Thursday, 12 April 2012

BAB 8

"Assalamualaikum ibu."
"Waalaikumussalam Anur...Anak ibu sihat?"
Suara ibu yang lembut menyapa corong telinganya. Ainnur rasa tenang.
"Anur sihat....ibu macamana?"
"Ibu sihat...ayah pun sihat. Adam sihat?"
Ainnur menelan air liur. Adam? Entah dah bangun tidur ke belum pun dia tak tahu. Selepas Subuh tadi, dia sudah pun menyiapkan sarapan pagi. Nasi goreng kampung bersama ikan masin goreng. Nasib baiklah rumah ni ada bekalan makanan basah. Kalau tidak, mahu meraung juga dia. Sudahlah kelaparan selepas terperuk dalam bilik semalaman. Adam sedikit pun tidak mempelawa dia untuk keluar makan.

"Adam sihat bu."
"Alhamdulillah...Ibu tak boleh lama ni. Ayah dah tunggu ibu kat bawah. Nak pergi pasar beli lauk untuk masak hari ni. Anak ibu jaga kesihatan, jaga makan dan jaga diri. Tapi bila sudah bersuami ni, jangan jaga diri sendiri saja, suami pun nak kena jaga. Solat jangan sekali-kali tinggal. Ibu doakan Anur dan Adam bahagia."
"Terima kasih ibu. Insyaallah...Anur akan buat semua tu. Ibu.....Anur rindukan ibu."
Sesungguhnya dia memang rindukan Puan Qasrina bt Wahid pada ketika itu. Sekiranya boleh, dia mahu menghabiskan setiap minit dan saat bersama ibu...supaya hilang semua masalahnya pada ketika ini. Dia tidak mahu berada bersama orang lain melainkan hanya ibu di sisinya.
"Ibu pun rindukan Anur, bila senang...ajak Adam balik kampung sama. Ibu dah nak keluar ni. Kirim salam dengan Adam. Assalamualaikum."
Talian terputus. Nampak sangat ibu tergesa-gesa kerana sudah menjadi tabiat ayah yang tidak suka menunggu. Mereka adik-beradik pun sudah masak sangat dengan perangai ayah yang garang, tidak banyak bercakap dan seorang yang berpegang teguh pada janjinya.
Waalaikumussalam....Ainnur memandang sepi Blackberry nya.

Bosannya memerap di bilik. Hajat di hati nak keluar tengok TV atau membaca yang menjadi salah satu hobinya. Semalam dia perasan akan mini library di sudut ruang makan. Kalau ikutkan hati, pasti dia akan membaca dari pagi sampai ke malam. Tak sangka, suami aku yang gila ni rajin juga membaca.
Bum!!!
Terperanjat Ainnur mendengar pintu dihempas kuat dan segera dia melangkah keluar dari bilik.

Sunyi sahaja rumah itu tetapi bila di buka tudung saji, dilihatnya pinggan yang penuh dengan nasi goreng tadi sudah kosong.
Habis! Nasib baik aku dah makan dulu. Ingatkan si Adam ni diet, tak makan nasi...Ainnur tersengih sendiri.
Pinggan serta mug yang telah kosong di bawa ke sinki untuk di basuh. Sesudah itu, Annur dihimpit kebosanan kerana tiada aktiviti yang menarik dapat dilakukan di rumah selain dari menonton TV.

Teringatkan rak buku yang belum dijelajah, Annur bergegas ke sudut perpustakaan mini milik Adam.
Syoknya.....banyak buku yang belum pernah di baca. Minatnya yang mendalam terhadap apa jua bacaan telah lama tidak di asah berikutan kesibukan di tempat kerja. Bila sudah di atas katil, tidak sampai dua muka surat, matanya sudah kuyu. Kadang-kadang dia mengambil masa sampai sebulan untuk menghabiskan buku yang dibaca atau tidak akan dihabiskan langsung.

Tiba-tiba Annur teringatkan buku dan novel yang melambak di rumah sewanya. Pakaian pun masih banyak lagi yang belum di ambil. Bilalah agaknya dia dapat ke rumah sewanya untuk mengambil semua barang peribadinya itu. Teringatkan Mimi teman serumahnya, Annur pantas mencapai telefon bimbitnya, tapi Mimi mesti tengah kerja, malas pula nak mengganggu.

Akhirnya Annur mengambil buku karya Dr HM Tuah Iskandar bertajuk Membina Cinta Sayang.
Eh! Kenapa buku ni yang aku baca? Gerutu Annur sendiri. Malas nak berfikir, baca saja lah.

*******

"Beb...apa barang datang kerja? Pergilah honeymoon..." Ujar Shaq yang baru sahaja selesai mengadakan fotoshoot untuk model barunya Isha.
Adam menarik muka masam. 
"Hai Adam...I heard you're married. Congratulation. Sorry I tak dapat datang semalam." Isha menegur Adam yang sedang duduk berteleku mengadap Shaq. 
Ucapan tahniah dari Isha tidak membawa apa-apa makna pada Adam malah mukanya bertambah kelat membuatkan Shaq memberi isyarat supaya Isha berlalu dari situ.
"Come on Adam...Cheer up! Yang sudah tu sudahlah." Shaq cuba memujuk sambil tangannya ligat menelek kamera yang dipegangnya.
"Kau bukan di tempat aku, kau tak tahu apa yang aku rasa Shaq. Hati aku ni, untuk orang lain."
"Yes Adam...I'm not in your shoes. But dia dah jadi isteri kau yang sah. Kau tak boleh pretend and ignored that she does not exist in your life. Sampai bila kau nak buat macam tu?"
"Kalau bukan sebab mummy, aku takkan kahwin dengan perempuan tu." Adam memandang foto yang bersangkutan di dinding studio. Kebanyakannya hasil kerja dia dan Shaq. Mereka mempunyai tiga orang kakitangan lagi yang merupakan teman semasa di UiTM dahulu. Mereka bebas untuk melakukan kerja-kerja yang dikehendaki asalkan ianya memuaskan hati pelanggan.
"Naluri seorang ibu tak sama dengan naluri kita ni. You should trust your mum. Lagipun, Annur tu cantik apa, boleh tahan juga. Comel ja aku tengok. Masa budak-budak kita shoot gambar kahwin kau, everything looks great. Nak touch up pun tak banyak. Kalau aku, tak menyesal la dengah pilihan mak aku if she's the one." Tersenyum simpul Shaq atau nama sebenarnya Shaqier Nuqman.
"Bro...Kau kawan aku kan, boleh tak aku mintak tolong kau?"
Shaq berkerut dahi memandang Adam. 
"Tolong apa sayang...for you, anything i can." Dagu Adam dicuit.
"Eh! Kau ni makan penumbuk aku nanti. Beb...aku nak mintak tolong kau, please tutup mulut. Malas aku nak dengar pasal kahwin, pasal perempuan tu. Can we talk about other thing or going somewhere else to cheer me up? Can u?"
"Ha....Aku tahu, kalau aku bawak kau pergi tempat ni for sure kau akan happy till the end. Jom."
Adam tersengih. 
This is what friend for...teman waktu suka dan waktu duka.

