Adam termenung seketika selepas mendengar
penjelasan Shaq.
"Aku tak rasa dia perempuan macam tu.
Sepanjang malam aku tengok dia...Alih-alih pun dia dengan member perempuan
sorang tu. Kalau kau nak kata, dia lesbian okeylah kot. Tapi kalau kau nak kata
dia perempuan touch n go... I don't think so." Teh ais disedut bagi
membasahkan tekak yang hampir kering kerana sejak dari tadi bercerita.
Hampir jam 4 pagi, Adam tiba-tiba muncul
di pintu rumahnya untuk menumpang tidur. Shaq yang sedang mamai kerana
dikejutkan dari tidur yang lena hampir mencekik sahabat baiknya itu kerana
dipaksa untuk menceritakan kejadian sebenar di sebalik MMS yang dihantar.
Adam akhirnya terpaksa mengalah untuk
menunggu sehingga hari keesokannya. Shaq nampak tidur lena tanpa menghiraukan
apa yang terjadi pada sahabatnya itu. Dia keletihan dan lesu kerana sepanjang
hari berada di lokasi penggambaran termasuklah mengambil gambar untuk majlis
makan malam tahunan Permata Holdings.
Tugasnya berakhir jam 1 pagi selepas semua
tetamu pulang dan yang tinggal hanyalah kakitangan F&B yang sedang sibuk mengemas dewan. Hasrat untuk meneruskan kerja-kerja editing pun terpaksa dilupakan
berikutan keletihan yang teramat sangat.
Shaq perasan dahi temannya itu berkerut.
Entah apalah di fikirkannya tu...Nasi campur di sua ke dalam mulut.
Shaq kelihatan berselera menjamah makanan
yang di hadapan mata. Syarat dia akan bercerita hanya jika Adam membelanjanya
makan. Dan Adam tidak menghampakannya, kedai makan berhampiran dengan rumah
Shaq menjadi pilihan mereka bagi mengisi perut.
Sementara itu, dahi Adam terus berkerut
berfikir. Betul ke dia lesbian? Patutlah selama ni, dia tak kisah pun aku tak
sentuh dia...Adam mula rasa geli geleman sekiranya betul Ainnur adalah wanita
yang meminati kaum sejenis.
"Kau jangan nak serang isteri kau
pulak cakap dia lesbian. Aku agak aje." Shaq seolah-olah dapat membaca
fikiran Adam yang sedang bercelaru itu.
Sahabatnya itu tersengih. Kerut di dahi
hilang tetapi tepukan di dahi oleh Shaq membuatkan Adam kembali mengerutkan
dahinya.
"Kau ni memang nak makan
penumbuk." Adam mengacukan penumbuk pada Shaq namun sahabatnya itu hanya
tertawa kerana ternyata itu hanyalah gurauan semata.
"Makanlah cepat. Aku hantar kau
balik. Aku ada hal nak pergi tempat lain ni."
Kali ini giliran Shaq pula mengerutkan
dahi.
"Kau nak pergi mana? Kau nak keluar
dengan baby kau eh? Kau jangan buat hal lah Adam. Sudah-sudahlah dengan
perempuan macam tu. Aku tak tahu dia nak apa dengan kau, tapi lagi dia tahu kau
dah kahwin, lagi dia sibuk mengendeng dengan kau. Aku tak faham betullah!"
Shaq menyuarakan rasa tidak puas hatinya pada Adam.
Bukan dia tidak tahu, sejak akhir-akhir
ini, Maya kerap ke studio mereka. Kadang-kala rakannya itu sibuk dengan artis
tak glamour tu sampaikan kerja-kerjanya terbengkalai. Sehingga kini, tujuan Maya
rapat dengan Adam masih belum dapat dikenal pasti. Dia tidak mahu rakannya itu
terjerat dengan wanita lidah bercadang itu. Dia kenal Adam dan tahu di sebalik
hatinya yang keras terdapat kelembutan yang sengaja disembunyikan. Adam yang
lemah dengan wanita yang disayangi. Kerana kelembutan itu, dia tidak mahu Adam
satu hari akan tersungkur sekali lagi di kaki seorang wanita bernama
Maya.
