Tuesday 9 October 2012

BAB 35

Satu kaki....dua kaki...tiga kaki...

Lantai marmar mula kelihatan berbalam, pengiraannya terhenti. Benda sekeliling mula kelihatan bergolak seolah-olah seperti gempa bumi. Dia memperlahankan langkah yang sudah sedia perlahan.

Hati yang gundah tidak dapat diredakan dengan mengira berapa kaki jaraknya dari klinik hingga ke kedai bunga yang terletak hanya bersebelahan. Melihat bunga-bunga segar yang di pamerkan di luar kedai, hatinya sedikit terubat. Langkah kaki lantas bertukar arah membelok ke kanan tanpa menyedari bahunya bertembung dengan seseorang di pintu masuk. Perlanggaran keras membuatkan dia hampir terjatuh tetapi sempat berpaut pada pintu masuk yang terbuka luas.

Pandangannya mula berpinar. Wajah wanita bertudung di hadapannya cuba diamati. Arina!

"Kak Long okey ke?" Arina agak kalut.

"Ha! Okey....okey." Jawab Ainnur. Dia sendiri teragak-agak untuk menjawab pertanyaan adik ipar yang selama ini bersikap dingin dengannya.

"Okey. Good. Arina nak cepat. Nanti kita sembang lagi ya Kak Long!" Tangan wanita itu dicapai dan disalami penuh hormat. Kemudian pipi Ainnur menjadi sasaran bibirnya. Ainnur terpinga-pinga kerana tidak pernah Arina semesra itu dengannya. Atau adakah kerana perubahan pada fizikalnya telah merubah pendiriannya juga.

"Anak siapa?!"

Ainnur tersentak. Peristiwa bertembung dengan Arina terus luput dari ingatan. Pandangannya pantas beralih pada si pemandu. Meskipun dari tepi, ketegangan jelas terpancar di wajah Adam di balik cermin mata hitam yang dipakai.

"Aku tanya anak siapa?!"

Ainnur diam. Dia mengetap bibir menahan marah. Kau ingat aku ni budak kecik ke nak tengking-tengkin orang macam tu? Huh!

Peristiwa tiga bulan lepas terus bermain-main di fikirannya sejak pengumuman rasmi oleh Dr Wahidah tadi. Hatinya jadi pedih seperti dihiris-hiris.

Dia mengambil sikap berdiam diri. Malas mahu membuka mulut takut terlepas kata. Tak pasal-pasal menambah dosa.

"Eh! Aku tanya anak siapa?! Kau pekak ke ha?!"

Skrettt!!!

Berdecit tayar Myvi bila diberhentikan secara tiba-tiba di tepi jalan. Nasib baik tak ada kereta di belakang, kalau tidak seharusnya ada pemandu lain membunyikan hon kerana kereta berhenti secara mengejut tanpa memberi isyarat apa-apa.

"Saya tak pekak. Ini anak saya." Nada suaranya jelas bergetar menahan kemarahan. Suaranya sedaya upaya cuba dikawal supaya kemarahan tidak dihamburkan. Untuk itu, dia sanggup menahan amarah yang semakin menyakitkan dada.

"Aku tau itu anak kau. Tapi siapa jantan tu?! Siapa bapak budak tu?!"

"Ini anak saya! Siapa pun ayah dia...tak penting sebab dia anak saya!"

Bum! Pintu kereta dihempas.

Adam terus berlalu tanpa berkata apa-apa meninggalkan Ainnur di bahu jalan.

Ainnur terpinga-pinga. Dia tinggalkan aku? Sampai hati... Air mata di rasakan mahu menitik. Sabarlah Ainnur...Kau kena tabah. Mungkin ini ujian dari Allah untuk menduga kau sebagai umatNya di muka bumi yang sementara ni.

Air mata diseka dengan jari. Dia melangkah perlahan tanpa memperdulikan keadaan sekeliling. Bunyi hon  dari pemilik kereta yang nakal tidak dihiraukan. Langkahnya teramat perlahan sekali. Pandangan mula berbalam dengan air matanya bertakung di bibir mata ditambah dengan rasa pening yang tidak langsung berkurangan sejak dari tadi. Panas matahari yang memancar tegak dikepala mula membuatkan kepalanya berdenyut kembali.

Tin! Tin!

