Friday 30 March 2012

BAB 4

Astagfirullahualazim....
Aku bermimpi. Mimpinya melihat cermin yang penuh disekeliling sebuah bilik kecil dimana dia duduk di sebuah bangku kecil yang mengadap cermin itu dan secara tiba-tiba sepasang tangan menyentuh bahunya membuatkan Ainnur tersentak dan terjaga. Ainnur mengusap wajahnya. 
Dia baru sedar dia tertidur selepas menunaikan solat Istikarah bagi memohon petunjuk kepada permintaan Kak Murni. Ainnur melepaskan keluhan kecil.
Hatinya masih berdebar dengan permintaan Kak Murni. Fikirannya kembali menerawang entah ke mana.
Jam menunjukkan jam 6.30 pagi menandakan sudah  masuk waktu solat Subuh.

Ainnur bangkit menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh.
Usai solat subuh kepalanya mula terasa berdenyut. Mungkin kerana tidak cukup tidur semalaman dan terlalu memikirkan masalah Kak Murni. Jam di dinding dikerling.
Baru pukul 7.00 pagi. Dia mahu melelapkan mata sebentar memandangkan selalunya dia akan bertolak ke tempat kerja jam 8.00 pagi sebab waktu masuk kerja adalah 8.45 pagi.
Dia tidak perlu menunggu lama kerana orang mengantuk disorongkan bantal, pastinya akan terus terlena. 
"Arghhh!!!"
Jeritan Ainnur bergema satu rumah. Mimpi dirinya ditangkap oleh lanun amat aneh sekali.
Itu la...tidur pagi-pagi lagi. Kalau di kampung, mesti ayah sudah menjerit di telinganya untuk jangan tidur balik selepas subuh. Pintu rezeki tertutup katanya. Tapi dia memang mengantuk benar, baru rasanya dia melelapkan mata.
Ainnur tersentak melihat jam di dinding..pukul 10!
Alamak! Mengamuk la Encik Imran...Ainnur menggaru kepala yang tidak gatal.
Dia pantas bangun, tetapi hampir terjatuh kerana mahu pitam. Pandangannya gelap dan berpinar seketika. Ainnur memegang kepala yang berdenyut. Sah sakit kepalanya datang lagi. Dia duduk kembali di birai katil dan mencapai Iphone di meja sudut katilnya.

"Hani....aku rasa tak sihat hari ni. Tolong maklum pada En Imran. Kalau aku larat aku pergi klinik. Tolong ya Hani."
Hani operator kaunter di pejabat pengurusan hartanah tersebut. Tapi Hani sangat ringan tulang dan peramah orangnya. Lebih-lebih lagi kalau lelaki yang muda dan kacak. Mentang pantang di lihatnya, pasti akan ditegur terlebih dahulu sebelum sempat jejaka tersebut membuka mulut.
Walaupun mulutnya peramah tapi Hani adalah penyimpan rahsia terbesarnya atau sesiapa pun. Tetapi ada juga Hani bercerita padanya kerana Hani tahu Ainnur tidak becok mulut macam orang lain. Sepertimana Hani menyimpan rahsia Ainnur, begitu juga Ainnur menyimpan rahsia atau apa jua maklumat yang diperolehi dari Hani.

*******

Sesudah ke klinik Ainnur terlelap kembali selepas menelan 2 biji ubat penahan sakit. Kali ini dia bermimpi pula melihat dua ekor angsa sedang bertaut di tasik yang sangat indah. Kemudian dia mendongak dan melihat awan putih yang berarak bersih dan perlahan. Dia sungguh tenang dan damai berada di situ. Dia rasa dia tidak mahu sedar dari mimpinya mendamaikan jiwanya itu. Fikirannya kosong, terbang melayang bersama keindahan alam yang mengasyikkan sehinggalah tangannya diraih seorang lelaki yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya jejaka itu yang masih samar-samar wajahnya. Mungkin kesan sampingan ubat yang dimakan membuatkan semuanya kelihatan kabur tetapi tetap indah.
Dah macam cerita Hindustan pula. Ainnur tersenyum bila jejaka itu menarik tangannya menuju ke arah angsa yang seolah-olah sedang berpacaran.
Ainnur asyik dibuai mimpi sampaikan panggilan telefon dan ketukan bertalu-talu di pintu rumahnya seolah-olah hadir sama di dalam khayalannya.
Tiba-tiba dia melihat Kak Murni di sebelahnya
Eh! Kenapa Kak Murni pun ada ni?
Tetapi suara Kak Murni sayup kedengaran jauh sedangkan dia hanya disebelahnya. Kak Murni seperti cuba mengatakan sesuatu. Ainnur menoleh ke arah kanannya dan melihat jejaka itu sudah menghilang dan hanya almari pakaiannya yang kelihatan.
"Ainnur....ok ke tak ni?" Kak Murni meletakkan belakang tangan di dahi Ainnur. Panas...sah budak ni demam. Takkan sebab aku baru melamar dia dah demam kot? Dahi Murni berkerut. Rasa bersalah mula menerpa di dalam hatinya.
"Ainnur demam ni. Dah pergi klinik?" Ainnur hanya mengangguk perlahan.
"Dah makan ubat?" Sekali lagi dia menjatuhkan kepalanya tanda sudah.
"Dah pukul berapa ni kak?" Suara Ainnur agak serak.
"Pukul 2 sayang." Seperti seorang ibu yang mengadap anak yang sedang sakit, Murni mengusap lembut rambut Ainnur. Perkataan sayang itu benar-benar meruntun naluri Ainnur. Sumpah! Kak Murni sama seperti ibunya seorang yang penyayang. Ibu sering memanggil anak-anak dengan panggilan sayang. Tiada kasih yang berbelah bagi di antara adik beradiknya yang berempat. Dia anak sulung, tetapi ibu masih melayan dia dan adik-adik yang lain sama rata.Tidak ada yang lebih bagi yang bongsu dan tidak ada yang kurang buat yang sulung.
"Ainnur nak solat Zuhur dulu Kak Murni." Ainnur cuba bangun, badannya memang terasa sengal dan tidak bermaya tapi dia menggagahkn diri dengan berpaut di dinding. Kak Murni hanya memerhatikan kerana Ainnur tidak mahu dibantu.

