"Beb...apa barang masuk kelab tak minum. Tak enjoy la kalau tak minum. Nak goyang kena minum dulu baru sedap kepala layan..."
Perbualan dua sahabat itu dapat ditangkap oleh Shaq walaupun ia disulami dengan muzik rancak yang berkumandang membingitkan telinga. Dia menoleh kepada keduanya.
Melayu dan pastinya Islam. Dia rasa malu kerana mereka adalah bangsanya yang terus membiarkan diri mereka hanyut dibuai arus dunia yang semakin canggih dan moden.
Namun perhatiannya lebih kepada sahabatnya yang telah pun hilang di kalangan pengunjung yang ada.
Lagu-lagu rancak terus berkumandang mengajak semua pengunjung kelab terus menari. Malam yang semakin larut tidak menghalang pengunjung yang semakin ramai memenuhi ruang di segenap kelab. Bersesuaian dengan 'ladies night' pada setiap malam Rabu, ternyata pengunjung yang ada kebanyakannya wanita. Samada yang muda, dewasa malahan yang sepatutnya sudah bergelar nenek pun masih tidak sedar diri terkinja-kinja menari. Bagi wanita, apabila 'ladies night', pengunjung wanita dikenakan bayaran masuk separuh harga dan ada air-air haram yang diberikan percuma. Satu keistimewaan bagi mereka yang bergelar gadis, wanita dan perempuan.
Shaq menggeleng kepada melihat persekitarannya yang benar-benar menyakitkan mata. Kalau bukan kerana
mengenangkan sahabat baiknya, lebih baik dia menyiapkan kerja yang melambak di
studio atau tidur sahaja di rumah.
Jam menunjukkan hampir 12 tengah malam dan bila-bila sahaja Maya
akan muncul sebagai tetamu khas. Kononnya majlis ini diadakan secara
senyap-senyap bagi meraikan hari lahir Maya yang entah ke berapa tidaklah Shaq
mahu ambil tahu.
Kenapalah mesti buat di sini? Kan banyak lagi tempat lain...Dengan sesak, ramai orang berhimpit-himpit. Bisik hatinya.
"Happy birthday to you....happy birthday to you....happy
birthday to Maya...happy birthday to you..."
Lagu tersebut di nyanyikan beramai-ramai malah turut disertai oleh pengunjung lain yang bukan tetamu jemputan bagi parti sambutan hari lahir Maya. Sorakan dan jeritan nama Maya bersahut-sahutan. Sinaran lampu yang berkelip-kelip memancar dan kerap bertukar warna membuatkan Shaq pening.
Kelihatan Maya terlompat-lompat kegembiraan apabila disuakan kek hari lahirnya yang berwarna turquoise blue dihiasi dengan sepasang kasut tumit tinggi berwarna merah jambu. Satu ciuman dihadiahkan
pada Adam yang sedang berdiri di sebelahnya. Adam rasa dihargai dan senyuman lebar ke telinga.
Shaq hanya memerhatikan dari jauh. Meluat dengan tingkahlaku
keduanya. Baik Adam yang tidak sedar diri sudah berumah tangga mahupun Maya
yang ternyata nampak sangat artis gedik. Air haram sudah berapa gelas di teguk
oleh Adam dia sendiri tidak pasti. Puas sudah dipujuk supaya jangan termakan
dengan hasutan teman-teman yang lain, tetapi Adam tetap berkeras kerana katanya
hanya untuk malam ini yang merupakan malam istimewa buat kekasih hatinya.
Shaq menggeleng kepala melihat aksi temannya yang terkinja-kinja
menari tidak ingat dunia. Ternyata air haram itu telah menguasai mereka semua.
Masing-masing sudah tidak kenal apa itu dosa dan pahala. Lelaki dan wanita
berpelukan tanpa mengira pasangan, berkucupan di khalayak dan lebih memalukan
ada yang bercium mulut tanpa segan silu dan hanya diperhatikan oleh yang lain.
Dia rasa berdosa berada di kalangan mereka walau dia hanyalah
pemerhati. Kakinya mahu melangkah pergi namun tidak sampai hati mahu membiarkan
sahabatnya terus hanyut dalam keseronokan itu.
Dia menyelit di celahan pengunjung kelab yang sedang terkinja-kinja
menari. Akhirnya Adam dapat dilihat sedang berpelukan dengan seorang wanita yang disangkakan Maya, namun apabila semakin didekati, ternyata bukan Maya yang berada di dalam pelukannya kerana Maya berada di sudut lain yang agak tersorok sedang berpelukan dengan lelaki lain. Shaq bertambah jijik apabila melihat Maya dengan selamba bercium mulut dengan lelaki lain. Kini dia sedar, kenapa Arina begitu benci dengan Maya.
Adam ditarik dari pelukan wanita yang cuba mengambil kesempatan untuk bercumbuan dengannya. Wanita yang berpakaian seksi mendedahkan belakang itu agak marah apabila Shaq menarik pemuas nafsunya namun Shaq pula yang cuba digoda tetapi lantas Shaq menolak dan mengarah wanita itu berlalu. Dia tidak berminat dengan wanita sebegitu.
"Beb...Jom aku hantar kau balik." Tangan Adam di tarik di celahan orang ramai yang sedang menari.
"Come on der...Awal lagi..." Adam terhuyung-hayang dengan segelas chivas masih di tangannya. Shaq meluat namun tidak sampai hati untuk terus membiarkan Adam di situ.
"Jomlah." Tanpa menunggu kata-kata seterusnya dari Adam, tangannya kawannya itu terus di tarik untuk keluar dari tempat yang merimaskan itu. Tiada selamat tinggal atau ucapan selamat pada gadis yang diraikan. Maya sendiri sudah tidak kenal erti kekasih atau teman lelaki. Semuanya dilayan sama rata. Berpelukan, bercumbuan dan berkucupan tanpa segan.
Adam terpinga-pinga tetapi tidak membantah. Fikirannya sudah jauh benar melayang, dunia dirasakan berputar ligat namun dia rasa seronok. Entah dari mana perasaan itu tiba tetapi dia seakan lupa akan segala masalah yang membelenggu dirinya atau siapa dirinya yang sebenar. Dia lupa siapa temannya, dia tidak ingat akan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kebaikan padanya.
"Kau nak balik ke nak tidur rumah aku ni?" Tiada jawapan, yang ada hanya dengkuran kecil.
Kereta dipandu mengarah ke rumahnya, tiba-tiba Shaq teringat yang ibu bapanya ada di rumah pada malam ini kerana mereka akan menghadiri konvokesyen adiknya di UiTM esok. Membawa pulang Adam dengan keadaan begitu hanya akan mengeruhkan suasana. Mesti dia akan disoal bertalu-talu. Keputusan sudah dibuat dan Adam terpaksa di hantar pulang ke rumahnya sendiri.
Adam terpaksa di papah hingga ke muka pintu rumahnya, kalau tidak Adam pasti akan berumah tangga di kaki lima dengan keadaanya yang sebegitu.
"Kau okey ke beb?"
"Okey....Okey..." Jawapnya tetapi sudah beberapa Adam masih tidah berjaya membuka pintu rumah.
Adam tertawa sendirian. Shaq menggaru kepala dengan keadaan sahabatnya.
Adam di tinggalkan apabila temannya itu telah pun masuk ke dalam rumah.
No comments:
Post a Comment