   


Tuesday, 10 April 2012

BAB 7

Pertama kali menjejakkan kaki ke rumah bujang Adam membuatkan Ainnur terpegun. Rumah itu cukup lengkap seperti rumah orang kelamin. Dari dapur membawa ke ruang tamu hinggalah ke dapur. Apartment itu serba moden dengan tiga bilik tidur tetapi Adam menjadikan salah satunya sebagai studio kerjanya di rumah. Awal-awal lagi Adam telah memberikan amaran kepada Ainnur supaya jangan menyentuh atau masuk ke dalam studio peribadinya itu.

Sepertimana kata mummy, warna kuning susu yang menjadi warna kegemaran Adam dijadikan latar belakang warna dinding rumah dan dipadankan dengan warna merah hati untuk feature wall di ruang tamu.

"Ainnur ikut sajalah cakap suami tu, nanti kalau tidak derhaka pula kita ni." Teringat peristiwa tadi apabila dia terkekeh-kekeh ketawa bila mummy mengajuk balik kata-kata Adam.

"Mummy doakan Ainnur bahagia dengan Adam. Kalau ada berlaku persilisihan faham antara Ainnur dan Adam, cubalah bertolak ansur...selesaikan dengan cara baik. Tak pun, mummy ada kalau Ainnur perlukan nasihat. Mummy yakin Adam akan berubah cuma masa sahaja yang menentukannya. Ainnur banyakkan berdoa ya sayang. Naluri mummy sebagai seorang ibu kuat mengatakan bahawa Ainnur memang telah ditakdirkan sejak azali lagi untuk Adam." Seraya itu mummy terus memeluk erat Ainnur.

Airmata wanitanya mengalir perlahan tanpa sedar. Syahdu menyelubungi hatinya secara tiba-tiba mendengar kata-kata mummy. Sememangnya airmata tidak dapat dipisahkan dengan wanita kerana ia tidak kenal erti gembira atau sedih. Ia pasti mengalir tidak kira masa dan di mana jua.

"Yang kau tercegat kat situ kenapa?!"
Dalam tidak sedar rupanya sudah lama dia berdiri di muka pintu tetapi tidak masuk.
"Duduk sini, aku ada benda nak cakap dengan kau."
Ainnur yang sejak tadi diam membisu terus mengekori Adam ke ruang tamu. Seperti lembut dicucuk hidung, Ainnur diam dan menurut segala tindak-tanduk Adam bila disuruh duduk di sofa di ruang tamu yang menempatkan set sofa putih panjang dan sebuah TV LED 42 inci. 

Si gila ni mesti gila tengok TV...getus hati Ainnur.

Mereka sama-sama melabuhkan punggung di sofa kulit dan tiba-tiba Adam bangun. Dia berjalan mundar-mandir di hadapan Ainnur kemudian menuju ke dapur dan mengambil segelas air seraya meneguknya di hadapan Ainnur yang agak resah kerana sudah 5 minit berlalu namun tiada kata yang keluar dari bibirnya.
Kemudian Adam melangkah perlahan dan duduk di atas coffee table, betul-betul mengadap Ainnur. Dia tergamam seketika dengan tindakan Adam.
"Kau dengar sini baik-baik...aku sengaja bawa kau tinggal di rumah aku sebab ini rumah aku dan aku boleh buat apa saja aku suka. Rumah aku, peraturan aku. Kalau kau tak mahu ikut sila keluar...tapi ingat, sekali kau keluar dari rumah ini tanpa izin aku...tanpa pengetahuan aku...aku anggap kau derhaka pada suami dan tak akan maafkan kau sampai bila-bila."
Apa punya balalah yang aku dapat ni? Dapat suami mengongkong. Stresslah pula.
"Peraturan pertama...aku tak suka kau keluar ke mana-mana tanpa pengetahuan aku walaupun keluar pergi pasar dengan mummy."
Ainnur membuat muka bosan. Perli aku la tu...
"Yang kedua...aku tak suka orang buat muka toya dengan aku."
Perli aku lagi la tu...getus hati Ainnur. Meluat! Kenapalah aku kahwin dengan dia ni? Menyesal!

"Yang ketiga....aku tak suka kau canang satu dunia yang kau dah kahwin. Kalau kau mengaku yang kau belum kahwin lagi bagus supaya apa-apa yang akan jadi akan datang, kau takkan menyesal atau malu dengan status kau."

Apa-apa yang jadi akan datang? Jadi apa? Janda? Ainnur mengetap bibir...apa punya peraturan ni? Mengarut! Tak boleh diterima akal. Dah tentu kat pejabat dan kecoh pasal dia yang kahwin dengan anak Kak Murni tiba-tiba. Silap haribulan, berita dia di tangkap khalwat pula yang tersebar. Kalau tak, mana mungkin angin takde, ribut takde, tiba-tiba nak nikah. Kad kahwin tulis nama orang lain tapi yang naik pelaminnya Ainnur Amnani bt Syuib.
Namun kata-kata itu cuma lahir di hatinya. Ainnur bukanlah seorang wanita yang gemar berterus terang. Marah, benci, sayang semua hanya dapat di lihat melalui batinnya sahaja. Hanya terzahir di wajah adakalanya.

Tapi...Adakah maksud kata-kata Adam bahawa dia akan jadi janda? Jadi...Adam memang ada niat untuk menceraikannya. Ainnur tunduk merenung lantai, tidak sanggup lagi menentang Adam yang duduk di hadapannya. Hatinya mula disayat pilu. Airmata...janganlah kau mengalir pada ketika ini. Aku perlu tabah kerana jalan ini aku yang pilih.

"Peraturan yang keempat..."

Wajahnya di angkat memandang tepat Adam. Terleka seketika dia dengan kurniaan Tuhan yang sedang tercongok di depannya itu. Tiada cacat celanya pada wajah suaminya itu, sekali imbas seperti pelakon Korea kerana matanya yang agak kecil tetapi tidak terlalu sepet, hidung sedikit mancung dan kulit sawo matang. Tetapi ada kelembutan di sebalik wajahnya yang seperti sengaja di buat-buat masam. Pandangan mata Adam menyorot tajam menikam mata Ainnur.

"Kenapa kau pandang aku macam tu?" Tidak senang dengan renungan Ainnur yang menjelajah ke seluruh inci wajahnya.

Ainnur tergamam. 
"Sorry..." Hanya itu yang mampu terucap. Bodohnya kau ni Ainnur... Termalu dengan tindakannya yang secara tidak sengaja telah tertelek wajah Adam.
Boleh tahan juga la...Sebab itu, model pun boleh tersangkut dengan dia, tapi tak jadi juga kahwin. Akhirnya aku yang model tempe ni yang jadi isteri kau orang gila. Ainnur tersenyum sampai ke telinga, nak ketawa nanti kena tempik lagi. 
"Peraturan yang keempat dan terakhir, when i said no...It's no! And when i said yes...It's yes! Jangan membantah apa yang aku cakap dan apa yang aku buat. Kalau tidak, kau derhaka. Faham?!"
Terkebil-kebil Ainnur memandang Adam yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di balkoni.
Asyik-asyik isteri derhaka jadi modal...Boring...! Semua nak ikut cakap dia, habis tu...cakap aku, siapa nak dengar?

"Opss! Satu lagi aku nak beritahu, master bedroom tu bilik kau. Dalam tu ada personal washroom. Aku tak ada hati nak tengok kau berkemban keluar masuk bilik air kat luar ni. So, bilik aku di luar ni dan jangan sekali-kali kau nak masuk bilik aku." Tersentak Ainnur mendengar kata-kata Adam. Tolonglah...aku pun tak ingin nak masuk bilik kau dan tergedik-gedik nak tayang body depan kau walau kau suami aku yang sah. Bertambah meluat Ainnur dengan perangai Adam. Baru hari kedua dia bergelar isteri, macam-macam syarat sudah Adam suarakan.

Tapi bila mengenangkan dia dan Adam tidak tidur sekatil...dia boleh menghembus nafas lega kerana sekurang-kurangnya dia boleh cuba menyesuaikan diri untuk hidup bersama Adam walau tidak pasti sampai bila mereka akan meneruskan drama kehidupan berumah tangga.

"Hurm....Encik Adam dah habis bercakap ke? Bolehkah saya beredar ke bilik saya?" Bosan berlama-lama dengan Adam membuatkan Ainnur mengambil keputusan untuk beredar. 
"Suka hati kau lah!"
"Bukannya apa, nanti derhaka pula kalau tak mintak izin." Dia tersenyum sendiri dengan kata-katanya itu.
Kurang asam punya isteri...kau perli aku. Adam bercekak pinggang sambil melihat Ainnur dengan selamba berlalu masuk ke biliknya.

Melihatkan bilik besar itu yang menempatkan sebuah katil kelamin serba putih. Almari baju berwarna kelabu dipadankan dengan langsir putih serta karpet ambal berwarna hitam menjadi pilihan. Cantik....tapi bersepah!
Ainnur mengeluh...nasib badan...

Monday, 9 April 2012

BAB 6

"Ainnur...Mari minum sama."

Murni menggamit Ainnur yang baru sahaja turun untuk bersarapan. Baru 8.30 pagi sarapan pagi telah lengkap terhidang. Ainnur terasa segan memikirkan seolah-olah dia lewat bangun pagi. Apa pula kata Murni bila melihat dia baru hari pertama menjadi menantu di rumah itu, sudah mula menunjukkan perangai tidak baik.

Di meja makan, telah tersedia nasi lemak bungkus daun pisang, kuih seri muka beserta bau Nescafe O panas menarik selera Ainnur sehinggakan dia tidak sedar akan kehadiran Adam yang meliriknya dengan pandangan tajam.

"Maaf...Ainnur tak tolong mummy." Bisiknya ke telinga mummy. Segan dengan mata-mata yang memandang seolah-olah dia bersalah besar. Ainnur mengambil tempat di sebelah mummy dan duduk menghadap Adam yang tidak langsung mengangkat muka memandangnya.

"Takpelah Ainnur, bukan masak pun...mummy beli dekat kedai makcik depan simpang tu. Nak masak memang tak larat la." Ainnur hanya tersenyum pendek dengan penjelasan mummy.

"Kak Nur duduk sebelah Along la....Kenapa duduk sebelah mummy?"

Arina yang telah mengambil tempat di sebelah papa tiba-tiba bersuara. Ainnur terdiam. Papa diam tetapi kerlingannya nampak tidak senang hati dengan cara Arina.

"Alah! Tak apa la menantu duduk sebelah mummy...apa salahnya. Ke ada orang cemburu?"Murni yang perasan akan riak wajah menantunya yang agak berubah dengan kata-kata Arina cuba menenangkan keadaan.

"Ha....Ni mesti nak manja lebih macam Kak Maya...."

Berubah muka Adam mendengar kata-kata Arina dan terus dia meninggalkan meja makan dengan tanpa berkata apa-apa. Nasi lemak yang telah dibuka bungkusannya terbiar begitu sahaja.

"Adik...Kenapa dengan awak ni? Kan Mummy dah pesan jangan sebut nama Maya lagi dalam rumah ni."

Mummy mendengus marah. Arina seolah-olah tidak mengambil endah dengan kata-kata mummy dan terus berlalu keluar.

Ainnur termangu-mangu sendirian. Selera untuk makan terus hilang. Papa berlagak seolah-olah tiada apa yang terjadi, matanya terus tertacap pada surat khabar Utusan Malaysia yang di tangan. Mummy menyentuh perlahan tangan Ainnur.

"Mummy minta maaf pasal Arina. Dia memang sebenarnya tak berapa suka dengan Maya. Lebih-lebih lagi bila Maya buat macam ni, bertambah marah dia dengan Maya."

Ainnur mengangguk perlahan tanda mengerti tetapi dalam hatinya sungguh tidak mengerti kenapa aku yang jadi mangsa sedangkan Maya yang dibenci?

"Ainnur temankan mummy pergi pasar ye. Bahan nak masak makan tengah hari habis langsung." Murni cuba meredakan suasana yang tegang. Ainnur mengangguk tanda setuju.

"Pergilah bersiap. Mummy tunggu dalam kereta ya."

Tiada kata-kata yang lahir dari bibir Ainnur yang hanya mengangguk sambil itu tangannya ligat membantu mummy mengemas meja. Papa sudah beransur menuju ke bilik. Selesai mengemas, mummy melarang Ainnur untuk turut serta di dapur dan menyuruh Ainnur bersiap untuk ke pasar.

Hampir separuh tangga di panjat, langkahnya terhenti bila mengenangkan Adam pasti berada di dalam bilik tidur mereka. Perasaan serba salah mula menjebak hati Ainnur tetapi demi tidak mahu untuk berada berdua-duaan dengan Adam di rumah sekiranya mummy ke pasar dengan papa, digagahkan jua kaki untuk melangkah.

Pintu di tolak perlahan tetapi kelibat Adam tidak kelihatan. Ainnur menarik nafas lega dan menuju ke meja solek untuk mengambil beg sandang.

"Kau nak pergi mana?"

Ainnur tersentak. Dari cermin meja solek dia dapat melihat Adam sedang duduk berpeluk tubuh di birai katil dengan wajah yang masam mencuka. Entah dari mana Adam muncul, dia sendiri tidak pasti.