Usai membersihkan diri dan menunaikan solat Zuhur,coklat panas telah terhidang untuknya di atas meja makan. Ainnur mengambil tempat di sebelah Kak Murni yang sedang menaip SMS.
"Ainnur dah ok? Akak buatkan Ainnur coklat panas untuk tambah tenaga. Akak nak bancuh milo tadi, tapi tak jumpa selain coklat."
"Memang takde milo pun dalam rumah ni akak. Kami semua minum coklat." Ainnur tersengih sambil menghirup coklat panas perlahan-lahan. Sedap sungguh air tangan seorang ibu. Sudah lama dia tidak minum air yang dibancuh ibu kerana sudah hampir dua bulan dia tidak pulang ke kampung kerana kesibukan kerja-kerja di pejabat dan aktiviti yang berlarutan sepanjang hujung minggu.
Oh ibu. Kalaulah ibu tahu apa yang sedang dilalui oleh Anur ketika ini, pasti ibu akan memeluk...membelai rambut Anur dan membisikkan kata-kata semangat untuk Anur. Ibu akan menyanyikan lagu-lagu zikir dan bercerita kisah-kisah Anur ketika kecil sehingga Anur tertidur di riba ibu.
Ibu.....Anur rindu ibu....
Air matanya mengalir perlahan tanpa sedar lamunannya terus diperhatikan oleh Kak Murni.
Gadis genit itu dipeluk dan Ainnur terus teresak-esak di dalam pelukan Kak Murni.
Kak Murni menyentuh lembut wajah Ainnur dan dikesat air mata yang membasahi pipi bulat itu.
"Kak Murni minta maaf kalau permintaan Kak Murni membebankan Ainnur. Seperti kata Kak Murni sebelum ini, Kak Murni tak paksa Ainnur untuk setuju. Keputusan di tangan Ainnur."
Wajah Ainnur ditatap dengan penuh kasih sayang. Dia tidak akan berkecil hati sekiranya Ainnur menolak permintaannya kerana dia tidak mahu dipersalahkan di kemudian hari. Dia sendiri tidak tahu adakah Adam bersetuju dengan cadangannya mahu menggantikan tempat Maya dengan Ainnur.
Sudah dua hari Adam tidak dapat dihubungi dan hanya SMS dihantar untuk maklumkan Adam dengan cadangan mereka itu.
Kalau Adam bersetuju....alhamdulillah. Dan jika tidak, mereka menerima keputusan itu dengan redha dan menganggap bukan jodoh Adam dengan Maya atau Ainnur.
"Ainnur kena minta pendapat keluarga Ainnur dulu. Ainnur harap Kak Murni dapat beri Ainnur lebih masa. Jika keputusan Ainnur mengecewakan akak...Ainnur harap hubungan kita masih seperti sekarang sebab Ainnur sayang akak macam  ibu Ainnur sendiri. Ainnur taknak hubungan kita serpih sedikit pun kerana diumpamakan cawan yang serpih pasti tidak akan dipedulikan kelak."
Kali ini giliran Kak Murni pula menitiskan air mata. Syahdu dengan kata-kata Ainnur. Dikucup dahi Ainnur dengan penuh kasih sayang.
"Akak akan sayang Ainnur macam anak akak sampai bila-bila pun."

Setelah Kak Murni pulang, Ainnur hanya mampu memandang Iphone yang terdampar di atas meja. Pendapat keluarga perlu diutamakan kerana ini bukan perkara boleh dibuat main-main. Kepalanya semakin berdenyut-denyut.
Ya Allah....bantulah hambaMu ini.

1 comment: