Wednesday, 8 April 2015

AKU PILIH KAU! 38

BAB 38

Biar patah hatiku
Biarkanlah
Aku pergi demi hidupmu
Biar hancur harapku
Lepaskanlah
Aku pergi demi bahgiamu
( Biarkanlah – Drama Band )

“Chiko, cover jap. Aku nak pergi toilet.” Chiko tersentak apabila bahunya ditepuk dari belakang. Leka mengambil gambar para tetamu yang hadir. Ketibaan pasangan pengantin masih dinanti. Ada masa lebih kurang setengah jam sahaja lagi.

“No problem bos.” Arahan Adam disambut senang. Tetamu yang hadir semakin ramai memenuhi segenap ruang dewan yang boleh memuatkan 700 orang dalam satu masa yang sama. Sepeninggalan Adam, tugas-tugas merakamkan detik indah keluarga mempelai diteruskan oleh Chiko dan Hafiz. Shaq telah ditugaskan mengikut rombongan pengantin lelaki manakala Hana yang merupakan satu-satunya bunga di dalam kumpulan mereka berada di tempat rombongan pengantin perempuan bersiap. Hana yang merupakan teman wanita Hafiz sama-sama berkongsi minat dalam bidang fotografi. Kehadiran keduanya sudah cukup melengkapkan kumpulan mereka untuk menjadi lima yang terbaik dalam menghasilkan rakaman detik-detik yang terindah buat pelanggan.

Mereka difahamkan, pasangan mempelai bersiap di tempat yang berlainan kemudian mereka akan disatukan di pintu masuk dewan dan berjalan beriringan menuju ke pelamin yang berada di atas pentas. Leka keduanya menjalankan tugas sehinggalah sebaik pengacara majlis memaklumkan ketibaan pengantin, bunyi kompang bergema mengikut sama pasangan berarak menuju ke dalam dewan. Masing-masing terus mengambil posisi yang terbaik. Adam tidak menunggu di pintu sebaliknya itu menjadi tugas Shaq dan Hana. Lampu kamera berkelip-kelip di tala ke arah pengantin dan tetamu yang sudah berdiri untuk melihat pengantin yang baru memasuki dewan.

Adam menunggu penuh sabar, maklum sahajalah pengantin kena jalan perlahan, bibir kena sentiasa tersenyum. Tiba-tiba teringatkan majlis perkahwinannya dahulu, tidak bersanding pun. Pelamin hanya sekadar hiasan latar belakang untuk bergambar. Tetapi bukan untuk dia, kebanyakannya tetamu yang sibuk bergambar sedangkan dia entah ke mana. Langsung tidak berminat untuk menjeling pelamin sekalipun.

 Dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya pada ketika itu. Berkecamuk dengan pelbagai perasaan yang boleh dikategorikan dalam pahit. Wajah isterinya langsung tidak dipandang, malah dia sibuk melayan teman-teman yang datang tanpa mempedulikan langsung isterinya. Malam pertamanya tidak seperti pasangan lain, dia menghilang diri. Tombol pintu bilik pun langsung disentuh.

“Bro! Pengantin tu.” Lantas kembali ke alam nyata dan mata tertumpu ke pelamin.

Ha!!! Mata membuntang melihat pengantin perempuan yang sedang tersenyum lebar di atas pelamin. Dia menggosok mata berkali-kali.

Pap! Pap! Pap! Pipinya ditampar tiga kali. Wajah Shaq dipandang tidak puas hati. Tak sakit mana pun tapi agak hairan kenapa tiba-tiba dia menjadi mangsanya

“Tak payah kau nak gosok-gosok sangat mata kau tu. Kau rasa penampaq aku tadi, sakit tak?”

“Sakitlah! Sengal!” Masih tidak puas hati. Hati tiba-tiba panas.

“Ha…aku nak beritahu kau, kita ni memang di alam nyata. Yang dekat atas pelamin tu bukan isteri kau. Dah! Buat kerja cepat!” Shaq tahu, Adam pasti terkejut. Semasa majlis pernikahan semalam, hanya Hafiz dan Hana yang berada di rumah pengantin untuk mengambil gambar, makanya ini kali pertama mereka bertentang mata dengan pasangan pengantin. Wajah pengantin perempuan saling tidak tumpah seperti Ainnur. Sedangkan dia pun terkejut inikan pula Adam. 

Walaupun tidak pernah bersua muka selepas dari majlis perkahwinan sahabat baiknya itu tapi dia dapat mengingat dengan jelas raut wajah Ainnur. Wajah pengantin perempuan dari segi bentuk muka, tubuh badan, warna kulit semuanya seakan seperti kembar cuma yang membezakan hanyalah si pengantin perempuan  mempunyai tahi lalat jelas di pipi tetapi Ainnur di tepi bibir bawah belah kanan. Menambahkan kemanisannya bila tersenyum. Senyuman itu masih diingati kerana setiap album-album gambar perkahwinan mereka masih disimpan dengan baik di dalam rak di studio. Mengenangkan sebab kawannya itu berkahwin, dia faham mengapa Adam seperti tidak berminat untuk membawanya pulang.

