BAB
40
So
honey now
Take
me into your loving arms
Kiss
me under the light of a thousand stars
Place
your head on my beating hearts
I’m
thinking out loud
That
maybe we found love right here where we are
( Thinking Out Loud –
Ed Sheeran )
Bunyi jarum panjang yang bertelagah
dengan jarum pendek memukul nombor di sekeliling jam berbentuk bulat yang
tersangkut di dinding biliknya sesekali mengusik gegendang telinga. Sunyinya suasana sehingga detik jam yang berputar dapat didengar dengan jelas. Jam yang
telah banyak menyaksikan peristiwa dalam hidup yang sehelai demi sehelai di
singkap bagi membuka lembaran baru atau mengenang tragedi lama. Namun walau
sekuat mana ia berputar, sampai masanya ia akan mati jua dan kuasa baru akan
datang dengan seribu daya lebih kuat untuk bersaing seiring dengan masa yang
semakin cepat berputar. Kipas siling yang berputar ligat masih tidak
berjaya mengusir beberapa ekor nyamuk yang sibuk berlegar di tubuh yang terbaring
kaku tidak menguit langsung diselubungi selimut tebal yang ditarik hingga ke
paras dada bagi mengurangkan kesejukan dari kipas yang berputar.
Dengkuran halus namun masih jelas
di pendengaran tidak mengganggu sesiapa kerana hanya dia yang berseorangan di
dalam bilik yang diterangi dengan lampu tidur yang terletak di sisi kepala
katil. Satu tabiat yang tidak boleh dibuang sejak dari sekolah rendah membawa
hingga ke dewasa. Pengalaman di momokkan dengan kisah hantu yang berjuntaian
kaki dari atas almari membuatkan dia tidak betah berada di dalam kegelapan.
Menginjak ke usia remaja, peristiwa itu sudah dilupakan namun tabiat tidur
dalam terang tidak dapat dibuang.
Tuk! Tuk! Tuk!
Bunyi ketukan di pintu langsung
tidak mengejutkannya dari tidur yang lena. Mata terpejam rapat ditemani
dengkuran yang terus menyanyi mengeluarkan melodi sendiri tanpa lirik.
Tuk! Tuk! Tuk!
Ketukan kedua lebih kuat dari tadi.
Sayup-sayup suara yang memanggil namanya menerjah ke corong telinga. Membuatkan
dia sedikit tersentak. Siapa pulak yang kacau aku tidur ni?! Mata sedikit kelat
untuk dibuka. Selimut di tarik terus menutupi hingga ke paras kepala.
Tuk! Tuk! Tuk! “Adam....”
Suara itu membuatkan dia
benar-benar terjaga dari lena. Mata yang kelat segera dibuka seluasnya dan
selimut ditolak menjauhi tubuh.
“Adam...buka pintu ni.” Ada nada
merintih di hujung suara yang sedang menunggu di luar biliknya itu.
Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan di pintu
bertalu-talu. Namun dia hanya memandang tanpa sebarang tindakan. Masih mamai
kerana baru terjaga dari tidur. Tubuh terasa amat letih. Kepala berpusing
pening kerana bangkit secara tiba-tiba. Dia duduk seketika di birai katil bagi
mengumpul kekuatan untuk berdiri. Otak berfikir bagaimana dia boleh berada di
rumah sendiri. Sedangkan semalam dia masih sibuk menyelesaikan kerja-kerja di
studio kemudian dia terlelap kerana terlalu letih. Kepala berserabut dengan
masalah peribadi yang nampaknya seperti tiada jalan penyelesaian selagi dia
tidak cuba mengharunginya tanpa ragu-ragu. Dia berseorangan kerana Shaq sudah
pulang, dan Chiko hilang entah ke mana. Keluar dating agaknya.
“Adam...please open the door...”
Dari rintihan beralih pula pada tangisan. Kenapa pula Nur ni? Tidak sampai
sepuluh langkah dia sudah tiba di pintu bercat putih itu. Tangan memulas tombol
pintu dan sebaik pintu terbuka Adam tergamam melihat Ainnur yang sedang menekan
perut dan darah berjejehan di celahan kelangkangnya...
“Ya Allah! Kenapa ni sayang?” Dia
panik. Melihatkan darah yang semakin mengalir laju membasahi lantai perlahan
menyusur masuk ke dalam biliknya.
“Tolong saya....Adam...tolong....”
Ainnur merintih dan tangannya masih menekan perut. Dahinya berkerut mungkin
kerana menahan kesakitan yang teramat sangat.
Adam tegak berdiri. Dia terlalu
panik sehinggakan tidak tahu mahu bermula dari mana. Jantung berdegup semakin
kencang, kepala terasa berpusing ligat. Bau hanyir darah mula menusuk ke dalam
hidung.