"Ainnur nak temankan mummy pergi pasar." Teragak-agak Ainnur bersuara.

"Aku tak suka kau pergi mana-mana tanpa beritahu aku dulu, kau faham?"

Dia tunduk merenung kaki, tidak sanggup melihat pandangan tajam Adam yang seolah-olah ingin menelannya.

"Aku nak kau kemas semua pakaian kau lepas kau balik pasar nanti."

Pantas dia beralih pandangan kepada Adam dan pandangan mereka bertaut. Dada Ainnur berdegup kencang.

Aku nak kena cerai ke?

Adam bangun dan mendekati Ainnur. Sengaja dia berdiri rapat sungguh dengan Ainnur sampaikan terpaksa isterinya itu berundur perlahan-lahan ke belakang. Ainnur tersepit dengan Adam terpacak tegak di hadapan dan meja solek menghalangnya untuk bergerak lebih ke belakang, tetapi lekas dia beralih ke kiri berdiri dekat dengan pintu masuk.

"Ad...Adam nak ceraikan Ainnur ke?" 

Ketukan dipintu membuatkan Ainnur lantas membuka pintu kerana dia tidak sanggup mendengar jawapan yang datang dari mulut Adam. Terasa dirinya diperbodohkan atau adakah dia yang telah memperbodohkan dirinya sendiri? Menerima lamaran dan bernikah dengan lelaki yang tidak pernah mencintai dan dicintai dirinya dalam masa tidak sampai seminggu pun. 

Aku bukan terdesak sangat pun nak berlaki...Gerutunya dalam hati.

Tapi bila mengenangkan umurnya sudah mencecah 30 tahun, Ainnur beranggapan serunya untuk berumah tangga telah tiba dengan lamaran dari mummy untuk menjadi pengganti pengantin perempuan yang telah menarik diri untuk menjadi isteri kepada anak sulungnya. Dan Adam telah menerima dirinya tanpa banyak soal, itulah yang diberitahu oleh mummy. Tapi dia sendiri tidak pasti adakah itu jawapan yang benar atau jawapan untuk menyedapkan hatinya.

"Ainnur dah siap?" Mummy terjengul di muka pintu, rambutnya separas bahu telah disikat rapi. Mummy hanya berseluar slack warna coklat muda dipadankan dengan blaus berwarna kuning air. Sekilas mummy kelihatan lebih muda dari usianya yang sudah mencecah 50 tahun.

"Mummy...Along dah fikir masak-masak untuk bawa Ainnur pindah rumah Along."

"Tapi Along..." Belum sempat mummy menghabiskan ayat, Adam sudah mematahkan kata-kata mummy.

"Dia isteri Along, syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Kalau dia tak ikut, dia jadi isteri derhaka. Kalau dia nak masuk neraka, dia boleh duduk sini dengan mummy."

Ainnnur terpinga-pinga dengan penjelasan Adam manakala mummy menggeleng kepala dengan keputusan anaknya yang terburu-buru itu.

Ingatkan nak kena cerai tadi....Ainnur menghembus nafas lega.



Sunday, 1 April 2012

BAB 5

"Saya terima nikahnya Ainnur Amnani bt Shuib dengan mas kahwinnya 300 ringgit tunai..."
Dengan lafaz itu, Ainnur sah menjadi isteri kepada Adam Niyaz, anak lelaki sulung di dalam keluarga Amar dan Siti Murni yang berusia 2 tahun lebih muda dari Ainnur tetapi takdir telah menemukan mereka di dalam situasi yang tidak dirancang.
Tidak seperti pengantin lain yang akan menitiskan air matanya kegembiraan dengan lafaz tersebut, Ainnur hanya termangu sendirian. Bagaimanakah malam pertamanya? Akan berbulan madukah dia? Bagaimana kehidupan seterusnya sebagai seorang isteri? Adakah dia akan tinggal dengan Kak Murni atau Adam akan membawanya tinggal di tempat lain? Dan yang lebih menakutkan dia adalah, adakah dia akan bahagia dengan Adam? Atau adakah dia akan menjadi mangsa nikah kahwin 24 jam?
Oh! Tidak....
Jantung Ainnur berdegup kencang apabila Adam menyarung cincin di jari manisnya dan mencium dahinya. Mereka tersenyum manis semasa disandingkan tetapi itu semua palsu. Malah Adam tidak pernah memandangnya walau sesaat pun. Adam menolak bergambar berdua-duaan dengan alasan agak pemalu dan tidak pandai beraksi. 

Dan kini dia berseorangan di dalam kamar pengantin yang dihias indah bertemakan inggeris. Warna putih susu menjadi adalah warna kegemaran Adam menurut kata Kak Murni.

Jam berdetik menunjukkan 9 malam. Ainnur telah pun membersihkan wajahnya dari solekan yang merimaskanya sepanjang hari. Baju  pengantin yang tergantung di tepi almari baju ditatap tanpa perasaan. Dari celah jendela, Ainnur dapat melihat dengan jelas Adam sedang berbual dengan beberapa orang lelaki yang mungkin sebaya dirinya. Derai tawa mereka dapat didengar hingga ke dalam biliknya yang terletak di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu. Ainnur terus memerhatikan gerak geri Adam yang nampak bersahaja sehingga Adam bergerak masuk ke dalam rumah meninggalkan rakan-rakannya yang sedang berbual di depan rumah.

Hampir 10 minit, kelibat Adam masih tidak kelihatan di muka pintu yang sengaja dibiarkan renggang  sedikit kerana dia tidak mahu Adam mengetuk pintu untuk masuk.

Dengan sikap Adam yang dingin padanya, malah Adam tidak langsung menjenguk muka ke dalam kamar pengantin itu. Dari siang tadi, tengkolok dan sampin terdampar di atas sofa ruang tamu dan Ainnur pantas mengambil dan meletakkannya di dalam bilik kerana tidak mahu sesiapa menyesaki apa-apa.

Kebanyakan saudara dan rakan yang hadir tidak tahu Ainnur adalah bukan bakal pengantin yang sebenarnya. Hanya rakan-rakan pejabat yang agak keliru, tetapi apabila mereka mengetahui hal yang sebenarnya, mereka lebih suka mendiamkan diri. Tetapi kehadiran mereka tidaklah seramai yang dijangka Kak Murni.
Tidak sampai 10 orang pun yang hadir kerana unit mereka tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan unit lain.
Encik Imran sendiri tidak mahu kakitangan yang ramai kerana dia tidak mahu banyak kaki dan tangan tetapi mulut yang nampak terlebih buat kerja. Dan alasan yang lebih kukuh adalah, senang hendak memantau. Keluar dari pejabat, semua orang di depan matanya.
Ketika alasan itu diperdebatkan di dalam mesyuarat pengurusan syarikat, berderai tawa pihak pengurusan tetapi alasan tersebut tetapi dapat diterima dengan mudah kerana unit mereka tidak pernah bermasalah dalam menyelesaikan semua kerja. Kebanyakan kerja dapat diselesaikan mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

Ainnur mengambil keputusan untuk turun ke bawah setelah siap membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak bagi membantu apa yang patut. Tiada acara membuka hadiah sepertimana pengantin baru yang lain kerana cadangan tersebut sudah ditolak lebih awal oleh Adam kerana katanya dia mahu membuka hadiah tersebut dengan Ainnur sahaja. Ramai saudara mengusik mereka bila jawapan itu diutarakan oleh Adam tetapi Adam kelihatan selamba seolah-olah mereka memang pasangan bahagia yang mahukan privasi mereka sendiri di dalam upacara itu.

Bila Ainnur turun ke bawah, kelibat saudara mara ramai yang sudah pulang. Yang ada hanya Pak Uda yang sedang bersembang dengan Kak Murni dan Abang Amar di luar rumah.

Dah kahwin...mana boleh panggil Kak Murni dengan Abang Adam lagi....panggil la Mummy dengan Papa...
Teringat dia dengan usikan ibu kerana ketika sedang disolek oleh mak andam tadi, dia masih memanggil Kak Murni dengan panggilan akak. Agak tersangkut perkataan itu ditekak ketika cuba dikeluarkan.

Mummy dengan Papa...Ainnur tersenyum sendiri.

Dia melihat-lihat sekitar dalam rumah mertuanya itu. Dari ruang tamu hingga ke dapur, tiada apa perlu dikemaskan kerana majlis persandingan mereka di adakan di dewan yang tidak jauh dari kawasan rumah mertuanya.
"Ainnur....Buat apa seorang kat dapur ni?" Pertanyaan Murni menyekat lamunan Ainnur.
"Tak buat apa kak sebab tak tahu nak buat apa." Murni tertawa mendengar jawapan Ainnur.
Diraihnya bahu Ainnur dan dipeluk dengan penuh kasih sayang.
"Mummy la...kan ibu dah tegur siang tadi." Ainnur tersenyum mendengar teguran Murni.
"Sudah pukul 11 ni, Ainnur pergi la tidur dulu. Adam dari tadi pergi hantar kawan dia, sampai sekarang masih tak balik lagi. Kejap lagi, tibalah tu. Ainnur mesti letih sebab seharian sibuk ke sana ke mari."

Ainnur tersenyum pendek.

Baru selangkah Ainnur menaiki tangga, tangannya diraih dari belakang.
"Mummy doakan Ainnur dan Adam bahagia hingga ke akhir hayat. Mummy tahu, ini bukan kehendak Adam mahupun Ainnur, tetapi jika takdir telah mempertemukan kamu berdua dalam keadaan begini...mummy harap Ainnur dapat menjadi petunjuk ke jalan kebahagian kepada Adam. Adam muda dari Ainnur dan mummy harap Ainnur dapat bersabar dengan perangai Adam yang agak kebudak-budakan tu."

Kata-kata mummy terus bermain-main di fikirannya. Jam menunjukkan 12 tengah malam namun tiada tanda-tanda Adam akan pulang dan Ainnur sudah keletihan menunggu. Kelopak matanya semakin berat dan dia tertidur tanpa sedar pengantin lelaki tiada di sisinya untuk malam pertama mereka.

Friday, 30 March 2012

BAB 4

Astagfirullahualazim....
Aku bermimpi. Mimpinya melihat cermin yang penuh disekeliling sebuah bilik kecil dimana dia duduk di sebuah bangku kecil yang mengadap cermin itu dan secara tiba-tiba sepasang tangan menyentuh bahunya membuatkan Ainnur tersentak dan terjaga. Ainnur mengusap wajahnya. 
Dia baru sedar dia tertidur selepas menunaikan solat Istikarah bagi memohon petunjuk kepada permintaan Kak Murni. Ainnur melepaskan keluhan kecil.
Hatinya masih berdebar dengan permintaan Kak Murni. Fikirannya kembali menerawang entah ke mana.
Jam menunjukkan jam 6.30 pagi menandakan sudah  masuk waktu solat Subuh.

Ainnur bangkit menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh.
Usai solat subuh kepalanya mula terasa berdenyut. Mungkin kerana tidak cukup tidur semalaman dan terlalu memikirkan masalah Kak Murni. Jam di dinding dikerling.
Baru pukul 7.00 pagi. Dia mahu melelapkan mata sebentar memandangkan selalunya dia akan bertolak ke tempat kerja jam 8.00 pagi sebab waktu masuk kerja adalah 8.45 pagi.
Dia tidak perlu menunggu lama kerana orang mengantuk disorongkan bantal, pastinya akan terus terlena. 
"Arghhh!!!"
Jeritan Ainnur bergema satu rumah. Mimpi dirinya ditangkap oleh lanun amat aneh sekali.
Itu la...tidur pagi-pagi lagi. Kalau di kampung, mesti ayah sudah menjerit di telinganya untuk jangan tidur balik selepas subuh. Pintu rezeki tertutup katanya. Tapi dia memang mengantuk benar, baru rasanya dia melelapkan mata.
Ainnur tersentak melihat jam di dinding..pukul 10!
Alamak! Mengamuk la Encik Imran...Ainnur menggaru kepala yang tidak gatal.
Dia pantas bangun, tetapi hampir terjatuh kerana mahu pitam. Pandangannya gelap dan berpinar seketika. Ainnur memegang kepala yang berdenyut. Sah sakit kepalanya datang lagi. Dia duduk kembali di birai katil dan mencapai Iphone di meja sudut katilnya.

"Hani....aku rasa tak sihat hari ni. Tolong maklum pada En Imran. Kalau aku larat aku pergi klinik. Tolong ya Hani."
Hani operator kaunter di pejabat pengurusan hartanah tersebut. Tapi Hani sangat ringan tulang dan peramah orangnya. Lebih-lebih lagi kalau lelaki yang muda dan kacak. Mentang pantang di lihatnya, pasti akan ditegur terlebih dahulu sebelum sempat jejaka tersebut membuka mulut.
Walaupun mulutnya peramah tapi Hani adalah penyimpan rahsia terbesarnya atau sesiapa pun. Tetapi ada juga Hani bercerita padanya kerana Hani tahu Ainnur tidak becok mulut macam orang lain. Sepertimana Hani menyimpan rahsia Ainnur, begitu juga Ainnur menyimpan rahsia atau apa jua maklumat yang diperolehi dari Hani.

*******

Sesudah ke klinik Ainnur terlelap kembali selepas menelan 2 biji ubat penahan sakit. Kali ini dia bermimpi pula melihat dua ekor angsa sedang bertaut di tasik yang sangat indah. Kemudian dia mendongak dan melihat awan putih yang berarak bersih dan perlahan. Dia sungguh tenang dan damai berada di situ. Dia rasa dia tidak mahu sedar dari mimpinya mendamaikan jiwanya itu. Fikirannya kosong, terbang melayang bersama keindahan alam yang mengasyikkan sehinggalah tangannya diraih seorang lelaki yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya jejaka itu yang masih samar-samar wajahnya. Mungkin kesan sampingan ubat yang dimakan membuatkan semuanya kelihatan kabur tetapi tetap indah.
Dah macam cerita Hindustan pula. Ainnur tersenyum bila jejaka itu menarik tangannya menuju ke arah angsa yang seolah-olah sedang berpacaran.
Ainnur asyik dibuai mimpi sampaikan panggilan telefon dan ketukan bertalu-talu di pintu rumahnya seolah-olah hadir sama di dalam khayalannya.
Tiba-tiba dia melihat Kak Murni di sebelahnya
Eh! Kenapa Kak Murni pun ada ni?
Tetapi suara Kak Murni sayup kedengaran jauh sedangkan dia hanya disebelahnya. Kak Murni seperti cuba mengatakan sesuatu. Ainnur menoleh ke arah kanannya dan melihat jejaka itu sudah menghilang dan hanya almari pakaiannya yang kelihatan.
"Ainnur....ok ke tak ni?" Kak Murni meletakkan belakang tangan di dahi Ainnur. Panas...sah budak ni demam. Takkan sebab aku baru melamar dia dah demam kot? Dahi Murni berkerut. Rasa bersalah mula menerpa di dalam hatinya.
"Ainnur demam ni. Dah pergi klinik?" Ainnur hanya mengangguk perlahan.
"Dah makan ubat?" Sekali lagi dia menjatuhkan kepalanya tanda sudah.
"Dah pukul berapa ni kak?" Suara Ainnur agak serak.
"Pukul 2 sayang." Seperti seorang ibu yang mengadap anak yang sedang sakit, Murni mengusap lembut rambut Ainnur. Perkataan sayang itu benar-benar meruntun naluri Ainnur. Sumpah! Kak Murni sama seperti ibunya seorang yang penyayang. Ibu sering memanggil anak-anak dengan panggilan sayang. Tiada kasih yang berbelah bagi di antara adik beradiknya yang berempat. Dia anak sulung, tetapi ibu masih melayan dia dan adik-adik yang lain sama rata.Tidak ada yang lebih bagi yang bongsu dan tidak ada yang kurang buat yang sulung.
"Ainnur nak solat Zuhur dulu Kak Murni." Ainnur cuba bangun, badannya memang terasa sengal dan tidak bermaya tapi dia menggagahkn diri dengan berpaut di dinding. Kak Murni hanya memerhatikan kerana Ainnur tidak mahu dibantu.

Usai membersihkan diri dan menunaikan solat Zuhur,coklat panas telah terhidang untuknya di atas meja makan. Ainnur mengambil tempat di sebelah Kak Murni yang sedang menaip SMS.
"Ainnur dah ok? Akak buatkan Ainnur coklat panas untuk tambah tenaga. Akak nak bancuh milo tadi, tapi tak jumpa selain coklat."
"Memang takde milo pun dalam rumah ni akak. Kami semua minum coklat." Ainnur tersengih sambil menghirup coklat panas perlahan-lahan. Sedap sungguh air tangan seorang ibu. Sudah lama dia tidak minum air yang dibancuh ibu kerana sudah hampir dua bulan dia tidak pulang ke kampung kerana kesibukan kerja-kerja di pejabat dan aktiviti yang berlarutan sepanjang hujung minggu.
Oh ibu. Kalaulah ibu tahu apa yang sedang dilalui oleh Anur ketika ini, pasti ibu akan memeluk...membelai rambut Anur dan membisikkan kata-kata semangat untuk Anur. Ibu akan menyanyikan lagu-lagu zikir dan bercerita kisah-kisah Anur ketika kecil sehingga Anur tertidur di riba ibu.
Ibu.....Anur rindu ibu....
Air matanya mengalir perlahan tanpa sedar lamunannya terus diperhatikan oleh Kak Murni.
Gadis genit itu dipeluk dan Ainnur terus teresak-esak di dalam pelukan Kak Murni.
Kak Murni menyentuh lembut wajah Ainnur dan dikesat air mata yang membasahi pipi bulat itu.
"Kak Murni minta maaf kalau permintaan Kak Murni membebankan Ainnur. Seperti kata Kak Murni sebelum ini, Kak Murni tak paksa Ainnur untuk setuju. Keputusan di tangan Ainnur."
Wajah Ainnur ditatap dengan penuh kasih sayang. Dia tidak akan berkecil hati sekiranya Ainnur menolak permintaannya kerana dia tidak mahu dipersalahkan di kemudian hari. Dia sendiri tidak tahu adakah Adam bersetuju dengan cadangannya mahu menggantikan tempat Maya dengan Ainnur.
Sudah dua hari Adam tidak dapat dihubungi dan hanya SMS dihantar untuk maklumkan Adam dengan cadangan mereka itu.
Kalau Adam bersetuju....alhamdulillah. Dan jika tidak, mereka menerima keputusan itu dengan redha dan menganggap bukan jodoh Adam dengan Maya atau Ainnur.
"Ainnur kena minta pendapat keluarga Ainnur dulu. Ainnur harap Kak Murni dapat beri Ainnur lebih masa. Jika keputusan Ainnur mengecewakan akak...Ainnur harap hubungan kita masih seperti sekarang sebab Ainnur sayang akak macam  ibu Ainnur sendiri. Ainnur taknak hubungan kita serpih sedikit pun kerana diumpamakan cawan yang serpih pasti tidak akan dipedulikan kelak."
Kali ini giliran Kak Murni pula menitiskan air mata. Syahdu dengan kata-kata Ainnur. Dikucup dahi Ainnur dengan penuh kasih sayang.
"Akak akan sayang Ainnur macam anak akak sampai bila-bila pun."

Setelah Kak Murni pulang, Ainnur hanya mampu memandang Iphone yang terdampar di atas meja. Pendapat keluarga perlu diutamakan kerana ini bukan perkara boleh dibuat main-main. Kepalanya semakin berdenyut-denyut.
Ya Allah....bantulah hambaMu ini.

BAB 3

"Sayang...please pick up the phone. I need to speak with U. Kenapa U buat I macam ni? Apa salah I? I love U...Love U so much!" 

