Wednesday 25 April 2012

BAB 13

Nafasnya turun naik dan dadanya jelas berombak kepenatan. Aktiviti yang dilakukakan dua kali seminggu itu sudah semestinya membuatkan dia terduduk kepenatan akhirnya.
Tiada suami atau rakan yang menemani. Cukup berseorangan dan apabila selesai aktiviti, dia akan segera pulang ke rumah kerana itu janjinya pada suami yang jarang bercakap dengannya. Niatnya keluar rumah hanya untuk mengeluarkan peluh dengan berjoging di taman berdekatan rumah mereka.

Usai berjoging dia meneruskan berjalan kaki mengelilingi taman sebanyak dua kali bagi menyejukkan badan dan meredakan jantung yang telah dipam laju. Hatinya puas dengan peluh yang mengalir di seluruh tubuhnya. Berehat seketika di kerusi panjang yang terletak di bawah pokok di tengah taman sambil matanya leka memerhatikan orang ramai yang semakin memenuhi taman tersebut. Ternyata kini rakyat Malaysia semakin mementingkan kesihatan. Walau jam baru menunjukkan jam 8.30 pagi, sudah ramai yang memenuhi taman untuk berjoging atau melakukan senaman ringan. Kanak-kanak seronok kerana mereka bebas berlari, bermain basikal atau bermain dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan. Tak kurang juga sekumpulan wanita Cina yang sudah agak berumur mengadakan senaman tai chi. Setiap minggu mereka tidak pernah ketinggalan berada di situ.

Bila jam mencecah ke angka 9 pagi, Ainnur mengambil keputusan untuk pulang. Sarapan untuk si suami yang mungkin masih lena diulit mimpi belum disediakan lagi. Setakat ini, semua masakannya menjadi menu harian Adam. 
Alhamdulillah... Air tangannya menjadi pilihan Adam. Adakala, firasatnya berkata mungkin Adam sudah makan di luar, tetapi dia masih menghidangkan makanan Adam. Dan setakat ini, Adam tidak pernah merungut atau jarang sekali masakannya tidak habis di makan.

Dulu masa di kampung, dia ingat lagi ketika itu dia masih berumur 17 tahun, ayah sering menghambat mereka untuk mengikuti kuliah agama yang akan diadakan setiap hari Khamis malam Jumaat. Suka atau tidak, terpaksalah mereka berempat pergi kerana tidak mahu dibebel oleh ayah. Dan ada satu ketika, topik mengenai bab nikah kahwin tidak langsung menjadi topik yang menarik minatnya. Tetapi kata-kata ustaz jemputan malam tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya. Dalam nada serius ustaz menjelaskan, sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun dan makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah.

Kini ibu pula yang sentiasa mengingatkannya. Walau makanan atau minuman tersebut tidak disentuh, sudah menjadi kewajipan seorang isteri untuk menyediakannya untuk suami. Ainnur patuh kepada nasihat tersebut dan dia bersyukur kerana Adam sudi untuk menjamah masakkannya.

Terima kasih suamiku...Ainnur tersenyum sendirian. Kasut joging di tanggalkan dan dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Namun senyuman itu tidak kekal lama kerana Adam tiba-tiba terpacul keluar dari bilik air yang terletak di antara pintu masuk biliknya dan bilik suaminya itu.
Langkahnya untuk menuju ke bilik terhenti dan dia tergamam melihat Adam yang hanya bertuala menutup bahagian badannya dari bawah pusat hingga ke paras lutut. Menampakkan dadanya yang bidang dan tubuhnya yang masih basah kerana baru sahaja selesai mandi.
Ainnur terkaku namun pandangannya di alih ke sisi.
Kenapa la dia keluar masa ni? Sajalah nak tayang body yang tak sasa tu. Ainnur merungut.
Merah padam wajahnya namun Adam selamba melangkah masuk ke biliknya dan sejurus terdengar pintu di tutup Ainnur berlari terus masuk ke bilik.
Perasaannya berbaur. Malu, meluat atau suka? Yaks!
Malas melayan perasaannya, Ainnur terus menuju ke bilik air, membersihkan diri dan bersiap ala kadar. Menu makan pagi, nasi lemak sambal sotong yang dimasaknya sendiri serta kuih keria di beli dari gerai di tepi jalan semasa pulang dari joging tadi. Seharusnya coklat panas kegemaran Adam sudah disediakan dan Ainnur memilih untuk minum kopi kerana kisah ustaz tadi mengingatkannya suasana di kampung yang mana sarapan pagi mereka pasti akan disajikan dengan kopi panas yang menjadi minuman kegemaran ayah.