Bunyi hon kereta itu terlalu dekat mungkin bersebelahan dengannya tidak dihiraukan. Beg tangan di pegang kejap, risau kes peragut yang memang dah tak ada kerja nak buat selain dari buat kerja yang susah. Lebih baik kerja di kilang ke, kedai makan ke, tak payah susah payah nak aim orang dari. Dah kena pukul. Kan susah, tak pun kena masuk lokap.

Tin! Tin!

"Kak Long!"

Suara tu...Macam kenal.

"Arina..."

"Kak Long nak pergi mana? Jom adik hantarkan."

Ainnur serba salah. Betul ke Arina betul-betul dah berubah? Ajakannya nampak mesra seperti tidak pernah ada apa-apa konflik di antara mereka.

"Jomlah! Adik pun dah habis kelas ni." Ajak Arina bersungguh-sungguh. Kenapa muka Kak Long nampak kusut sangat? Dari jauh dia dapat meneka wanita yang sedang berjalan kaki berseorangan  itu adalah kakak iparnya mengikut dari baju yang dipakainya semasa mereka terserempak di kedai bunga tadi.

Dalam tidak keruan, pintu kereta Viva pintu dicapai. Lega sedikit kepalanya dapat air-cond yang terpasang dalam kereta.

"Kak Long dari mana nak ke mana? Kenapa jalan kaki? Kereta rosak ke?" Soalannya tidak berjawab. Dilihatnya wanita itu sedang memicit kepalanya sendiri. Wajah itu nampak sembab dengan sisa-sisa air mata masih kelihatan di pipinya. Kak Long gaduh dengan Along ke? Tapi soalan itu tersimpan di dalam hati, tidak mahu mengeruhkan keadaan. Melihatkan Ainnur nampak letih dan lemah, dia tidak sampai hati mahu mengemukakan soalan yang di anggap terlalu peribadi.

"Kak Long."

"Sorry....Arina cakap dengan Kak Long ke?" Agak janggal membahasakan diri sendiri sebagai Kak Long sebab dia tidak pernah bercakap dengan Arina. Setiap kali bertemu, pasti gadis itu akan berpaling muka atau cuba mengelak dari bertembung dengannya.

"Kak Long nak adik hantar Kak Long pergi mana?"

"Kak Long nak balik la sayang." Sebaik tapak tangan Ainnur jatuh pada tangannya yang sedang menukar gear, satu perasaan yang tidak dapat digambarkan di hati Arina. Suara itu sangat perlahan tetapi penuh dengan kelembutan seorang kakak kepada adik. Kenapalah dia berprasangka buruk kepada kakak iparnya selama ini? Sedangkan, wanita itu tidak pernah berperangai yang tidak senonoh seperti kakak iparnya yang tak jadi.

"Kak Long tak sihat ke?"

"Hurm...." Jawab Ainnur pendek. Mendengarkan jawapan Ainnur, Arina tidak berminat untuk menyambung pertanyaan seterusnya sedangkan di dalam benak fikiran, bermacam-macam persoalan yang timbul tentang kemunculan Ainnur di bahu jalan berseorangan. Dia melihat wanita itu sudah lena apabila kenderaan baru bergerak tidak sampai 15 minit dalam perjalanan. Rasa kasih sebagai seorang adik mula terbit di tubir hatinya melihat wajah polos itu.

Alhamdulillah Ya Allah....jika pertemuan secara kebetulan ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara aku dan dia, aku terima Ya Allah. Terima kasih tidak terhingga aku panjatkan kepadaMu.


*********
"Jangan! Jangan! Kau berambus!"

Dia tersentak.

"Jangan sentuh aku! Syaitan!!!"

Jeritan Ainnur memecah keheningan jam yang sudah berdetik ke angka 12 tengah malam. Arina memandang cemas. Bulu roma meremang secara tiba-tiba.

"Kak Long! Kak Long!" Dia cuba menggerakkan tubuh yang terbaring kaku sejak dari lepas maghrib tadi. Ainnur nampak letih dan tidak bermaya. Tidak banyak kata-kata yang keluar dari bibirnya selain dari tidak membenarkan Arina pulang kerana waktu itu hujan lebat turun mencurah-curah diikuti kilat sabung menyabung.

"Taknak!!! Lepaskan aku!!!"

"Kak Long....Astagfirullahualazim..." Dia memeluk tubuh itu sekuatnya. Ainnur seperti dirasuk syaitan, peluh membasahi tubuhnya seolah-olah dia usai berlari pecut 100 meter.