"Baby mana pulak ni? Aku nak pergi
ambik isteri aku balik kerja lah. Tu kereta Myvi oren tu, bini aku punya. Kalau
aku tak ambik, dia nak balik naik apa." Matanya melirik pada Myvi oren
yang di parkir di tepi jalan masuk ke kedai makan tersebut.
Shaq ternganga. Biar betul?!
********
Ainnur mengerut dahi selepas membaca SMS dari Adam.
Aku ambik kau balik keje. Tunggu kat bawah.
10 minit lagi menandakan waktu kerja akan berakhir. Ainnur mula tidak senang duduk selepas SMS itu diterima. Hani sudah di beritahu supaya pulang terlebih dahulu tanpa menunggunya kerana tidak mahu menyusahkan sahabatnya itu sekali lagi. Dia bercadang mahu mendapatkan teksi sahaja dan kini Adam menawarkan diri untuk menjemputnya.
Buang tabiat ke budak kecik ni? Dia lantas mencatat jadual Tengku Zafran untuk esok di dalam diari harian.
Pergerakannya sengaja dilambat-lambatkan sehingga waktu menginjak ke jam 6.30 petang. Suasana pejabat bertukar sunyi kerana waktu kerja mereka tamat pada 5.45 petang. Tiada lagi kelibat kakitangan yang lalu lalang di hadapan pejabatnya kerana sememangnya tingkat 16 hanya menempatkan Tengku Zafran dan 5 orang pegawai yang mempunyai kepentingan dalam syarikat. Tengku Zafran telah pun pulang lebih awal kerana mengadu tidak sihat. Wajahnya nampak pucat.
Ainnur mencapai tas tangan di dalam laci. Langkahnya perlahan menuju ke lif utama sambil itu dia meninjau persekitaran sekiranya masih ada kakitangan lain namun tiada. Lampu koridor dimatikan sebagai langkah penjimatan syarikat. Gelap dan perasaan takut mula menguasai diri. Selama ini, Tengku Zafran tidak pernah meninggalkan dia sendiri. Sekiranya mereka orang terakhir yang berada di pejabat, Tengku Zafran akan memastikan Ainnur turut sama turun apabila dia mahu pulang. Tidak sekali-kali dia akan membiarkan Ainnur turun kemudian darinya.
Sampai di lobi, dari jauh dia sudah dapat melihat Myvi oren kesayangannya sudah tersedia di depan pintu masuk. Tetapi pemandunya tidak kelihatan.
Mana pulak budak kecik ni?
Dia bersandar di pintu kereta tidak sedar perbuatannya diperhatikan oleh Adam dari jauh.
Api rokok dipadamkan dan langkahnya panjang menuju ke kereta. Hatinya mendidih kemarahan kerana sudah hampir satu jam dia menunggu namun Ainnur tidak turun. Hampir sahaja dia mahu pulang tapi mengenangkan kereta yang dipinjamnya, terpaksalah dia ke mari.
"Sorry...Ainnur lambat sikit. Ada kerja tadi," ujarnya tanpa memandang wajah Adam yang sedang memandu. Namun Adam hanya diam membatu diri. Selepas 10 minit dalam perjalanan masih tiada kata-kata terbit dari bibir suaminya itu.
Ainnur semakin rimas apabila situasi tersebut berterusan sepanjang perjalanan. Malah tiada tanda-tanda akan adanya perbualan antara mereka. Padanya lebih baik bawak kereta seorang diri, dapat juga dia menyanyi mengikut lagu yang berkumandang bagi menghiburkan hati. Butang radio ditekan bagi meredakan ketegangan akibat kesunyian tersebut. Namun Adam pantas mematikannya serentak itu Ainnur menoleh pada suaminya. Adam buat muka selamba terus menumpukan perhatian pada pemanduannya.
Ainnur rasa mahu menjerit di telinga Adam pada waktu itu atau mahu sahaja dia keluar dari kereta yang sedang merangkak di dalam kesesakan jalan raya itu. Dirinya sanggup berjalan kaki dalam suasana membingitkan telinga dengan bunyi kenderaan yang bersimpang siur dari membisu seribu kata seperti ini.
Kau nak apa dengan aku ha? Kenapa kau buat aku macam ni?! Dia merenung tajam pada Adam. Namun Adam masih berwajah selamba. Hatinya bertambah sakit dengan sikap Adam begitu.
Hampir 1 jam terperangkap dalam kesesakan jalan raya, akhirnya mereka tiba di rumah. Bagi Ainnur dia sudah biasa dengan keadaan itu, tapi tidak Adam kerana waktu kerjanya tidak seperti Ainnur. Adam boleh masuk kerja dan keluar sesuka hatinya kerana waktu kerjanya memang tidak tetap. Namun dia gembira dengan cara kerja begitu. Tidak perlu bekerja di bawah telunjuk orang lain.
Adam mengeluh kepenatan menekan brek sepanjang jalan. Biar pun kereta menggunakan gear auto, namun beban terletak pada kaki kanan yang perlu menekan brek dan minyak. Di tambah pula dengan kesesakan jalan raya dengan penghuni kota yang masing-masing mahu pulang ke rumah. Kadang-kadang dia tidak faham, semakin banyak lebuh raya atau jalan raya dibesarkan semakin bertambah pula kesesakan. Mungkin kini, orang ramai boleh membeli kereta dengan mudah. Banyak kedai kereta yang menawarkan pembelian kereta dengan tanpa bayaran pendahuluan. Pakej untuk pelajar pun mudah didapati kini hanya dengan pembayaran melalui PTPTN. Sudahnya bila habis belajar, bayaran kepada PTPTN tidak dijelaskan. Dan kini kecoh pula isu PTPTN perlu dihapuskan berikutan beban bayaran yang ditanggung oleh graduan yang masih menganggur.
Adam bernasib baik kerana dia tidak memerlukan pinjaman. Puan Murni dan Encik Amar bukanlah orang berada dan kerana itu mereka tidak mahu hidup anak mereka dihantui dengan bebanan hutang yang perlu dibayar lebih dari 10 tahun. Mereka rela berhabis duit asalkan anak-anak mereka tidak berhutang. Jasa mereka kini berbaloi kerana anak-anak tidak pernah lokek untuk menghulur duit atau memberi bantuan pada mereka. Puan Murni dan Encik Amar amat bersyukur kerana anak-anak mereka akhirnya berjaya di dalam pelajaran mahu pun hidup walau bekerja sendiri seperti Adam atau Aqil yang bekerja sebagai pelukis pelan di sebuat syarikat swasta.
"Aku lapar. Kau masak. Aku nak makan." Sepatah demi sepatah perkataan keluar dari mulut Adam setelah sekian lama membisu sejak dari dalam kereta tadi.
Wajah suaminya ditenung. Sakit hatinya kerana perbuatan Adam tadi tidak kebah lagi kini Adam menambahnya lagi. Arahan dikeluarkan sesuka hati. Ainnur merasakan dia mahu tendang, menumbuk atau membuat apa saja yang boleh supaya lelaki di hadapannya itu tumbang dan diam sahaja.
Lebih baik begitu. Hatinya terasa sakit sangat.
Kau tak tahukah yang aku penat. Kau suka hati aja nak suruh aku buat itu...buat ini...Cukuplah aku menerima arahan di pejabat saja. Aku tahu tugas aku sebagai seorang isteri. Kau tak perlu nak mengarah-arah aku. Dia rasa mahu menangis. Walau bukan dia yang memandu, tetapi dia terlalu letih hari ini kerana melayan tetamu Tengku Zafran yang datang bertali arus. Disebabkan bosnya tidak sihat, dialah yang terpaksa melayan mereka.
Selalunya Adam tidak ada dan dia boleh melambat-lambatkan waktu untuk masak. Biasanya dia akan mandi dan selesai solat maghrib barulah kerja-kerja memasak dilakukan, tapi kini Adam memerintahnya seolah-olah dia orang gaji di rumah itu.
Benci!!! Pintu bilik sengaja dihempas kuat menunjukkan tanda protes.
Adam yang sedang menonton TV di ruang tamu hanya tertawa kecil kerana berjaya membuat Ainnur marah. Dia suka kerana dia tahu, bila Ainnur berkeadaan begitu ternyata dia menang di dalam perlawanan tanpa pengadil itu.
Bg dia nasi putih, telur dadar & ikan masin goreng.... Hahahaha....
ReplyDelete