"Dah siap?"
Ainnur tersentak. Nasib baik tak terlepas pinggan di tangannya.
"Sudah." Sahutnya pendek.
Main sergah aja budak kecik ni. Bukannya nak bagi salam ke...Ainnur mengomel dalam hati.
Dilihatnya Adam sudah siap berkemeja lengan panjang warna merah bercorak kotak-kotak dipadankan dengan seluar khakis berwarna hitam jenis straight cut menyerlahkan susuk tubuh Adam yang kurus dan tinggi. Bau haruman CK semerbak merajai ruang makan menangkis bau masakan Ainnur. Adam mengambil tempat di meja makan dan beg sandang diletakkan di sebelah kanannya.
Pinggan berisi nasi lemak diletakkan di hadapan Adam. Ainnur berkira-kira untuk berlalu namun Adam menahannya untuk makan bersama.
"Duduklah. Kita tak pernah makan sama-sama. Kalau aku ada, kau pula tak ada. Kalau kau ada kat rumah, aku pula yang tak ada."
Buang tabiat ke budak kecik? Tiba-tiba aja ajak aku makan sama...Dahinya berkerut namun segera dibuang jauh-jauh perasaan pelik itu.
Ainnur buat selamba mencedok nasi lemak ke dalam pinggannya. Namun tekak terasa sukar untuk menelan apabila makan di hadapan suaminya itu. Tak pasti apakah yang dirasakan saat ini.
"Kau tak pergi mana-mana hari ni? Kau cutikan?"
Adam memecah kesunyian.
"Hurm..." Tak terkeluar kata-kata. Hajatnya mahu minta keizinan Adam untuk keluar membeli belah bersama Hani. Memang sudah di janjikan dengan Hani semalam, cuma menunggu keizinan dari Adam.
"Kau nak keluar...pergi aja lah. Aku tak halang."
"Ainnur ingat nak keluar dengan Hani, cari baju untuk annual dinner company." Teragak-agak dia menuturkannya.
"Hurm..."Adam mengangguk perlahan, kemudian dia bangun sambil membawa pinggan ke sinki.
"Tak apalah...tinggal kat situ. Nanti Ainnur basuhkan." Rasa bersalah pula melihatkan Adam mahu membasuh pinggannya sendiri.
"Tak apa. Aku dah biasa." Serius suara Adam.
Emo pulak...Tadi okey aja...Cetus hati Ainnur.
Beg sandang di capai dan Adam terus berlalu keluar tanpa berkata apa-apa pada Ainnur yang hanya melihat pemergian suaminya itu. Namun sepantas itu juga Ainnur mengejar Adam dari belakang.
"Adam!" Langkahnya terhenti bila namanya dipanggil.
Ainnur menghampirinya dan tangan Adam dicapai lantas disalam serta dikucup lembut.
Adam terpana namun keegoan seorang lelaki memaksanya terus berlalu begitu saja meninggalkan Ainnur. Tetapi, tidak dinafikan...hati lelakinya sedikit terusik dengan perbuatan Ainnur itu.
Sampai bila harus aku melayannya begini? Haruskah aku melepaskannya? Bagaimanapun, persoalan itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang jawapan yang pasti.

3 comments:

  1. Makin syok! Suka2! Adam... Suka la Nur... Ekekeke

    ReplyDelete
  2. Hahaha.... Gila novel kak.. Memang suka gila bila menghayati watak. Hehehhe

    ReplyDelete