Wednesday, 9 May 2012

BAB 17

Ainnur tercengang-cengang melihat jam di dinding menunjukkan ke angka 7 pagi.
Alamak! Macamana aku boleh tertidur kat sini? Remote TV di capai dan butang off di tekan untuk mematikan TV yang telah pun menyiarkan program Selamat Pagi Malaysia.
Hari minggu yang membosankan dan dia sendirian di rumah. Sejak pertengkaran itu, Adam tidak pulang dan tiada SMS yang diterima seperti selalu. 

Ainnur tidak peduli. Mengenangkan peristiwa itu, hatinya benar-benar sakit.

Dia segera mencapai tuala mandi dan bersiap untuk ke tempat kerja. Usai bersiap, kunci kereta di atas meja solek tidak kelihatan.
Mana pulak kunci kereta ni? Serasa semalam letak kat sini.
Puas dicari sekeliling meja, dalam laci, tepi katil dan habis isi perut beg tangan di selongkar, masih tidak dijumpai. Jam menunjukkan hampir jam 8 pagi.
Ish! Tak boleh jadi ni, lambat aku ni.
Berkira-kira mahu menghubungi teksi tetapi teringat kunci spare yang disimpan di dalam kotak dalam almari baju. Nasibnya baik kerana kunci masih di situ.

Lantas dia keluar, pintu bilik dikunci dan sempat dikerling bilik Adam. Ternyata tidak berpenghuni kerana menjadi tabiat Adam tidur dengan lampu terpasang.

Malas mahu mengambil tahu ke mana dia pergi, Ainnur terkocoh-kocoh keluar tanpa sedar tiada sarapan pagi disediakan untuk suaminya seperti selalu.

Tiba di tempat parkir kereta, alat kawalan kereta seolah-olah tidak berfungsi. Puas ditekan butang hijau pada alat kawalan tetapi pintu tidak boleh dibuka.
Takkan rosak pulak remote ni...ngomelnya dalam hati. Peluh-peluh halus mula terbit di dahi akibat panahan cahaya matahari pagi.
Ainnur mula kalut. Kalau bukak pintu pakai kunci, seharusnya alat penggera pasti berbunyi. Kereta akan mengaum memecah keheningan pagi dan pastinya dia dituduh mengganggu ketenteraman awam atau silap haribulan dia dituduh mencuri kereta pula.

Dia menelek kereta tersebut, melihatkan plat kereta baru dia sedar...itu bukan keretanya. Ini kereta Adam.
Dilihatnya parkir di sebelah kosong. Myvi oren kesayangannya tiada di tempat biasa.

"Sudahlah lambat, tadi kunci hilang...ni kereta pulak hilang." Ainnur tidak tentu arah. Dia ke hulur hilir seperti kucing mahu beranak.

Dia dan Adam mempunyai kereta yang sama jenis Myvi SE 1.3 warna oren. Setiap hari, dia dapat meneka Adam ada di rumah atau tidak dengan melihat keretanya.
Tapi tadi, Adam tak ada di bilik...macamana keretanya ada di sini? Ainnur bingung. Sedang berkira-kira mahu menghubungi telefon bimbit suaminya. Jam hampir menunjukkan ke angka 8.30 pagi.
Masa pantas berlalu, dan dia tiada pilihan lain. Lantas telefon bimbit dikeluarkan, nama Adam dicari dan butang hijau ditekan.
Setelah hampir satu tahun tempoh perkahwinan mereka, ini adalah pertama kali dia akan bercakap dengan suaminya melalui talian telefon. Selama ini, hanya SMS penghubung bicara.

Tidak pernah terlintas di hati masing-masing untuk bercakap di talian kerana tiada apa perlu dibualkan atau setiap patah perkataan akan dibalas dengan sepatah jawapan sahaja.

"Hello."

Ainnur terdiam seketika mendengar suara halus itu. Comel ja...

"Hello."

"Hello...Adam kat mana?" Suaranya tersangkut-sangkut. Entah kenapa dia rasa gugup untuk bercakap dengan suaminya itu.

"Kenapa?" Soalan tidak berjawab sebaliknya soalan lain yang dikemukakan.

"Ainnur tengok Adam tak ada kat rumah tadi tapi kereta Adam kat sini. Kereta Ainnur hilang," dia rasa mahu menangis semasa menyatakan keretanya hilang. Itu sahajalah hartanya yang ada selama 6 tahun dia bekerja. Niat untuk mempunyai rumah sendiri belum tercapai. Masih berusaha mengumpul wang secukupnya. Dan usaha itu terbantut apabila tiba-tiba dia mendirikan rumahtangga yang sebenarnya tiada dalam perancangan hidupnya buat sementara waktu ini.

"Aku pakai kereta kau." Jawapan Adam menaikkan darah Ainnur. Untuk seketika dia cuba melupakan persengkataannnya dengan Adam kerana dia perlu membuat panggilan telefon ini tetapi ternyata jawapan Adam menambahkan rasa marah yang sudah sedia ada dalam dirinya.

"Aku tak boleh cakap sekarang. Polis ada kat depan." PAP! Belum sempat Ainnur berkata apa-apa, talian telah diputuskan.

Ainnur rasa mahu menjerit sekuat hatinya pada ketika itu untuk melepaskan geramnya.

Aku punyalah risau bagai nak mati kat sini. Dia boleh selamba bawak kereta aku tanpa pengetahuan aku.

Argghhh!!!! Tayar kereta Adam menjadi tempat dia melepaskan perasaan. Disepaknya berkali-kali dan kini dia sedar kenapa Adam menggunakan keretanya. Dilihatnya tayar kereta Adam sudah kempis seolah-olah pancit atau mungkin bocor.

Tetapi dia tidak mahu ambil tahu itu semua dan pada ketika ini hanya Hani terlintas di fikirannya dan Hani dihubungi menggunakan telefon bimbit.

"Beb! Where are you?" Tanpa hello, sebaik Hani dapat dihubungi terus dia bertanya lokasi teman baiknya itu.

"I'm at heaven..." Kedengaran Hani tertawa besar.

"Kau ni...aku tak main-mainlah," perasaan marah masih tidak dapat dibendung.

"Chill out beb! Kenapa marah-marah ni? Aku on the way pergi kerjalah. Why?" Berkerut dahinya mendengar suara serius Ainnur namun tumpuannya masih kepada pemanduan. Hani membetulkan hands free yang melekap di telinga.

"Tolong ambik aku kat rumah. Aku tak ada transport nak pergi kerja ni." Dia mengelap peluh yang mula mengalir di pipi.

"Alamak! Beb...aku dah lepas simpang rumah kau la. Mana kereta kau?" Hani menekan brek dan kereta berhenti apabila lampu isyarat bertukar warna merah.

"Nanti aku cerita la. Please beb....Kau aja yang boleh aku harapkan. Kalau aku call cab, mesti lambat. Please....." Ainnur separuh merayu. Dalam masa begini, keadaan jalan raya di pusat bandar raya Kuala Lumpur pasti sesak dengan kenderaan mereka yang berpusu-pusu menuju ke tempat kerja. Rumahnya agak jauh dari pengangkutan awam dan untuk menaiki bas. Tidak sama sekali. Dia tidak betah berhimpit-himpit dengan pelbagai manusia yang berbilang kaum dan bangsa disertai dengan bau-bauan yang kurang menyenangkan. Lebih-lebih lagi kalau dapat pula pemandu bas yang memandu tanpa memikirkan jumlah nyawa yang dibawanya. Suka hati brek, suka hati berhenti mengejut.

"Okey...okey...Nasib baik kau ni kawan baik aku. Aku U-turn. Tapi kalau bos tanya, kenapa aku lambat, aku suruh kau jumpa dia ya." Katanya separuh mengugut membuatkan Ainnur tertawa.

"Aku pulak suruh dia jumpa Tengku Zafran." Kali ini giliran Ainnur pula tertawa besar manakala Hani sedikit berdebar mendengar nama jejaka idamannya itu disebut.

"Aku tunggu kau kat guard. Bye." Talian diputuskan. Lenggok jalan Ainnur yang berkemeja biru tua dan berskirt pendek warna kelabu paras lutut menjadi perhatian mereka yang lalu lalang. Tetapi tidak Ainnur endahkan.


**********

"Apa jadi dengan kereta kau?" Soal Hani. Air bandung di sedut sedikit bagi membasahkan tekak.

Kesempatan makan tengah hari bersama dengan temannya itu diambil bagi mengetahui peristiwa sebenar yang berlaku pagi tadi. Sebenarnya, bukan selalu mereka dapat keluar bersama kerana Ainnur adalah orang yang paling sibuk di antara mereka berdua. Sebagai Setiausaha kepada Naib Presiden syarikat, dia terikat dengan bos. Hari ini Ainnur dikirakan bernasib baik kerana Tengku Zafran mempunyai temujanji di luar dan ini memberi kelonggaran kepadanya untuk makan di luar.

Mee goreng basah yang dipesan Ainnur tiba tepat pada masanya. Berasap dan nampak berselera untuk dijamah kerana tuan kedai tidak pernah lokek dalam menyumbangkan rencah seperti ayam, sayur, tauhu dan adakalanya daging atau udang diletakkan bersama. Hani memilih untuk makan nasi campur. Kata Hani, nasi adalah makanan rujinya. Sehari tanpa nasi, dia akan pengsan. Tersengih Ainnur mengingati kisah teman yang menggeletek hati itu.

Sambil makan, Annur bercerita dari A hingga Z tentang kejadian keretanya yang disangka hilang. Pecah perut Hani tertawa sebaik mendengar cerita sahabat baiknya itu.

"Lepas tu, Adam hantar SMS kat aku. Kau baca ni." Blackberry dihulurkan pada Hani.



Tayar kereta aku bocor. Aku pinjam kereta kau. Aku tengok kau sedap tidur kat depan TV tadi, malas nak kacau...Aku terus ambik kunci kereta dalam bilik kau. 

p/s : lain kali tidur tutup mulut. ternganga nanti masuk cicak


Hani tergelak besar membaca SMS Adam manakala Ainnur menarik muncung panjang. Kurang asam punya laki...

"Mesti burukkan kau tidur mulut ternganga beb?" Sekali lagi Hani tertawa besar sampaikan orang yang makan disebelah meja mereka memandangnya. Menyedari akan hal itu, Hani terus menutup mulut sambil mengangkat tangan tanda memohon maaf di atas ketelanjurannya sehingga mengganggu ketenteraman pelanggan di sebelah mereka.

"Kau perli aku eh! Tak guna punya kawan!" Blackberry atas meja dicapai. Dia perlu berhati-hati kerana sudah banyak kes ragut dan curi yang berleluasa kini sampaikan barang-barang berharga di atas meja pun berani diambil.

"Beb!" Secara tiba-tiba tangannya dicapai Hani.

"Kenapa tangan kau lebam ni?" Pergelangan tangan Ainnur yang lebam dibelek. 

Ainnur terdiam lantas menarik tangannya semula. Blackberry disumbat ke dalam beg.

"Kau gaduh dengan Adam ke? Dia pukul kau ya?" Hani melihatkan wajah temannya yang ceria kini bertukar mendung. Dia ingin tahu apakah yang terjadi di dalam kisah rumahtangga temannya itu. Ainnur tidak pernah membuka mulut tentang perkahwinannya. Bukanlah niatnya untuk menjaga tepi kain Ainnur tetapi dia hanya berharap Ainnur dapat berkongsi masalah dengannya. Jika sudah begini jadinya, adakah Adam pernah melakukan yang lebih teruk dari itu kepada Ainnur. Dia sayangkan Ainnur dan tidak mahu apa-apa terjadi kepada teman baiknnya itu.

"Tak ada apa-apa. Kami okey." Perlahan saja suaranya. Dia tidak mampu membalas pandangan Hani yang menunggu jawapan darinya. 

"Okey kau cakap? Dah lah dia berbahasa kau aku ja dengan kau. Dia memang layan kau macam ni ke? Cuba kau cerita dengan aku." Masih mengharapkan Ainnur membuka mulut namun hampa.

"Kami okey. Jomlah. Dah habis lunch time ni." Tanpa menunggu Hani, dia terus bangun dan berlalu pergi. Tidak mahu memanjangkan cerita. Pergelangan tangan yang direntap itu tidak disangka meninggalkan kesan namun ia lebih terkesan di hatinya.

Hani mulai gusar...adakah dia tidak bahagia? Namun hanya Ainnur Amnani dapat merungkai persoalan itu.

No comments:

Post a Comment