Buk! Tubuhnya terus lemah longlai dan
jatuh menyembah lantai. Dia tidak sedar apa yang terjadi selepas itu sehingga
pipinya terasa perit ditampar seseorang.
“Hoi! Kau ni mengigau apa sampai
tidur atas lantai ni?”
“Shaq! Shaq! Nur mana? Dia okay ke
tak?” Dia terus meraba-raba sekeliling. Lantai bersih tanpa setitik pun cecair
berwarna merah. Maksudnya tiada darah.
Shaq memandang sekeliling. Cuba
mencari kelibat Ainnur sekiranya ada seperti mana yang dikehendaki Adam.
Suasana sunyi sepi. Malah tiada bunyi kenderaan pun yang lalu lalang. Jam sudah
menginjak ke angka 10 pagi, mungkin kebanyakan jiran tetangga sudah keluar
bekerja awal pagi dan yang lain masih tidur atau sekadar melakukan aktiviti di
dalam rumah membuatkan jalan raya kecil di hadapan studio lengang.
“Hello abang...ini studio lah. Nur
ada datang sini ke? Kau mengigau ni....” Shaq tersengih melihat Adam yang panik
secara tiba-tiba. Namun dalam hati berkata-kata jua…Ainnur ada datang sini ke?
Maksudnya dorang dah berbaiklah. Pening juga nak menjawab itu semua sendiri sebab jawapannya memang bukan pada dia tapi pada lelaki yang sedang duduk di hadapannya kini.
“Serius! Aku tengok dia berdiri
dekat pintu berdarah-darah!” Ujar Adam bersungguh-sungguh. Dia menggosok belakang
leher yang terasa kejang. Otak terus ligat berputar. Itu mimpi ke?
Shaq sekadar menggeleng kepala melihat telatah Adam. Kunci pintu studio dicampak ke dalam beg. Dia sendiri terkejut sebaik pintu bilik dibuka melihat Adam sudah terbaring di atas lantai. Pada fikirannya mungkin Adam pengsan. Mujur dia sedar, kalau tidak memang ke hospital temannya itu sudah di bawa. “Aku rasa kau ni mimpi kut.”
“Aku nak baliklah. Risau pula ada
perkara buruk yang jadi dekat dia.” Dia terus bangun mencapai kunci kereta di atas
meja dan meninggalkan Shaq yang terpinga-pinga sendirian.
Sah! Budak ni angau sebenarnya.....
Sah! Budak ni angau sebenarnya.....
*******************
Kaki menekan deras pedal minyak
mencelah di sebalik kereta yang bersusun di atas jalan raya. Jantung berdegup
keras sepertinya ada sesuatu yang tidak kena. Dalam kepala sudah memikirkan
bermacam-macam peristiwa buruk yang seringkali di paparkan di dada suratkhabar
membuatkan hati bertambah walang libang-libu. Tubuh yang berlumuran darah itu membuatkan
dia benar-benar cemas.
Ya Allah...kau selamatkanlah
isteriku.
Memasuki kawasan tempat letak kereta, sebuah Myvi oren kepunyaan seseorang yang amat dikenali berada di tempat biasa. Bertambah berdebar dada
Adam. Itu bermaksud Ainnur berada di rumah. Mintak-mintak janganlah terjadi
seperti apa yang dimimpikan.
Ting! Tanpa menunggu pintu lif
terbuka luas, dengan kelebihan tubuh yang kurus itu, dia terus menyelit untuk
keluar berlari menuju ke rumah. Melihat pintu yang berkunci, tangan lantas
meraba ke dalam beg sandang yang dibawa bagi mencari kunci rumah. Kelam-kabut
dia menolak pintu sehingga hampir dia terjatuh kerana tersadung lapik kaki yang
diletakkan di hadapan pintu masuk. Suasana rumah sunyi sepi seperti tidak
berpenghuni. Mata meliar sekitar ruang tamu terus ke dapur, namun kelibat orang yang dicari tidak kelihatan. Kaki melangkah laju menuju ke pintu bilik yang tidak ditutup rapat. Mudah
sahaja ditolak lantas dia terus meluru ke atas katil mendapatkan si isteri yang
sedang terbaring tanpa menyedari kehadirannya.
“Sayang!” Selimut diselak bagi memastikan apa yang dimimpikannya tidak terjadi di alam realiti.
“Along! Apa ni?” Jeritan Arina memecah kesunyian pagi yang sudah pun suam-suam kuku kerana suasana panas di luar lebih kepada tengah hari. Adam terkejut. Si isteri yang disangkanya tidur tadi rupanya Arina.
“Ainnur mana? Kak Long pergi mana?
Is she okay? Adik buat apa dekat sini?” Ada nada cemas di situ. Arina
terkulat-kulat memandang Adam yang sedang beria-ia menanti jawapan darinya.
“Kenapa dengan Along ni? Masuk
bilik tak bagi salam. Main terjah aja. Siap pakai kasut lagi! Siapa ajar ni?
Dah...turun...turun...” Arina menolak Adam turun dari katil. Dia menyelimutkan
tubuh yang hanya dibaluti baju tidur jenis kain satin paras peha dengan
selimut. Walau yang berada di hadapannya itu abang kandungnya, tetapi tahap
batasan aurat masih dijaga.
“Along tanya ni...Ainnur mana...?”
Wajahnya masih resah. Selagi tidak mendapat jawapan yang sahih di mana
isterinya berada. Mungkin jua Ainnur berada di hospital pada ketika ini namun
Arina tidak sempat memberitahunya. Dia memanjat katil semula tanpa menghiraukan langsung converse yang masih tersarung di kaki akan mengotori katil kerana apa yang penting adalah Ainnur selamat.
“Along...hari ni kan hari
Selasa...mestilah Kak Long kerja. Ingat dia kerja macam Along ke? Orang tu
kerja makan gaji, masuk pagi balik petang. Faham.....” Ujar Arina sambil mengikat rambut yang kusut masai akibat baru bangun dari tidur. Kemudian dia
duduk belunjur kedua kaki ke hadapan lalu cuba menolak tubuhnya sedikit ke hadapan bagi membolehkan hujung jari tangan mencecah
hujung jari kaki. Sedikit senaman ringan yang dilakukan setiap pagi untuk
memanaskan urat-urat dan sendi yang masih tidur walau mata sudah terbuka luas.
Dia menjeling pada Adam yang sedang duduk bersebelahan dengannya sambil
bersandar di kepala katil. Wajah abangnya itu nampak muram. Di kepalanya juga
seperti terletak sebuah batu yang teramat besar kerana dari wajahnya jelas
menggambarkan kekusutan di hati. Mungkin masih mencari jalan penyelesaian bagi
masalah di antara mereka berdua. Sudah
hampir dua minggu dia bermastatutin di rumah itu gara-gara ingin menemankan
kakak ipar yang berseorangan dan sedang meratap pilu akan kisah hidup yang mula berantakan. Mujur juga mummy dan papa tiada kerana cuti
berbulan madu katanya. Dia tidak ikut serta kerana malas mahu kacau daun.
Biarkan lah…sudah lama mereka tidak berdua-duaan mencari ketenangan bersama-sama. Menggilap
semula kisah cinta yang sudah berlanjutan hampir 30 tahun.
Adam menghembus nafas panjang. Hilang debaran di hati. Maksudnya Ainnur selamat sudah cukup menggembirakan dirinya.
Adam menghembus nafas panjang. Hilang debaran di hati. Maksudnya Ainnur selamat sudah cukup menggembirakan dirinya.
“Pergi mandilah! Busuk! Gigi tak
gosok. Masam!” Batang tubuh Adam ditolak kuat hingga jatuh dari katil. Bau masam sepertinya seharian dia tidak mandi. Rambut yang selama ini di dandan rapi sudah tidak terjaga. Walau lelaki namun Adam sentiasa memastikan rambutnya di sikat serta dibubuh gel bagi mengekalkan letak rambut yang kemas sempurna. Tetapi lelaki yang dilihat depannya kini berlainan dari dulu. Baju itu entah sudah berapa hari tidak bertukar. Bulu-bulu halus sudah mula tumbuh disekitar rahang Adam. Arina hairan mengapa sampai begitu sekali keadaan Adam. Adakah terlalu kecewa membawa hati yang lara sehinggakan diri sudah tidak terjaga.
"Adik...Kak Long okay kan? How is she?" Kerja-kerja mengemas katil terhenti. Wajah abangnya yang sedang berdiri di muka di pintu di toleh. Sugul. Sayu hatinya melihat Adam.
"She's fine. Tapi adik tahu, dia rindukan along macam mana along rindukan dia sekarang ni."
Jawapan itu sudah membuatkan dia cukup lega. Adam tersenyum melangkah keluar dari bilik meninggalkan Arina yang terus menghantarnya hingga hilang dari pandangan.
Adam menghempaskan tubuh di atas katil. Merenung siling, mengingati kisah suka duka bersama Ainnur. Senyum dan tawa Ainnur membuatkan bibirnya jua lebar menguntum senyum. Adakalanya wajah itu masam mencuka kerana marahkannya yang suka menyakat. Terngiang-ngiang suara Ainnur membebel di telinganya bila dia sengaja membiarkan baju berlambak untuk dibasuh. Kasut bersepah sengaja tidak mahu disusun. Masakan Ainnur lebih dirindui. Walau sedikit dijamah, tapi terasa kenyang. Tidak pernah ada rasa yang kurang. Masakan penuh dengan kasih sayang itu sahaja jawapannya bila ditanya kenapa setiap masakan tidak pernah kurang rasa.
Sayang.....Adam rindu sayang. Adam rindu sangat-sangat.
No comments:
Post a Comment