Adam tidak pasti itu SMS yang sudah ke berapa kali di hantar kepada Maya. Telefon tidak berjawab, SMS tidak berbalas. Dia sendiri tidak pasti apa sebab Maya membatalkan perkahwinan mereka di saat akhir. Kali terakhir Maya menghubunginya hanya pagi semalam menyatakan dia tidak boleh meneruskan perkahwinan ini kerana dia belum bersedia.
Adam hilang kawalan sehingga Shaq yang merupakan sahabat baiknya menenangkannya. Semua barang-barang distudio bertaburan. Nasib baik tidak ada yang rosak teruk. Kalau tidak, puas juga nak beli barang baru yang harganya bukan puluhan ringgit malahan ribuan ringgit.
Studio itu ditubuhkan hasil dari usahasama dia dan Shaq yang memang amat meminati bidang fotografi sejak dari bangku sekolah lagi.
Kemudian mereka melanjutkan pelajaran di UiTM dalam bidang fotografi. Shaq sudah pun menyambung Master tetapi Adam sejak mengenali Maya, hidupnya tidak lagi untuk fotografi. Hidupnya lebih di habiskan dengan Maya sampaikan album Maya sahaja sudah lebih dari 10 buah berada di studio itu. Sebuah poster Maya turut diabadikan di dalam pejabat peribadi Adam. 
Shaq kenal benar dengan Adam yang akan mengabdikan hatinya hanya untuk seorang wanita sekiranya dia benar-benar jatuh cinta dengan wanita itu. Dan Maya sangat bertuah kerana mempunyai Adam sebagai kekasih hatinya. Adam tidak pernah mengatakan tidak untuk semua permintaan Maya walaupun jam sudah menunjukkan ke pukul 3 pagi. Adam masih mampu bersengkang mata menunggu Maya di set penggambaran iklannya. Kemudian menemani Maya untuk makan dan pulang ketika jam sudah menunjukkan jam 5 pagi. 
Adam akan tidur di studio kerana pukul 8 pagi mereka sudah bersiap-sedia untuk menuju ke lokasi penggambaran perkahwinan.

Adam sudah lali dengan ceramah percuma Shaq yang sentiasa mengingatkan dia supaya jangan terlalu asyik mabuk cinta. Selalu juga Adam hilang tiba-tiba di set kerana tiada perkataan 'TIDAK' untuk Maya tidak pernah wujud di bibir mahu pun hatinya.
Maya....nama itu terus meniti di bibir Adam. Tidak mungkin dia dapat melupakan Maya. Dia akan cuba pujuk Maya walau dia harus terbang ke Sarawak bagi menemui keluarga Maya.
Adam memejamkan mata....kenangan indah bersama Maya terus bermain di tubir ingatannya. Senyum, ketawa dan lenggok jalannya sentiasa membuatkan Adam tidak lena tidur.
Tinnnn!!!
Bunyi hon kereta mengejutkan Adam dari lamunan. Ya Allah....dia terlupa dia sedang berhenti di lampu isyarat merah. Cepat-cepat dia memasukkan gear D untuk menggerakkan kenderaanya.
Papan tanda di tepi jalan menunjukkan arah ke KLIA. Adam sudah nekad. 
Apa nak jadi pun jadilah.

*******

Ainnur tidak lena tidur....sekejap dia beralih ke kanan...kemudian ke kiri. Teringat peristiwa tengah hari tadi.

SMS dari Kak Murni untuk makan tengah hari bersamanya tidaklah menghairankan dia. Tetapi apabila tiba di destinasi yang telah dijanjikan dan melihat Abang Amar ada bersama, Ainnur agak pelik.
Sebab Abang Adam tidak gemar makan bersama mereka, katanya perempuan kalau ada waktu terluang macam ni, tidak lain dan tidak bukan aktivitinya pasti gosip terkini atau cerita tentang pejabat yang membosankan dia untuk turut serta.
Memang betul pun kata Abang Adam tu...memang topik sebegitu membuatkan mulut lagi berselera untuk makan. Semakin rancak bercerita semakin rancak pula mulut mengunyah sampaikan pada mereka tidak cukup sejam tu untuk bercerita, sambung lagi dalam kereta dan akan berterusan di pejabat pula. Pendek kata, setiap hari ada sahaja cerita baharu lebih-lebih lagi kalau si lembut Mona turut serta. Mona atau nama sebenarnya Mohd Najib tapi sebabkan mulut dan tingkahlakunya yang akan keperempuanan itu, dia lebih suka kalau orang memanggilnya Mona.
Tapi Ainnur tidak gemar bercerita, dia lebih suka mendengar dan mendiamkan diri. Atau hanya turut ketawa apabila melihat gerak wajah dan gaya Mona yang bercerita mengalahkan pencerita Adik-adikku di RTM tu. 

Ainnur menghadiahkan senyuman kecil dan mengambil tempat duduk di depan Kak Murni dan Abang Adam. Tempat yang dipilih agak tersorok dari orang ramai. Mungkin Kak Murni perlukan privasi atau bercerita dengan lebih jelas memandangkan suasana makan tengah hari memang keadaan di hingar bingar dengan kakitangan pejabat di sekitar yang datang untuk mengisi perut.
"Kak Murni macamana?"
Tangan Kak Murni yang diletakkan di atas meja di raih. Pada Ainnur, keakraban dia dan Kak Murni seolah-olah seperti ibu dan anak. Kadang-kadang sengaja dia bergurau memanggilnya 'Mummy' dan Kak Murni memanggilnya menantu. 
Tetapi dia tidak sangka, perkataan yang selama ini menjadi gurauan akhirnya bertukar menjadi kebenaran secara kebetulan. Permintaan Kak Murni dirasakan amat berat sekali untuk ditunaikan. Memang benar dia sangat rapat dengan Kak Murni sehinggakan segala urusan di rumah akan menjadi bualan seharian.
Dari kisah perkenalannya pertama kali dengan Abang Amar sehinggalah kepada kisah anak-anaknya.
Tapi.....
" Akak harap, Ainnur dapat pertimbangkan permintaan akak ni.  Akak tahu, Ainnur boleh menjadi isteri yang baik kepada Adam. Kalau Ainnur rasa dalam masa tiga bulan tidak dapat menyesuaikan diri dengan Adam, mungkin kita boleh fikirkan cara lain."
Berkerut dahi Ainnur mendengarnya...cara lain?
"Murni....maksud awak nak suruh mereka bercerai? Subhanallah....Bawak mengucap Murni, perkara nikah kahwin ni bukan boleh dibuat main." Merah padam muka Abang Amar. Mungkin malu dengan kata-kata Kak Murni. Ainnur sendiri tidak dapat menangkap maksud Kak Murni tapi bila diperjelaskan oleh Abang Adam, dia sendiri menggeleng perlahan.
Perkahwinan bukanlah perkara untuk seminit dua. Tapi buat mereka yang saling menyayangi, pasti akan sehidup semati. Sebab itu dia masih tidak mendirikan rumah tangga kerana belum menemui jejaka yang betul-betul dapat memenangi hatinya hingga kini. Bukanlah dia memilih, tapi suami adalah teman sehingga ke akhir hayat. Buruk dan baik harus dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.
Tapi berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah pun dia termimpi untuk mencintai dan menyayangi?
Adakah ini jodohnya?
"Abang Amar minta maaf Ainnur. Abang harap Ainnur dapat fikirkan. Ini bukan paksaan dan abang tak mahu perkara ini membebankan Ainnur.
"Ainnur tahu kan, Kak Murni sayangkan Ainnur macam anak Kak Murni sendiri. Akak harap Ainnur akan bantu akak dalam hal ini. Ainnur fikirlah masak-masak. Esok Kak Murni akan jumpa Ainnur untuk dapatkan keputusan." Kali ini giliran Kak Murni pula meraih tangan Ainnur dan diusap perlahan.
Ainnur hilang kata-kata. Nasi daging merah dan jus oren tidak menaikkan seleranya seperti selalu. Fikirannya terbeban dengan permintaan Kak Murni yang sepatutnya dia boleh menolak dengan mentah-mentah.
Tetapi bibirnya kelu, tidak terkeluar walau sepatah perkataan pun untuk mengatakan ya atau tidak.
Dia sudah biasa mendengar perkahwinan yang diatur tetapi bidan terjun untuk menjadi pengantin bukanlah hal yang boleh dibuat main-main.

Ainnur bangun dan duduk dengan kaki terjuntai di birai katil. Kemudian, dia melangkah perlahan menuju ke bilik air dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat bagi menenangkan fikirannya dan memohon petunjuk kepada perkara yang dianggap sebagai satu ujian untuknya.


Ya Allah Yang Maha Mengasihi...
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Wednesday, 28 March 2012

BAB 2

Salam Ainnur...akak emergency leave hari ni. Sorry susahkan Ainnur, akak harap Ainnur faham...


SMS itu dihantar pada jam 8.00 pagi, Ainnur mengerling jam di dinding. Dah pukul 11.00 pagi...leka dia membuat kerja yang tertangguh dari semalam hingga tidak sedar sudah hampir ke waktu makan tengah hari. Patut la Kak Murni tak muncul-muncul. Tapi Ainnur sudah dapat mengagak dengan melihatkan situasi Kak Murni semalam.

Mesti Kak Murni kelam kabut. Macamana la agaknya nak mengatasi masalah yang sememangnya besar dan melibatkan banyak pihak ini. Takkan Kak Murni nak buat laporan polis macam kes dalam surat khabar tu? Sejak akhir-akhir ni, banyak sangat kes kahwin yang tak jadi di saat-saat menjelang tarikh perkahwinan. Kalau di kalangan artis, memang tidak dapat disangkal keadaan itu, tapi kalau di kalangan orang biasa. Orang ada-ada macam aku ni ha.
Hehehe....Ainnur tersenyum sendiri dengan ngomelan hatinya. Aku ni, calon pun takda lagi. Harap la tak jadi macam tu. Heboh pula dalam suratkhabar tak jadi kahwin. Lepas tu jadi pula kes saman menyaman. Aduhai...malunya....mintak-mintak la dijauhkan Ya Allah...

***********
"Macamana ni bang? Pening la Murni..." Murni tak senang duduk, kejap dia berdiri...kejap dia bangun. Berjalan mundar mandir di ruang tamu rumah. Amar hanya melihat telatah isterinya yang dari semalam memang serba tidak kena selepas mengetahui tentang pembatalan majlis perkahwinan Adam yang sepatutnya akan berlangsung hanya dalam masa tidak sampai 5 hari pun lagi.

Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah....mengikut kata Murni...dah macam orang bercinta pula. Amar tersengih mengenangkan kata-kata Murni pagi tadi.
"Yang abang ni, tersengih macam kerang busuk ni kenapa? Orang tengah susah hati ni, dia boleh buat tak tahu je!" Murni menghempas punggung di atas sofa tanda protes di atas sikap suaminya yang acuh tak acuh. Dari sejak persiapan kahwin, sampai la dah jadi macam ni...Masih tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Semua dia yang bertungkus lumus berlari ke sana ke mari. Dah jadi macam ni, lagi la bertambah uban di kepala Murni memikirkannya.
"Sayang...." Bahu isterinya dirangkul. Masam mukanya tidak mahu memandang walau seinci ke arah suaminya.
"Sayang....berdosa memalingkan wajah dari suami tau."
Murni termakan dengan kata-katanya suaminya itu. Walaupun perangainya begitu, sering acuh tak acuh dengan semua perkara tapi Amar pandai memujuk. Amar sentiasa mengambil berat dalam diam tentang dia, anak-anak atau apa jua perkara yang berlaku dalam keluarga mereka. Malah Amar yang dapat menghidu terlebih dahulu hubungan Adam dengan Maya. Kepalang gembira dia dengan khabar bahawa anak teruna sulungnya telah mempunyai kekasih hati. Pilihan Adam bukan calang-calang orangnya.
Maya adalah seorang model dan pelakon iklan sambilan. Sudah semestinya Maya seorang gadis yang cantik dan bergaya. Malah Maya orangnya peramah dah sangat ringan tulang. Selalu benar Maya akan ada kalau dia  mahu seorang teman untuk membeli belah atau teman sosialnya. Maya kalau tidak sibuk pasti akan menemaninya.
Murni dapat merasakan Maya bakal menjadi menantunya yang rapat. Tapi kenapa begini akhirnya Maya...
"Murni pening la bang....Macamana kita nak beritahu semua orang?" Murni menggaru kepala yang tidak gatal. Dia harap Maya akan berubah fikiran sepertimana fikirannya berubah untuk membatalkan perkahwinan ini. Adam sejak dari malam tadi tidak nampak batang hidung. Nak berbincang pun susah, kerana telefon langsung tidak dapat dihubungi. Akil masih berada di luar negeri untuk projek barunya. Arina...tak tahu ke mana...

"Sabar la sayang...setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Maya bukan ditakdirkan untuk Adam." Bahu isterinya diusap perlahan. Hampir menitis air mata Murni mendengar kata-kata Amar. Kesian anak teruna sulungnya itu. Sudah acap kali bercinta dan putus. Sudah nak kahwin pun tak jadi juga. Apalah salah dia Ya Allah? Tunjukkanlah kami jalan kebenaran dalam menyelesaikan segala kekusutan ini.

"Ha! Abang...Murni ada idea!" Amar tersentak dengan reaksi spontan Murni yang tadi kelihatan sugul.
"Jom bang!" Tangan suaminya di tarik untuk bangun.
"Kita nak pergi mana?" Amar termangu-mangu kehairanan dengan tingkah laku Murni yang ceria tiba-tiba.
"Ikut je la."
Kunci kereta dan kunci rumah dicampak ke dalam beg dan Amar hanya membontoti Murni dengan penuh tanda tanya.
Perempuan ni...ada saja idea dia.