghembus nafas lega.



3 comments:

  1. Yesss! Konflik bermula! Keep it up sis! Chaiyokkk!

    ReplyDelete
  2. eh!ade org follow ker?tq dear...ade ayt tergantung tu...hik3..jgn marah ye

    ReplyDelete
  3. Follow ma... Hakhak... Jenuh cari baru jumpa!

    ReplyDelete