"Kak Long...mengucap kak long...." Arina jadi buntu. Dia rasa mahu menangis, tidak tahu apa mahu dilakukan. Abangnya tidak kelihatan sejak dari dia menjejak kaki ke rumah ini. Pelukannya kejap. Bimbang seandainya terjadi apa-apa yang tidak diingini kerana Ainnur dalam keadaan tidak sedar.

"Istighfar kak long....istighfar." Bisiknya di telinga Ainnur. Dia memeluk erat Ainnur sehingga rontaannya semakin lemah dan wanita itu akhirnya terkulai di sisinya.

"Arina..." Perlahan suara itu singgah di telinganya.

"Kak Long....Okay ke?" Wajah mereka bertembung.

"Arina!" Tubuh itu dipeluk sekuatnya. Ainnur menangis teresak-esak di bahu Arina membuatkan adir iparnya itu terpinga-pinga. Tadi dia menjerit-jerit dengan mata terpejam macam kena rasuk hantu, ni menangis beria-ia pulak. Kenapa ni? Tak paham la....

Dengan perlahan belakang kakak iparnya diurut lembut untuk meredakan ketegangannya. Panasnya badan kak long ni. Demam ke?

"Mengucap Kak Long...walau apa pun jadi, Allah sentiasa ada dengan kita." Walau tidak tahu, pucuk pangkalnya, tapi dia cuba untuk memujuk.

"Dah pukul berapa dik? Kak Long tak solat isyak lagi." Ainnur seolah-olah baru tersedar dari mimpi yang ngeri. Mata itu kelihatan mengecil, bengkak akibat terlalu banyak menangis.

Ainnur menyeka airmata yang bersisa di pipi. Matanya dirasakan perit.

"Hampir pukul 1 pagi kak long." Sempat matanya melirik pada jam di dinding. Dia sendiri hampir terlelap di dan terjaga apabila Ainnur menjerit secara tiba-tiba.

"Adik tolong kak long boleh?"

Arina mengangguk perlahan.

"Tolong ambikkan kak long air kosong kat dapur. "

Tanpa membantah arahan itu dilaksanakan segera, sekembalinya di bilik dia dapat mendengar dengan jelas Ainnur sedang muntah di bilik air. Teruknya demam kak long ni...

Gelas berisi air masak diletakkan di atas meja di tepi katil. Dia menjengah Ainnur yang sedang menekan perut bagi memuntahkan isinya.

Ainnur mengerut dahi menahan kesakitan. Perutnya semakin kerap berdenyut. Mungkin kerana seharian perut tidak diisi. Muntahnya hanya angin semata-mata. Beginikah rasanya Ya Allah? Peluh di dahi diseka dengan hujung jari.

"Teruk demam kak long ni. Adik bawak pergi klinik ya?"

Ainnur tersentak. Dia cuba menguntum senyum walau perit menahan kesakitan.

"Air kak long tadi mana?"

Lantas air di atas meja di capai. Sebaik air bertukar tangan, Arina hanya memerhatikan tingkahlaku kakak iparnya yang nampak agak ganjil. Air diteguk hingga habis dalam sekali nafas dan kemudian dia mendirikan solat isyak dalam keadaan duduk.

Kasihan kak long... Along ni pergi mana? Dah tengah malam tak reti nak balik? Dia mendengus dalam hati. Ni, isteri dia sakit dia buat tak kisah aja! Dia baru berkira-kira mahu menghubungi Adam bila namanya tiba-tiba disebut.

"Arina..."

"Ya kak long..."

"Meh tidur sebelah kak long."

Arina terkedu. Namun seperti dipukau, kaki melangkah perlahan dan berbaring bertentangan dengan Ainnur. Wanita itu mengusap lembut rambutnya dan tersenyum. Arina terdiam. Kenapa dengan kak long ni? Seram pulak. Dia terkaku apabila Ainnur memeluknya erat. Namun jatuh rasa kasihan apabila memandang wajah telus itu yang telah memejamkan kedua matanya. Kenapa dengan dia? Apakah yang telah membuatkan dia kelihatan lemah?

Akhirnya dia tertidur berpelukan dengan kakak ipar yang selama ini dibenci. Persoalan yang masih tak terjawab apakah yang telah melanda rumah tangga abangnya terbiar begitu saja. Pelik!

3 comments:

  1. Kak..smbung lah next entry pleazzzz...cter dye best ny..x sbar rse nk tnggu smbngan ni..hehe :)

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. cinta ni smpai kat sini jer ker?

      Delete