Adam merenung tajam pasangan yang sedang duduk di pelamin. Sesekali pasangan pengantin tertawa dan saling menjeling apabila diusik oleh tetamu yang silih berganti naik untuk menepung tawar. Apabila terpandang wajah itu buat pertama kali, dia ingatkan bermimpi, tapi kata-kata Shaq tadi menyedarkannya bahawa segala-galanya adalah realiti.

Dia cuba melupakan kata-kata Shaq itu, tapi dia tidak berjaya. Walau ternyata itu bukan isterinya tapi perasaan kecewa dan cemburu tidak dapat dikikis dari hati. Lebih lagi bila mereka berpelukan, segala shot yang diambil bagai tidak kena.

Kenapa aku rasa macam ni? Adam….tu bukan isteri kau. Cuba bertegas dengan diri sendiri.

Setiap aksi bergambar mempelai itu tidak sanggup dilihatnya. Dia merasakan seperti Ainnur yang sedang bersanding di atas pentas itu berpelukan dengan lelaki lain, dia jadi berang.

Walau sudah puas menolak perasaan hati dengan menyatakan wanita itu bukan Ainnur dan wanita itu bukan miliknya, namun dia gagal.

“Aku nak minum jap, hauslah.” Akhirnya dia mengalah. Tidak mampu lagi untuk membendung perasaan yang memberontak supaya lelaki tersebut melepaskan isterinya. Gelas berisi air bandung dicapai dan dia segera beredar ke meja yang agak ke belakang bagi menjauhkan pandangan matanya daripada melihat adegan-adegan seterusnya yang amat menyesakkan dada.

Perlahan-lahan dewan mulai lengang kerana selepas majlis persandingan dan pada ketika ini sesi memotong kek, ramai di antara tetamu sudah pulang. Adam duduk sendirian di meja yang sudah ditinggalkan. Dia tunduk merenung kaki namun fikiran melayang terus dibuai saat-saat bersama Ainnur.

“Beb! Settle!” Ujar Shaq mengambil tempat di sebelahnya dan dituruti dengan rakan-rakan lain turut sama menarik kerusi untuk duduk di meja bulat yang boleh memuatkan sepuluh orang itu. Dia hanya mengangguk. Pandangan di hala ke luar dewan. Melalui pintu yang terbuka, dia dapat melihat katerer yang bertungkus-lumus mengemas peralatan yang sudah digunakan. Masing-masing nampak cekap dan pantas dalam melaksanakan tugas.

“Guys…Thanks for today. You all did a good job.” Suara itu…Dia mendongak kepala mencari si pemilik suara. Hampir sama. Dia lagi!

“Payment separuh lagi, macam kita dah agree bila we all dah dapat semua gambar dalam tangan. Kita bayar okay. You all mesti penat. Rehatlah dulu. Ada kek dekat depan, ambiklah.” Adam terdiam. Melihatkan wajah itu mengingatkan dia pada si isteri yang telah ditinggalkan. Terus pandangan dialihkan ke tempat lain.

“No thanks! Dah kenyang sangat-sangat.” Balas Shaq.

“How about your friend?”

“Dorang semua diet.” Pecah tawa kesemuanya namun tidak Adam.

“Sayang…” Panggilan itu membuatkan Adam mengangkat muka dari terus merenung lantai yang nampak bersepah dengan sisa makanan yang bertaburan.

“Abang…” Huluran tangan suami disambut mesra. Satu ciuman dari suami hinggap di dahi si isteri.

Ish! Macam tak ada tempat lain nak bermanja-manja. Rungut Adam di dalam hati.

“Jom sayang. Abang nak kenalkan sayang dengan kawan abang. Saya ambik balik isteri saya ya.” Ujar si pengantin lelaki sekadar bergurau. Masing-masing tersenyum lebar melepaskan pengantin perempuan. Adam diam kemudian dia menghembus nafas kuat. Sakitnya hati tidak terkata.

“Beb…jealous ke?” Shaq menyiku rusuk temannya itu apabila dilihatnya Adam menghantar mereka dengan jelingan tajam. Aura Adam yang duduk di sebelahnya seperti meresap jua  ke dalam tubuhnya meninggalkan kesan negatif membuatkan dia dapat mentafsir bahawa temannya itu tidak senang duduk apabila melihat si pengantin perempuan.  

“Teringat bini lah tu.” Kata-kata Shaq disambut dengan tawa mereka yang duduk semeja.


“Dah…kemas. Jom balik!” Sisa-sisa tawa rakan-rakannya tidak dihiraukan. Yang penting, dia harus meninggalkan tempat tersebut dengan segera. Tidak sanggup untuk melihat adegan-adegan mesra yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment